Berikut merupakan 4 kesilapan jurulatih akar umbi kita memberi kesan negatif terhadap kualiti bakal pemain bola sepak negara.
1. Menjadikan kemenangan sebagai sasaran utama
Dalam fasa pembangunan akar umbi (6-13 tahun), fokus utama jurulatih sepatutnya terarah kepada pembangunan kemahiran bola sepak, football IQ, emosi, fizikal dan akademik individu.
Namun apabila kemenangan menjadi sasaran utama, jurulatih akar umbi akan mendesak pemain dari segi fizikal dan mental demi untuk kemenangan.
Jurulatih hendaklah sedar bahawa mereka sedang berinteraksi dengan kanak-kanak yang masih kurang matang dari segi mental dan fizikal, bukannya dengan orang dewasa.
Demi untuk kemenangan pasukan, sesetengah jurulatih akar umbi akan mengadakan latihan yang berintensiti tinggi dan membebankan para pemain yang masih kecil.
Pemain masih membesar dan tidak sepatutnya mengerah terlalu banyak tenaga untuk aktiviti berkaitan bola sepak kerana tenaga tersebut diperlukan untuk pembesaran fizikal mereka.
2. Fizikal menjadi keutamaan dalam pemilihan pemain
KeepItOnTheDeck.com telah menemuramah salah seorang scout yang berpangkalan di Ireland dan bekerja untuk sebuah pasukan EPL terkemuka untuk mengenal pasti:
Apakah kriteria pemain yang paling dicari-cari oleh scouts di UK dan Ireland?
Scout tersebut memberitahu ada 2 kualiti yang dicari mereka:
- kualiti fizikal pemain tersebut (seperti ketinggian, kekuatan dan kelajuan)
- kualiti off-the-ball movement pemain
Hal ini telah menimbulkan kerisauan terhadap masa depan bola sepak UK dan Ireland.
Berapa ramai pemain bijak tetapi kurang dari segi fizikal seperti Xavi, Iniesta atau Pirlo yang mereka terlepas pandang akibat sikap scouts di sana yang mengutamakan fizikal pemain?
KeepItOnTheDeck.com turut bertemu dengan Pengarah Bola Sepak Syarikat Smartfootball di Sepanyol untuk bertanya soalan sama – apakah kriteria pemain yang paling dicari-cari oleh scouts?
Beliau menjawab – kebijaksanaan di atas padang.
Saya masih ingat jurulatih bola sepak sekolah menengah saya. Beliau memilih atlet-atlet sekolah (dan juga membatalkan pemilihan bola sepak) walaupun masih ramai lagi pemain yang berbakat di sekolah.
Mengapa fizikal tidak harus dijadikan keutamaan pada peringkat akar umbi?
Perlu diingat, pertumbuhan setiap orang adalah berbeza. Seseorang pemain mungkin lebih tinggi, kuat dan laju kerana dia telah mencapai akil baligh lebih awal berbanding pemain lain.
Fizikal adalah perlu hanya apabila growth spurts telah tamat (lebih kurang ketika 17 tahun) dan latihan kekuatan otot dan explosive power boleh dilakukan ketika itu.
Tidak semua kualiti fizikal harus dikecualikan. Keseimbangan, ketangkasan dan koordinasi perlu disertakan dalam kriteria.
3. Menyertakan ‘skill test’ dan larian pecut dalam pemilihan pemain
Masih ingat sesi pemilihan untuk pasukan MyTeam yang diadakan pada tahun 2006? Larian pecut 100m selama 12 saat merupakan peringkat pertama pemilihan.
Selain itu, Mencari Ramli musim 4 menjadikan ujian slalom sebagai peringkat pertama pemilihan mereka.
Persoalan saya ialah, adakah semua ini perlu dalam pemilihan bola sepak? Sedangkan latihan fizikal boleh dibuat selepas sesi pemilihan.
Pertama, mari kita membincangkan mengenai sesi pemilihan MyTeam.
Seperti yang telah disebut, kelajuan bukannya kriteria fizikal utama seseorang pemain bola sepak.
Tidak bersetuju dengan saya? Terangkan kepada saya bagaimana pemain seperti Andrea Pirlo, Xavi Hernandez dan Xabi Alonso digelar sebagai pemain bertaraf dunia walaupun larian mereka perlahan.
Bayangkan berapa ramai pemain berbakat yang sudah MyTeam terlepas pandang.
Bagi saya, MyTeam melupakan hasrat jangka masa panjang mereka iaitu untuk melahirkan pemain berbakat untuk pasukan negara. Mereka hanya memikirkan kemenangan segera, iaitu dengan memilih pemain yang laju untuk menjayakan taktik ‘long ball’ mereka.
Ujian slalom dalam Mencari Ramli musim ke-4
Pada tahun lepas, program Mencari Ramli musim 3 mengadakan perlawanan 7 sebelah untuk peringkat pertama.
Namun pada tahun ini, mereka mengadakan ujian slalom pada peringkat pertama. Turut dikhabarkan mereka perlu melepasi halangan dengan kawalan bola selama 45 saat.
Mengapa skill tests seperti ujian slalom tidak relevan dalam pemilihan bola sepak?
Ini kerana skill tests seperti ujian slalom tak menguji kebolehan decision-making pemain.
Pemain bola sepak yang berbakat ialah pemain yang mampu memilih tindakan dengan cepat serta melaksanakan tindakan dengan sempurna, bergantung kepada kepada situasi.
Perkara yang menyedihkan ialah ramai jurulatih akar umbi masih melaksanakan skill test kerana ia kelihatan ‘teratur’ dan ‘professional’ dan juga menyediakan statistik.
Skill test tidak akan membantu jurulatih kerana hanya mampu memberitahu jurulatih mengenai skil individu pemain, bukan football IQ pemain.
4. “CLEAR BOLA JAUH JAUH!!!”
Itulah kenyataan bola sepak akar umbi di Malaysia. Tabiat membuang bola dari kawasan sendiri merupakan amalan yang tidak dapat dipisahkan daripada peringkat akar umbi sehingga peringkat kebangsaan.
Punca utama pemain akar umbi terpaksa mengeluarkan bola dari kawasan sendiri dengan secepat mungkin ialah:
- Kurang kemahiran individu
- Tiada ‘support’ daripada pemain tengah
- Jurulatih atau penyerang yang suka mendesak dan kurang sabar
Berdasarkan punca-punca yang telah dinyatakan, jurulatih mungkin harus dipersalahkan. Namun, pada hakikatnya, FAM juga harus dipersalahkan. Mengapa?
Kerana FAM tidak menyediakan falsafah bola sepak yang jelas sebagai panduan kepada jurulatih tempatan. Apakah itu falsafah bola sepak?
Falsafah bola sepak merupakan kepercayaan mengenai bagaimana untuk bermain bola sepak dengan cara yang terbaik. Sebagai contoh, berikut merupakan falsafah bola sepak Australia yang disediakan oleh FFA.
- “A pro-active brand of football, based on effective possession, with the cutting edge provided by creative individuals.”
- “Defensively the key components are quick transition and intelligent collective pressing.
- “The Playing Style is underpinned by a strong ‘team mentality’, capitalizing on Australia’s traditional strengths.”
Setiap jurulatih di Australia harus mengaplikasikan falsafah ini agar semua pemain akar umbi dapat diselaraskan dengan satu falsafah. Hal ini memudahkan jurulatih pasukan kebangsaan untuk menggunakan taktik tersebut pada masa akan datang.
FAM juga harus menyediakan falsafah yang jelas dan tepat kepada jurulatih dan pemain bola sepak di seluruh Malaysia agar taktikal bola sepak kita selaras.
Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Iskandar Zulqarnain Hilmi. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].
Baca juga: 5 Pengajaran Penting Daripada Lim Teong Kim Semasa Forum Bola Sepak Malaysia