Jendela perpindahan musim 2017/18 semestinya menjadi antara musim perpindahan yang telah mencapai rekod urusan jual beli pemain dengan jumlah harga tertinggi.
Mana tidaknya, pemain-pemain ternama seperti Neymar, Phillipe Coutinho, Romelu Lukaku dan Ousmane Dembele telah berjaya didatangkan ke kelab baru pada musim ini oleh pihak pengurusan masing-masing dengan harga perpindahan yang tinggi dan tidak keterlaluan untuk dikatakan ‘tidak masuk akal’.
Namun, tahukah anda, terdapat beberapa pemain pada musim ini yang kurang mendapat perhatian umum dalam pasukan yang diwakili meskipun mereka direkrut dengan jumlah perpindahan yang tinggi.
Berikut merupakan 4 pemain yang gagal mendapat tempat meskipun mereka didatangkan dengan harga perpindahan tinggi ketika jendela perpindahan musim panas lalu.
1. Davy Klaassen
Didatangkan dari Ajax Amsterdam, Davy Klaassen telah berjaya memikat pihak Everton untuk membawa beliau berhijrah ke England dengan yuran perpindahan sebanyak 27 juta Euro.
Pada awal kehadirannya di Goodison Park, pihak pengurusan Everton beranggapan bahawa pemain berusia 24 tahun dari Belanda ini merupakan calon yang terbaik bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan selepas mereka kehilangan Romelu Lukaku.
Ketika beraksi bersama Ajax, Klaassen telah berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang. Beliau telah berjaya membantu pasukan itu dengan berjaya mencetak 49 gol dalam 163 penampilannya bersama pasukan.
Situasi ini membuatkan pengurusan Everton berani membuat keputusan mendatangkan Klaassen ke Everton dan menandatangani kontrak selama lima tahun.
Malangnya, impian untuk melihat Klaassen berjaya di Everton boleh dianggap mula samar. Klaassen kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Everton, selepas pasukan itu diambil alih oleh Sam Allardyce yang sebelum ini dibimbing oleh Ronald Keoman.
Persaingan hebat di posisi tengah dengan beberapa pemain seperti Idrissa Gueye dan Gylfi Sigurðsson menyebabkan Sam Allardyce tiada pilihan lain hanya memberi peluang buat Klaassen untuk tampil dalam 3 perlawanan sahaja dalam saingan Premier League ketika ini. Gagal memikat pengurus pasukan, membuatkan nama Klaassen semakin tenggelam dalam kalangan peminat setia Premier League.
2. Theo Hernandez
Kehadiran Theo Hernandez ke Real Madrid mendapat perhatian peminat setia Los Blancos. Real Madrid telah berbelanja hampir 27 juta Euro bagi mendapatakn khidmat pemain ini dari Atletico Madrid.
Keputusan Theo untuk memilih bergabung bersama Los Blancos dianggap satu langkah silap bagi dirinya. Beliau sering tersenarai sebagai pemain simpan pasukan. Memandangkan, beliau posisinya selaku bek kiri yang kini masih diberikan kepada Marcelo dalam kesebelasan utama.
Berbanding Theo, Marcelo lebih mendapat kepercayaan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane dalam setiap perlawanan.
Hal ini menyebabkan Theo gagal mendapat tempat dan kesempatan untuk bermain bersama Real Madrid.
Sekaligus menyebabkan Theo gagal untuk menampilkan prestasi yang terbaik dan membuktikan kemampuannya bersama pasukan.
Kurang menonjol dan tidak diberikan peluang, menjadi alasan mengapa Theo Hernandez kurang mendapat perhatian penyokong bolasepak ketika ini.
3. Andre Silva
Semenjak AC Milan diambil alih oleh seorang hartawan dari China, Li Yonghong, kelab itu sangat aktif dalam hal urusan pembelian pemain-pemain baru.
Li mahu membawa kelab tersebut kembali ke zaman kegemilangan. Ini dibuktikan apabila beliau sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain baru bagi memperkuatkan jentera pasukan.
Pada jendela perpindahan musim 2017/18, AC Milan merupakan antara pasukan di Eropah yang telah melakukan rombakan pemain secara besar-besaran.
Mereka telah berjaya membawa masuk hampir 11 muka baru untuk menyarung jersi skuad yang berpangkalan di Milan itu.
Namun begitu, prestasi Rossoneri dalam saingan Serie A musim ini tidak seperti yang diharapkan. AC Milan kini berada ditangga ke-9 dengan hanya mengumpul 28 mata dalam 20 perlawanan yang dihadapi.
Dibawah kendalian, Gennaro Gattuso, pencapaian AC Milan mungkin dianggap gagal dalam saingan musim ini.
Kegagalan AC Milan juga tidak terlepas dari komen negatif dari peminat setia mereka. Penyokong mempersoalkan mengenai urusan pembelian pemain baru AC Milan yang dikatakan kesemuanya adalah gagal dan ianya hanya satu pembaziran.
Dari 11 pemain yang berjaya didatangkan pada musim ini, Andre Silva merupakan pemain yang dianggap paling tidak berbaloi dek kerana harga perpindahannya yang gila dan tidak masuk akal. Andre Silva berhijrah dari FC Porto dengan jumlah perpindahan mencecah 36 juta Euro.
Pamer aksi yang tidak setanding dengan harganya, membuatkan dirinya sering dilabelkan pemain paling merugikan buat AC Milan ketika ini. Aksi Silva bersama AC Milan gagal memikat hati para penyokong, sehingga kini, beliau masih gagal menjaringkan sebarang gol dalam saingan Serie A.
4. Victor Lindelof
Awal kehadiran Victor Lindelof ke Manchaster United dikatakan adalah satu perancangan pasukan untuk memperkuatkan benteng pertahanan Red Devils pada musim baru ini. Lindelof didatangkan dari Benfica dengan jumlah perpindahan bernilai 35 juta Euro.
Namun, sejak menjejak kaki ke Old Traford, Victor Lindelof sering tidak terlepas menerima kritikan pedas dari penyokong setia Manchester United.
Ini kerana beliau gagal menampilkan aksi yang baik ketika diberi peluang beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Lindelof mula tidak mendapat kepercayaan Jose Mourinho selepas mempamerkan aksi buruk apabila pasukan itu berdepan kekalahan mengejutkan 2-1 di tangan Huddersfield Town.
Mourinho turut mengakui dirinya amat terkejut menyaksikan persembahan yang dipamerkan anak buahnya itu.
Hal ini menyebabkan nama Lindelof hanya disenaraikan untuk memanaskan bangku simpanan kem Manchester United sahaja.