4 Perkara Di Sebalik Pembelian Syahrian Abimanyu Oleh JDT

Pada minggu lalu JDT mengumumkan telah menandatangani pemain skuad Bawah-23 tahun Indonesia, Syahrian Abimanyu.

Ini menjadikan pemain Madura United itu, sebagai pemain dari Indonesia pertama yang menyertai kelab juara tujuh kali saingan Liga Super Malaysia itu.

Berikut adalah empat perkara penting yang boleh kita nilai dari perpindahan tersebut.

1. Luaskan kuasa ke pasaran Indonesia

Kita biasa mendengar bola sepak adalah sebuah industri. Sebagai sebuah kelab bola sepak, sudah tentu matlamat utama JDT ialah untuk menjana keuntungan.

Di rantau Asia Tenggara, tidak dapat dinafikan bahawa Indonesia adalah sebuah negara yang mempunyai potensi besar untuk industri bola sepak mekar dengan subur jika kena pada caranya.

Ini kerana rakyat Indonesia amat gilakan bola sepak. Baik ianya perlawanan peringkat umur B-16 sekali pun, setiap sudut stadium akan dipenuhi oleh penyokong Indonesia.

“Bola sepak di Indonesia memiliki potensi yang hebat. Mereka mempunyai penyokong yang amat bersemangat dan akan sentiasa berada di belakang pasukan sama ada menang atau kalah. Penyokong mereka adalah punca utama kewangan kepada kelab,” ujar Bojan Hodak

Dengan mengambil pemain dari Indonesia, ini bermakna JDT turut akan melebarkan sayap mereka dari segi pemasaran dan jenama mereka ke negara tesebut. Ia pasti langkah bijak oleh JDT mengambil kira potensi pulangan pada masa hadapan.

2. Scouting JDT lebarkan sayap

Asia Tenggara pernah melahirkan ramai pemain berkualiti. Fandi Ahmad dari Singapura misalnya pernah beraksi di Eropah dan juga di Liga Malaysia.

JDT tidak ketinggalan pernah memiliki pemain import seperti Harris Harun yang telah memberikan impak yang cukup besar kepada pasukan sejak beberapa musim yang lalu.

Dengan menyambar pemain muda seperti Syahrian Abimanyu, ini bermakna JDT amat serius dalam perihal pembangunan bola sepak.

Dan kini ia masa terbaik untuk juara Piala AFC 2015 itu melebarkan sayap pemantauan bakat ke negara-negara jiran.

Indonesia kini sebagai permulaan. Siapa tahu, Thailand, Vietnam dan Filipina turut akan berada di dalam radar pemantau bakat JDT selepas ini.

3. Akademi JDT sedia jadi peneraju di rantau Asia Tenggara

Anda tidak akan mendengar kelab dari Thailand mengasah seorang bakat muda dari Malaysia. Atau seorang pemain muda yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya adalah hasil pembangunan oleh kelab lain dari Singapura.

Kesediaan JDT untuk membuka pintu untuk seorang pemain berusia 21 tahun, dan terus membentuk membuktikan JDT kini bersedia untuk menjadi peneraju penghasilan bakat muda di rantau Asia Tenggara.

Syahrian Abimanyu kini berusia 21 tahun. Walaupun berbakat besar, kita harus akui, pemain ini bukanlah seorang pemain yang boleh disifatkans sebagai finished article.

Dalam erti kata lain, JDT masih perlu mengeluarkan kos untuk membentuk pemain ini. Suatu hari nanti, Syahrian akan bersedia untuk membarisi kesebelasan utama JDT dan skuad Garuda.

Membangunkan bakat luar yang hanya menguntungkan pihak lain (dalam konteks ini skuad kebangsaan Indonesia) masih dianggap konservatif di rantau ini. Hakikatnya jika kita ingin maju, kita harus bersedia menerima persaingan.

Ia tidak menghairankan mengapa JDT menjadi yang pertama dari rantau ini berbuat demikian. Mereka sentiasa di hadapan dalam setiap perkara.

Siapa tahu, satu hari nanti JDT memiliki akademi satelit mereka sendiri di setiap negara di rantau ini.

4. Bola sepak tanpa sempadan

Bola sepak kini bersifat global. Ini bermakna industri bola sepak di sesebuah negara turut akan dipengaruhi oleh apa yang berlaku secara serantau.

Bola sepak juga boleh disifatkan sebagai sebuah sukan yang amat digemari di Asia Tenggara. Namun demikian, bola sepak di rantau ini terlebih dahulu harus berkembang secara bersama.

Sudah tentu anda tidak pernah melihat Liverpool dengan segan silu membangunkan bakat dari Scotland seperti Andy Robertson.

Hari ini Robertson adalah kapten kepada Scotland dan berjaya membawa pasukan itu ke kejohanan utama eropah sejak sekian lama.

Seraya mengumumkan pembelian Syahrian, pemilik kelab bola sepak JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut bertitah pemain ini akan dipinjamkan ke luar negara sebagai sebahagian program jangka masa panjang kelab itu.

Sebagai sebuah kelab bola sepak, mentaliti ‘bola sepak moden’ sebegini seharusnya dimiliki oleh setiap kelab di rantau ini.

Sudah tentu pembangunan bakat seperti Andy Robertson oleh Liverpool tidak pernah dilihat sebagai satu isu di sana. Hakikatnya di rantau ini kita masih bersikap self-centric yang membataskan globalisasi itu dari berlaku.

Lebih teruk jika anda tidak ada sistem pembangunan bakat muda, dan hanya tahu mengumpan pemain dengan kontrak saban musim.

Rumusan

Apa yang dilakukan JDT adalah gambaran bagaimana sebuah kelab profesional sepatutnya berfungsi di dalam aspek pembangunan.

Kami percaya ketibaan Syahrian Abimanyu akan menjadi permulaan kepada banyak lagi perkara hebat yang akan dilakukan oleh JDT pada masa hadapan.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN