Apa itu formasi 5-4-1 dalam bola sepak?
Kekalahan adalah sesuatu yang paling perit untuk semua pasukan. Namun ada sesetengah pasukan lebih mengutamakan isu mengelak daripada kalah daripada mencari kemenangan.
Jadi, formasi 5-4-1 antara formasi yang mendukung orientasi seperti ini.
Biasanya, formasi ini dimainkan oleh pasukan yang merasakan mereka tidak boleh menang sekiranya bermain bola sepak terbuka.
Dalam bahasa lebih kasar adalah, ia digunakan oleh pasukan yang lemah berhadapan dengan pasukan kuat.
Konsep asas
Taktikal ini mirip kepada 4-5-1 namun, unit pertahanan ditambah. Ini yang menjadikannya agak defensif dan ada yang memainkannya dengan cara ultra-defensif.
Pertahanan berlima
Secara asasnya, ia adalah sistem yang menggunakan 3 bek tengah ataupun 2 bek tengah dengan seorang sweeper di belakang mereka.
Di bahagian sisi ada 2 pemain pertahanan sisi rigid. Ia berbeza dengan bek sayap yang ofensif seperti mana Chelsea dengan 3-4-3.
Dalam kes Chelsea, mereka asasnya 3-4-3 tetapi bertahan dengan 5-4-1. Dalam artikel ini kita akan fokus kepada pasukan yang memang asasnya 5-4-1.
Struktur tengah
Dalam sistem 5-4-1, tengah berempat memiliki peranan yang hampir sama. Mereka akan menyerang dan bertahan bersama-sama hampir sepanjang masa.
2 pemain akan menjadi pemain tengah yang lebih kepada pivot.
Manakala 2 pemain di sisi akan memiliki tanggungjawab yang lebih kepada bertahan dan akan cuba menggerakkan bola segera ketika serangan balas dilakukan.
Ia adalah lapisan yang agak agresif dan sepatutnya sukar untuk dimasuki lawan. Itu belum lagi belakang berlima.
Serangan
Sistem ini kebiasaanya bergantung kepada route one football (bola panjang dan hambat).
Pemain serangan akan cuba kekal di garisan paling tinggi ataupun di bahu bek tengah lawan sepanjang masa.
Proses serangan lebih kepada serangan balas. Jadi, mereka akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kualti cubaan gol mereka menghasilkan sesuatu.
Ini kerana, mereka sangat terhad untuk menyerang pihak lawan.
Oleh kerana, mereka terlalu bergantung kepada penyerang utama ataupun target man, maka sebarang simptom target man mereka keletihan ataupun kurang efektif, jurulatih akan cepat-cepat menukar pemain.
Begitu juga dengan 2 pemain di sisi/sayap. 2 pemain ini juga penting untuk menggerakkan serangan balas dari bawah pada jarak yang jauh.
Pilihan plan B
Ramai jurulatih moden masih melatih skuad mereka untuk bermain formasi ini sebagai plan B.
Ianya berguna untuk melindungi pendahuluan dalam margin ringkas. Mereka akan memasukkan pemain bek tengah ekstra untuk menambah unit pemain pertahanan mereka.
Rumusan
Taktikal ini adalah untuk mengecewakan (frustrating) pihak lawan dengan memberikan ruang sangat kecil di 2 lapisan pertahanan.
Namun taktikal ini boleh memakan diri jika pemain pertahanan tidak berdisplin untuk bermain dalam unit yang ramai.
Mereka boleh melakukan kesilapan seperti keliru siapa yang harus merampas bola dalam keadaan 2 pemain hampir sama di satu zon.
Taktikal ini memerlukan pemain serangan dan pemain tengah yang ada stamina yang tinggi untuk memastikan adanya pelan serangan balas.
Jika tidak, ia akan menjadikan taktikal dengan formasi ini akan membosankan dan terlalu defensif.
Baca juga: Mourinho Kutuk Kualiti Padang Rostov Kerana Keadaan Yang Terlalu Teruk