Liverpool semakin menghampiri final Liga Juara-Juara Eropah selepas mencatatkan kemenangan 5-2 ke atas AS Roma pada perlawanan separuh akhir pertama di Anfield 24 April lalu.
Namun, kejayaan menewaskan Roma dengan kelebihan tiga jaringan itu belum cukup untuk menjamin skuad kendalian Jurgen Klopp layak ke pentas akhir.
Disini terdapat 4 perkara penting yang boleh mengakibatkan Liverpool gagal mengulangi pencapaian kali terakhir layak ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2006/07.
1. Semangat “I Giallorossi” di Rome
Semangat “I Giallorossi” yang menjadi inspirasi kekuataan AS Roma pada saingan Liga Juara-Juara musim ini sudah dapat dilihat sejak persaingan di peringkat kumpulan lagi.
Roma pada awalnya dijangka bakal mengalami kesukaran untuk bersaing di peringkat kumpulan C selepas diundi bersama Chelsea dan Atletico Madrid.
Namun, Roma berjaya mencipta kejutaan di peringkat kumpulan dengan berjaya menamatkan saingan sebagai juara kumpulan C.
Beraksi di Itali, Roma berjaya mengutip 7 mata berharga di peringkat kumpulan selepas berjaya mengikat Atletico Madrid tanpa jaringan, menang 3-0 keatas Chelsea dan menewaskan kelab dari Azerbaijan, Qarabaq FK 1-0.
Rekod cemerlang Roma di laman sendiri terus berjaya diulangi di peringkat 16 pasukan terbaik.
Pada perlawanan pertama, Roma dikejutkan dengan kekalahan 2-1 keatas Shakhtar Donestk semasa kunjungan mereka ke Ukraine. Sebelum kembali bangkit menewaskan kelab tersebut 1-0 di Rom.
Keadaan yang sama turut berlaku di peringkat suku akhir, pada perlawanan pertama di Nou Camp, AS Roma telah tewas 4-1 ditangan Barcelona.
Kekalahan tersebut tidak menjadi pematah semangat buat skuad Eusebio Di Francesco untuk kembali bangkit bagi mencipta keajaiban dengan mengejutkan gergasi Sepanyol itu 3-0 pada perlawanan kedua di Stadium Olimpico.
Aura semangat penyokong dan pasukan AS Roma di halaman sendiri harus dipandang serius oleh para pemain Liverpool. Jika tidak, mereka bakal menjadi korban seterusnya di Stadio Olimpico.
2. Fokus terbahagi di Premier League
Liverpool kini sedang menghuni tangga ketiga dalam carta Premier League dengan mengutip 72 mata dalam 36 perlawanan.
Kedudukan ketiga carta liga masih belum selesa buat Liverpool ketika ini bagi memastikan mereka layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan secara automatik.
Liverpool dan dua kelab London, Tottenham Hostpur serta Chelsea sehingga kini terus bersaing hebat dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah.
Hal tersebut pastinya akan membuatkan fokus pasukan juga turut terarah untuk saingan di Premier League.
Selepas pertemuan dengan AS Roma awal pagi nanti, Liverpool bakal berhadapan seteru liga mereka, Chelsea untuk perlawanan ke-37.
Perlawanan di Stamford Bridge pada 6 Mei ini merupakan perlawanan penting buat The Reds bagi memastikan mereka berjaya mengekalkan kedudukan ketiga carta liga.
3. Ancaman Dzeko, Nainggolan dan Perroti
Selain kehebatan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mané untuk skuad Liverpool ketika ini, AS Roma juga memiliki beberapa pemain yang menjadi tongak harapan pasukan musim ini iaitu Edin Dzeko, Radja Nainggolan dan Diego Perroti.
Ketiga-tiga pemain ini antara pemain yang bakal menjadi ancaman besar buat The Reds jika mereka berjaya beraksi cemerlang pada perlawanan nanti.
Dzeko dan Perotti masing-masing telah berjaya mencetak satu gol ketika bertemu Liverpool pada perlawanan pertama.
Rekod Dzeko di Liga Juara-Juara musim ini boleh dikatakan amat baik, beliau sudah berjaya menjaringkan 7 gol dan 3 bantuan jaringan sementara Perroti pula berjaya menjaringkan 3 gol dalam 8 penampilannya bersama pasukan.
Sementara Nainggolan pula cemerlang di Serie A dengan berjaya menjaringkan 4 gol dan melakukan 9 bantuan jaringan buat AS Roma ketika ini.
Nainggolan dalam satu temubual yang dipetik menerusi laman rasmi As Roma sebagai berkata, beliau cuba untuk membantu pasukan menghasilkan tiga gol lawan Liverpool dan salah satu gol dihasilkan olehnya.
“Kami semua tahu ianya bukan satu perkara yang mudah, seperti bertemu Barcelona, kami berjaya melakukannya”
“Liverpool lebih sukar dari Barcelona, tetapi kami perlu yakin dengan kemampuan kami”
Tambahanya lagi, “satu-satunya perkara untuk kami lakukan adalah menjaringkan tiga gol dan memberi tekanan buat Liverpool”
Kenyataan dari Nainggolan itu jelas mengambarkan bahawa beliau benar-benar tekad untuk memastikan hasrat Liverpool mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini berakhir di Rom seperti yang berjaya dilakukan mereka terhadap Barcelona.
4. Harapan hanya kepada Salah, Firmino dan Mané
Tiga serangkai yang paling berpengaruh dalam skuad The Kops ketika ini ialah Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mané.
Ketiga-tiga pemain ini telah berjaya menjadi pencetus utama kekuatan Liverpool pada musim ini.
Dua jaringan hebat Mohamed Salah memberikan skuad Jurgen Klopp kelebihan 2-0 pada separuh masa pertama dan Liverpool terus membelasah Roma pada separuh masa kedua.
Jaringan tunggal Sadio Mane dan dua daripada Roberto Firmino meletakkan Liverpool 5-0 di depan, sebelum dua gol dijaringkan AS Roma.
Semestinya Liverpool bergantung harap kepada tiga pemain ini untuk membantu skuad itu layak ke pentas akhir kejohanan tertinggi Eropah tersebut.
Jika mereka mengalami kecederaan atau gagal beraksi dengan baik dalam perlawanan menentang AS Roma awal pagi nanti, berkemungkinan Liverpool bakal mengalami kesukaran di barisan hadapan mereka.
Jurgen Kloop tiada pilihan pemain lain yang sebaik dari mereka ini.
Terpaksa melakukan perubahan strategi dengan menggunakan khidmat Danny Ings dan Dominic Solanke di jentera serangan pasukan.
Pastinya ia akan memberikan masalah besar buat Liverpool nanti.
Penutup
Kemenangan besar Liverpool ke atas AS Roma dalam perlawanan pertama saingan Liga Juara-Juara ini sangat menggembirakan penyokong kelab berkenaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Keyakinan jelas terbayang pada wajah skuad The Reds betapa mereka kini hanya selangkah untuk beraksi pada pentas akhir.
Akan tetapi, perlawanan masih belum berakhir dan pastinya AS Roma akan cuba melakukan pelbagai cara bagi memastikan Liverpool kecundang di Rom pagi nanti.