Mengapa Manchester United Wajar Berikan Kontrak Baharu kepada Fred

Fred Scott McTominay Man United 2020 kontrak

Dengan Scott McTominay telah menyambung kontraknya bersama Manchester United, mungkin mereka juga wajar mempertimbangkan lanjutan kontrak buat Fred.

Fred merupakan pemain tengah The Red Devils sejak musim 2018, namun sedikit bergelut untuk memberikan aksi terbaiknya pada musim pertamanya. Kini, segalanya seakan-akan berubah dengan beliau merupakan antara pemain utama musim ini.

Gilberto Silva: Fred cedera ketika sertai United

Untuk musim 2019/20, Fred telah tampil dalam kesebelasan utama sebanyak 23 kali daripada 26 penampilannya di Premier League. Berbanding musim lalu, pemain asal Brazil itu hanya tampil 17 kali dalam musim yang boleh dikatakan sukar buatnya.

Berhijrah menyertai Man United daripada Shakhtar Donetsk dengan yuran perpindahan yang lumayan, £52 juta, Fred dilihat tenggelam untuk mencapai permainan terbaiknya. Menurut ejennya, terdapat beberapa faktor yang telah mengganggu pemain itu.

Gilberto Silva, bekas pemain Arsenal yang kini merupakan ejen Fred menjelaskan yang pemain berusia 27 tahun itu ketika itu masih bergelut dengan isu kecederaannya dan prestasi selepas pulang daripada Piala Dunia 2018 dan menyertai Man United.

Dengan kelajuan permainan di Premier League, pemain itu jelas mengambil masa untuk menyesuaikan dirinya dan pertukaran pengendali daripada Jose Mourinho kepada Ole Gunnar Solskjaer juga menyebabkan Fred harus segera sesuaikan diri.

Fred adalah Player of The Season

Berdepan kesukaran dari segi komunikasi dan perubahan budaya baharu berbanding lima tahunnya di Ukraine, Fred amat bergantung harap kepada Gilberto Silva sebagai pendengar setianya apabila beliau gagal menempatkan diri dalam skuad Man United.

“Tugas saya adalah untuk menjadi pendengar setianya, terutamanya ketika beliau kecewa apabila hanya memanaskan bangku simpanan atau tiada dalam senarai pemain untuk perlawanan. Saya perlu menukarkannya menjadi motivasi buatnya.

https://twitter.com/ManUnited_ENG__/status/1274009640397873153

“Kunci untuk memahaminya adalah kita perlu berada dalam situasinya,” ujar Gilberto Silva yang juga pernah melalui situasi yang sama apabila menyertai Arsenal pada musim 2002 selama enam musim daripada sebuah kelab Brazil, Atletico Mineiro.

Menurut bekas pemain Man United, Dimitar Berbatov, Fred selayaknya digelar pemain terbaik mereka musim ini dengan menyatakan bagaimana permainan pemain itu telah membantu rakan-rakan lain untuk bergerak lebih bebas mengatur serangan.

Kualiti Fred bergantung kepada gandingannya

Fred berlainan daripada pemain tengah bertahan tradisional kerana beliau sangat bagus ketika pasukan dalam fasa menyerang. Beliau memiliki kualiti melakukan hantaran jauh tepat dan pantas, serta cepat dalam membantu transisi pasukan.

Semakin beliau berada di atas, semakin efektif hantaran-hantaran ke depannya. Gaya permainan yang seakan-akan box-to-box ini sesuai untuk digandingkan bersama seorang pemain tengah yang lebih fokus untuk membantu benteng pertahanan.

Walaubagaimanapun, kekurangan Fred adalah jika pasukannya membina serangan daripada bawah dan beliau perlu mengambil bola itu daripada penjaga gol. Bertubuh kecil, beliau sememangnya bukan seorang pemain tengah bertahan tradisional.

Gandingannya bersama McTominay dilihat sangat berkesan selain Nemanja Matic, jika Man United menggunakan dua pemain tengah bertahan, tetapi sekiranya diturunkan berseorangan, kesannya adalah benteng pertahanan pasukan akan lebih terdedah.

Berjaya tampung ketiadaan Paul Pogba

Masa berlalu dengan memasuki musim keduanya di Old Trafford, Fred kini dilihat semakin memperbaiki penampilannya di atas padang dan merupakan antara pemain yang kerap kali menjadi pilihan utama Solskjaer dalam kesebelasan utama.

Man United di bawah kendalian Solskjaer juga dilihat semakin baik berbanding prestasi pada musim lalu dengan ketika ini mereka berada di kedudukan ke-5 liga dan sedang cuba bersaing untuk kembali ke Champions League pada musim hadapan.

Ketiadaan Paul Pogba sebelum ini berjaya ditampungnya dengan sangat baik, membolehkan The Red Devils kembali memanjat tangga liga dan gandingannya bersama pemain muda meningkat naik, Scott McTominay tampak semakin menjadi.

McTominay yang baru berusia 23 tahun itu dilihat masih memerlukan masa untuk lebih berkembang menjadikan Fred masih releven untuk diberikan kontrak baharu dan kekal, ditambah pula dengan Nemanja Matic yang semakin dimakan usia.

Penutup

Jentera tengah Man United sudah semakin pulih dengan kehadiran Bruno Fernandes dan dikatakan memerlukan masa untuk mendapat rentak bergandingan bersama pemain terbaik mereka yang baru pulih daripada kecederaan – Paul Pogba.

Oleh yang demikian, pemain seperti Fred yang telah tampil majoriti dalam kesebelasan utama mereka saat ini masih diperlukan dan dengan memberikan kontrak yang lebih baik kepadanya pasti akan meningkatkan lagi motivasi pemain itu selepas ini.

KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES

Baca lagi artikel mengenai Fred dan Manchester United:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN