4 Pemain PDRM Berdepan Denda ‘Lebih’ Berat Badan

Ishak kunju PDRM Melaka United Liga Super 2020 berat badan

Sekurang-kurangnya empat pemain pasukan Liga Super, PDRM bakal berdepan tindakan denda akibat didapati memiliki badan melebihi berat dibenarkan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengendalinya, Ishak Kunju Mohamed selepas menerima kembali borang kaji selidik yang diserahkan kepada para pemain minggu lalu bagi mengetahui tahap kecergasan, berat badan pemain dan sebagainya.

Baki lima pemain belum serah borang

Setakat 18 borang yang telah diterima, Ishak Kunju mendapati empat pemain telah melebihi berat badan yang sepatutnya dan mengikut yang telah mereka sama-sama persetujui sebelum ini, yang terlibat bakal berdepan tindakan iaitu denda.

“Setakat ini 18 sudah hantar kembali manakala lima lagi belum berbuat demikian. Empat daripadanya didapati tidak melepasi syarat ditetapkan iaitu melebihi berat badan. Pemain berkenaan berdepan hukuman denda jika gagal menurunkannya.

“Tetapi kami tidak kejam, sebaliknya memberikan mereka masa sehingga hari kedua latihan,” jelas pengendali berusia 48 tahun itu lagi kepada Berita Harian.

Denda yang dimaksudkan adalah RM200 untuk setiap satu kilogram (kg) dan seterusnya. Perkara ini bukanlah baru diumumkan, tetapi semua sudah sedia maklum sebelum sesi latihan tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Denda sebagai pengajaran dan motivasi

“Bentuk hukuman ini bukan bersifat untuk menghukum pemain, tapi sebagai pengajaran dan motivasi kepada mereka agar mampu mengawal dan mengekalkan berat badan ideal,” jelas Ishak Kunju kepada Berita Harian sekitar Mac yang lalu.

Menurutnya lagi, ianya juga bagi memastikan semua pemain mengekalkan tahap kecergasan dan juga berat badan yang ideal sebelum liga kembali berlangsung selepas sahaja PKP ditamatkan nanti. Dan kini, PDRM menuntut janji para pemain.

Pihak pengurusan menerusi latihan yang telah ditetapkan kepada para pemain untuk dilakukan di rumah mahukan pemain kembali ke sesi latihan nanti dengan berat badan yang sama dengan yang sebelum PKP dilaksanakan oleh kerajaan.

“Begitu juga dengan ujian kecergasan, pemain perlu melepasi tahap kelajuan larian melebihi 20 kilometer sejam, jika kurang penalti juga menanti pemain,” tambahnya lagi sambil melaungkan keyakinan yang pemainnya akan berjaya mengikutinya.

Tiada lagi isu gaji sangkut

Dalam perkembangan lain, PDRM dilaporkan sudah menyelesaikan masalah gaji tertunggak yang membelenggu mereka sehingga dikenakan hukuman pemotongan tiga mata sebelum saingan Liga Super 2020 bermula pada penghujung Februari lalu.

“Walaupun kami pasukan kecil tetapi kami berjaya selesaikan semua tunggakan sehingga April. Untuk gaji pasukan senior, insyaAllah tiada masalah,” jelas Setiausaha Kehormat PDRM FA, ACP Zulkefly Yahya dan memaklumkan ia berjumlah RM1.3 juta.

“Kami sedih kerana isu ini terus dibangkitkan sedangkan kami sudah selesaikan. Memang pada awal musim, kami ada masalah gaji sehingga dipotong tiga mata.

“Kami buat penjadualan pembayaran tiga kali bermula 50 peratus, 30 peratus dan 20 peratus,” tambahnya lagi sambil memaklumkan pampasan kepada skuad Piala Presiden dan Piala Belia akan turut diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

Penutup

PDRM ketika ini berada di kedudukan tercorot liga dengan -2 mata selepas empat aksi dan jika menurut pengumuman sebelum ini, liga akan dipendekkan kepada hanya satu pusingan dengan Liga Super hanya berbaki tujuh aksi sebelum ditamatkan.

Walaupun isu gaji telah diselesaikan kini, apakah nasib PDRM nanti? Adakah mereka tetap berdepan penyingkiran semula ke Liga Premier pada musim hadapan?

KREDIT FEATURED IMAGE: MUSA

Baca lagi artikel mengenai PDRM FA:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN