4 Perlawanan Home Dalam 5? Inilah Kelebihan Selangor

Selangor FC

Empat perlawanan home dalam lima perlawanan. Tiada siapa pun mendapat kelebihan ini pada musim 2023 selain Selangor FC. Jika diteliti jadual perlawanan Selangor FC antara 4 hingga 27 April. Selangor mendapat kelebihan bermain di halaman sendiri sebanyak 3 kali di Liga Super dan sekali di Piala FA.

Kelebihan Selangor bermula dengan pertemuan menentang Negeri Sembilan semalam. Selangor menang 2-1 hasil jaringan lewat Sharul Nazeem selepas Faisal Halim memadam kelebihan gol Herold Goulon.

Euforia jaringan kemenangan lewat ini pastinya memberi keyakinan kepada The Red Giants. Momentum di kem mereka. Tugas membina momentum kemenangan menjadi lebih mudah hasil ‘bantuan’ MFL yang memberi 4 perlawanan home berturut-turut kepada Selangor.

Di luar negara, adalah mustahil untuk pengelola liga dan kejohanan memberikan lebih daripada dua perlawanan home berturut-turut.

Di England misalnya, sebuah pasukan takkan dapat lebih daripada dua perlawanan home atau away berturut-turut dalam liga. Apabila ada perlawanan FA Cup, semua pasukan akan diselang-seli bermain home dan away (home liga, FA Cup, away liga atau away liga, FA Cup, home liga).

Dalam jangka masa lima perlawanan, setiap pasukan akan mendapat sama ada: 3 perlawanan home dan 2 perlawanan away atau 2 perlawanan home dan 3 perlawanan away.

Tetapi lain ceritanya untuk Selangor. Selepas kemenangan menewaskan Negeri Sembilan di halaman sendiri semalam, mereka akan terus menerima kunjungan Kelantan, Pahang (aksi Piala FA) dan Terengganu di Petaling Jaya secara berturut-turut.

Kali terakhir Selangor berkunjung halaman lawan adalah pada minggu lepas (31 Mac). Lawan mereka? Kuala Lumpur. Yang jaraknya hanya 30 km dari Shah Alam.

Mungkin ada benarnya dakwaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada September tahun lepas. “Bukan Johor, tapi Selangor yang kawal bola sepak Malaysia,” kata baginda dalam satu sesi bertemu penyokong di Stadium Sultan Ibrahim.

Menurut baginda lagi, rata-rata pemimpin bola sepak yang utama di Malaysia ini adalah bukan daripada Johor atau berkaitan dengan JDT. Sebaliknya mereka berasal dari negeri Selangor.

“Awak tengok, Presiden FAM orang Selangor. Sekarang, presiden persatuan pengadil [Jawatankuasa Pengadil FAM], Datuk S. Sivasundram pun orang Selangor. CEO Malaysian Football League, pun orang Selangor – Stuart Ramalingam. Awak nak kata Johor yang kawal bola? Selangor yang kawal bolalah,” ujar TMJ.

Kelebihan empat perlawanan home berturut-turut bukan satu-satunya kelebihan yang dinikmati Selangor pada musim ini.

Daripada tujuh perlawanan liga yang telah dilengkapi Selangor pada musim ini, empat daripadanya menentang pasukan bawahan liga musim lepas dan pendatang baharu liga (Kelantan United, Kuching City, Sri Pahang dan Penang).

Sebagai perbandingan, JDT misalnya telah menentang lima pasukan atasan liga musim lepas (Terengganu, KL City, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah) daripada tujuh perlawanan liga.

Ada sebabnya mengapa sesebuah pasukan tidak boleh mendapat kelebihan yang dinikmati Selangor ini.

Pertama, kelebihan bermain di tempat sendiri. Empat perlawanan home berturut-turut memberikan kelebihan yang ketara kepada Selangor FC dalam aspek perjalanan. Apatah lagi ketika bulan Ramadan. Mana-mana pasukan pun akan memilih untuk mengurangkan perjalanan jauh ketika berpuasa.

Kedua, kelebihan perancangan strategik. Empat perlawanan home berturut-turut membolehkan The Red Giants merancang latihan dan persiapan perlawanan secara strategik. Tan Cheng Hoe dan staf kejurulatihannya boleh merancang lebih banyak masa untuk sesi latihan dan analisis lawan yang biasanya perlu disingkatkan jika perlu berkunjung ke luar negeri.

Dan ketiga, kelebihan momentum. Ia jauh lebih mudah untuk mengekalkan momentum kemenangan di hadapan penyokong sendiri berbanding penyokong lawan. Kemenangan melahirkan keyakinan. Jelas Selangor memerlukan kemenangan demi kemenangan bagi menampal semula kerosakan keyakinan mereka ketika tewas 0-4 kepada JDT di halaman sendiri.

OK, mari kita bersikap rasional dan menyimpulkan kelebihan yang dinikmati Selangor ini mungkin tidak disengajakan atau terpaksa dilakukan oleh MFL. Ia masih tidak mampu memadam kesangsian Selangor mendapat layanan istimewa oleh MFL. Empat perlawanan home berturut-turut adalah satu kelebihan yang bukan marginal – sebaliknya besar – dalam bola sepak.

Jadi siapa sebenarnya yang mengawal bola sepak Malaysia?

Nota editor: Artikel ini merupakan kiriman Mus Ahmad yang merupakan penyokong bola sepak tempatan. Jika anda ingin menghantar artikel, hantar penulisan anda dalam tidak kurang daripada 300 patah perkataan dalam format MS Word ke [email protected] .

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN