Sejumlah 41 penyokong telah ditahan oleh pihak polis selepas tamat perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.
27 daripada mereka terdiri daripada penyokong Malaysia. Manakala 14 lagi terdiri daripada penyokong Indonesia.
Penyokong Indonesia membuat kecoh dengan membaling suar ke arah penyokong Malaysia selepas tamat perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pic.twitter.com/fr2JDaREij
— BERNAMA (@bernamadotcom) November 19, 2019
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang berkata mereka ditahan bagi tujuan dokumentasi.
Bercakap kepada Harian Metro pada hari ini, Mokhsein dipetik sebagai berkata: “Polis menahan 41 individu membabitkan 27 penyokong Malaysia dan 14 penyokong Indonesia selepas tamat perlawanan bagi tujuan dokumentasi.
“Bagaimanapun, semua individu terbabit dibebaskan selepas dokumentasi dilakukan.”
#KualaLumpur #PialaAsia2023 #Malaysia Penyokong Indonesia membaling suar kepada penyokong Malaysia ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia diantara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO: Eizairi Shamsudin pic.twitter.com/19bf9poE6J
— Harian Metro (@hmetromy) November 19, 2019
Sebelum itu, kejadian membaling objek termasuk suar di kalangan penyokong kedua-dua pasukan sudah kelihatan ketika perlawanan sedang berlangsung.
Selepas itu, sebahagian penyokong Malaysia dipercayai cuba melakukan provokasi terhadap penyokong Indonesia di hadapan Pintu E – yang dikhaskan sebagai pintu masuk dan keluar penyokong pasukan pelawat – selepas tamat perlawanan.
Namun kehadiran Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di lokasi berjaya menenangkan keadaan.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada malam tadi, dua jaringan Safawi Rasid pada minit ke-30 dan ke-73 perlawanan memberikan kemenangan 2-0 kepada pasukan Malaysia.