4 Sebab Mengapa Penyokong Kelantan Masih Menyokong Tan Sri Annuar Musa

“Siapa bapa pembangunan bola sepak Kelantan?”

Jika anda bertanyakan soalan tersebut kepada mana-mana peminat bola sepak Malaysia, jawapan kepada soalan tersebut hanyalah satu – Tan Sri Annuar Musa (TSAM).

Tidak dinafikan bahawa TSAM adalah watak penting yang mencorak kejayaan Kelantan FA sewaktu zaman emas kegemilangan mereka sekitar tahun 2009-2013.

Namun kebelakangan ini, Kelantan acap kali dipalit dengan kontroversi pengurusan di luar padang. Dan sehingga kini, masalah tersebut masih belum menunjukkan tanda-tanda ia akan reda.

Bagaimanapun disebalik kritikan hampir seluruh komuniti bola sepak luar Kelantan terhadap pihak pengurusan Kelantan dan TSAM khususnya, masih ramai peminat bola sepak Kelantan menyokong TSAM.

Mengapa orang Kelantan masih menyokong TSAM? Sebagai anak jati Kelantan dan penyokong TSAM sendiri, saya akan berikan anda 4 sebab.

1. TSAM Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan

Photo by Hazmin Hussin/ www.asiana.my

Sewaktu TSAM mengambil alih dan menjenamakan semula Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada The Red Warriors (TRW) pada tahun 2007, tiada siapa yang menyangka kami mampu menjadi kuasa besar bola sepak Malaysia.

Segalanya tampak begitu sempurna – dari segi pemilihan pemain import, perkembangan pemain tempatan, penajaan serta pengurusan pemain. Segalanya berjalan lancar.

Hanya setahun selepas mengambil alih pasukan Kelantan dari kancah Liga Perdana, pasukan negeri kami berjaya melayakkan diri ke Liga Super.

Tahun demi tahun berlalu, TRW menjadi semakin kuat sehinggalah mereka merangkul kejayaan treble pada musim 2012.

Paling membanggakan bagi kami, semua kejayaan ini dicapai tanpa suntikan dana daripada kerajaan negeri – tidak seperti pasukan-pasukan lain dalam Liga Super mahupun Liga Perdana.

Penonton yang datang ke stadium begitu ramai sehinggakan kerajaan negeri Kelantan berhasrat mengenakan ‘cukai hiburan’ kepada wang kutipan tiket penonton yang turun ke stadium.

Sebagai rakyat yang hidup dalam negeri yang tiada hiburan moden lain selain bola sepak, ‘fenomena bola sepak Kelantan’ yang dicipta TSAM adalah sesuatu yang sangat luar biasa.

Tak keterlaluan untuk saya katakan jika TSAM tidak mengambil alih KAFA, kami mungkin takkan merasai zaman keemasan bola sepak.

2. Permainan sentimen yang diterapkan oleh TSAM

Photo by Hazmin Hussin/ www.asiana.my

Sek Kito Jange Peccoh. Itulah tagline yang digunakan oleh kami selepas ‘Gomo Kelate Gomo’. Namun apakah signifikan terma ‘Sek Kito Jange Peccoh’ ini?

Dari segi bahasa, terma ini bermaksud “Puak Kita Jangan Berpecah”. Ringkasnya, pepatah ini menyeru agar ‘bangsa Kelantan’ kekal bersatu walau apapun rintangan yang mendatang.

Perkara ini juga menjadi modal asas kepada TSAM untuk mengajak rakyat Kelantan agar menyokong perjuangannya dalam bola sepak.

Daripada semua status di Facebook yang dimuat naik oleh TSAM, ia memperlihatkan seolah-olah semua pihak sedang menganiayai pasukan Kelantan – baik bekas pemain, pihak penaja, FMLLP, PFAM dan khususnya barisan kepimpinan baru FAM.

Permainan sentimen it’s them against us ini menaikkan lagi populariti TSAM dalam perjuangan bola sepak Kelantan.

Harus diingat! Permainan sentimen ini bukan hanya berlaku di Kelantan. Malah sentimen yang sama juga sering dipupuk oleh pemilik pasukan JDT sewaktu mula-mula mengambil alih pasukan tersebut.

Ia seolah-olah menjadi perkara biasa dalam bola sepak Malaysia. Namun pendekatan yang dilakukan oleh DYAM Brigadier  Jeneral Tunku Ismail jauh lebih berkesan.

3. Satu-satunya penyelamat bola sepak Kelantan

Sewaktu mengumumkan pelepasan jawatannya dari barisan kepimpinan KAFA pada November 2016, penyokong-penyokong TRW gelisah dan mendesak agar TSAM kembali ke pangkuan pasukan Kelantan.

Bagi kami tanpa TSAM, Kelantan diibaratkan kapal tanpa nakhoda. Tanpa TSAM, survival pasukan Kelantan mungkin akan berakhir. Tidak keterlaluan jika dikatakan Kelantan akan menjadi ‘yatim piatu’ jika TSAM meninggalkan mereka.

Biarlah pada musim lepas kami terpaksa menukar warna jersi dan stadium kepada warna merah jambu. Asalkan kami ada pasukan negeri kami sendiri.

Meskipun dihimpit pelbagai kesusahan, kami tetap berjaya menamatkan musim 2016 di tangga ke-4 liga. Malah jauh lebih baik dari sesetengah pasukan lain yang mendapat tajaan kerajaan negeri.

Jika tiada TSAM, kepada siapa lagi pasukan Kelantan kami akan mengadu nasib? Anda ada calon lain yang sanggup berkorban masa, wang dan tenaga untuk bola sepak Kelantan?

Jika pemain skuad Kelantan sendiri pun faham dengan kesusahan yang melanda pasukan kami, mengapa anda yang di tak tahu-menahu tentang masalah pengurusan perlu menghukum TSAM?

4. Banyak pengorbanan untuk skuad Kelantan

Gambar: Zainudin Mohd Isa (Twitter)

Kita sedia maklum bahawa sumber kantung kewangan pasukan Kelantan bukanlah disalurkan secara terus dari kerajaan negeri atau pihak istana.

Kewangan KAFA hanya bergantung kepada duit hadiah pertandingan, duit penajaan, kutipan tiket, duit hak penyiaran serta geran tahunan dari FAM.

Anda mungkin akan mengungkit bantuan kewangan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM4 juta pada 2015 sebagai salah satu sumber kewangan Kelantan.

Tetapi apalah sangat yang perlu dihairankan jika kita membandingkan sumbangan RM50 juta kepada JDT yang diberi oleh Sultan Johor atau belasan juta yang disumbang oleh badan-badan GLC di negeri lain?

Malah TSAM sendiri pernah menggunakan duit poketnya sendiri untuk menyara pasukan Kelantan kerana kewangan pasukan terlalu tenat.

Kasihnya TSAM kepada pasukan TRW yang memperlihatkan beliau sanggup berkorban apa sahaja – termasuklah membiarkan namanya tercemar setelah dituduh menyalahgunakan dana MARA untuk pasukan Kelantan.

Ibarat taking the bullet for the team, sifat TSAM yang sering membiarkan dirinya menjadi mangsa cemuhan demi kelangsungan pasukan Kelantan juga menjadi salah satu sebab mengapa kami menyanjungi beliau.

Mungkin jika FMLLP dan MP & Silva benar-benar mengotakan janji mereka untuk mengagih-agihkan duit hak penyiaran mengikut perjanjian, TSAM tak perlu membiarkan dirinya dihina sebegini.

Meninggalkan legasi yang sukar diulangi

Bagi peminat bola sepak Kelantan, TSAM telah membuktikan dirinya dan ‘sek kito’ tidak sewenang-wenangnya boleh ‘dibuli’. Kerana ketegasan dan keberanian TSAM inilah, pasukan Kelantan masih berdiri dan bersaing dalam Liga Super.

Biarpun apa yang akan terjadi kepada bola sepak Kelantan pada masa terdekat mahupun pada masa akan datang, TSAM akan kekal di ingatan kami sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden Kelantan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN