Barcelona baru sahaja mengumumkan telah memberikan nombor 14 secara rasmi buat pemain baru mereka, iaitu Philippe Coutinho yang didatangkan dari Liverpool.
Nombor yang pasti akan mengingatkan peminat setia Barcelona kepada mendiang Johan Cruyff yang turut pernah mengenakan jersi bernombor 14 ketika bersama kelab Catalan itu.
Javier Mascherano merupakan pemegang rekod pemain yang paling lama menyarung jersi bernombor 14 di Barcelona. Beliau menggunakan nombor tersebut selama hampir 7 tahun, sejak Ogos 2010.
Setelah Barcelona melepaskan Javier Mascherano ke Hebei China Fortune, Coutinho pula mewarisi nombor 14 yang sebelum ini menjadi milik pemain antarabangsa Argentina tersebut.
Selain Cruyff, Mascherano dan Coutinho, terdapat beberapa orang pemain lagi yang pernah mengenakan jersi bernombor 14 di Nou Camp. Antara pemain tersebut adalah:
1. Jordi Cruyff ( 1994-1996)
Jordi Cruyff merupakan anak kepada Johan Cruyff yang terkenal sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman.
Bakat Jordi mula dinilai ketika beliau menyertai skuad akademi Barcelona B sejak tahun 1992. Dua tahun kemudian, Jordi telah dinaikan pangkat menyertai skuad senior Barcelona.
Pada perlawanan pra musim pertamanya bersama Barcelona di Belanda, Jordi telah berjaya mempamerkan aksi yang menyakinkan selepas beliau berjaya membantu pasukannya itu menewaskan Groningen dan De Graafschap.
Di bawah kendalian Stoickhov dan Koeman sekitar tahun 1994-1996, Jordi Cruyyf telah diberikan mandat memakai jersi bernombor 14.
Walaupun berjaya mempersembahkan aksi yang cemerlang bersama Barcelona, beliau gagal membantu pasukan dari Catalan itu merangkul sebarang kejuaraan La Liga ketika itu. Barcelona hanya berjaya menduduki tangga ke-4 dan ke-3 dalam dua musim.
Jodohnya bersama Barcelona tidak bertahan lama, selepas berakhirnya musim La Liga pada tahun 1996, Manchester United antara pasukan yang tampil menawarkan khidmat Jordi untuk bergabung bersama pasukan mereka.
Hasil rundingan tersebut telah berjaya mencapai kata sepakat kedua-dua pihak, pada Ogos 1996, Jordi telah menandatangani kontrak selama 4 tahun bersama The Red Devils. Yuran perpindahan pemain tersebut mencapai £1.4 juta.
2. Emmanuel Amunike (1996-2000)
Mungkin ramai peminat bolasepak tidak mengetahui tentang pemain asal Nigeria ini yang pernah bersama Barcelona sekitar era Ronaldo Nazario, Rivaldo dan Luis Figo.
Emmanuel Amunike merupakan pemain yang bermain di posisi sayap yang telah diberikan nombor 14 bersama pasukan selepas nombor tersebut tinggalkan oleh Jordi Cruyff.
Amunike menyertai Barcelona dari Sporting CP dengan yuran perpindahan sebanyak $3.6 juta. Selama 4 tahun menyarung jersi Barcelona, Amunike hanya tampil 19 kali perlawanan sahaja.
Hal ini kerana, kecederaan serius yang dialaminya di bahagian lutut menyebabkan beliau terpaksa disisihkan oleh pasukan.
Kecederaan Amunike tidak menunjukkan tanda-tanda positif untuk kembali pulih sepenuhnya, membuatkan pihak pengurusan terpaksa memutuskan untuk melepaskan pemain itu pada tahun 2000.
Amunike kemudiannya telah dijual kepada kelab Albacete Fútbol Asociación yang bermain di dalam Liga Divisyen 2 Sepanyol ketika itu.
3. Gerard Lopez (2000-2005)
Dilahirkan di bandar Granollers, Barcelona, Gerard Lopez memulakan karier bolasepaknya ketika bersama pasukan akademi bolasepak Barcelona pada pada tahun 1996/97.
Berusia 17 tahun, Gerard telah tampil sebanyak 35 kali perlawanan dan berjaya menjaringkan 10 gol secara keseluruhan.
Selepas berakhirnya saingan musim 1996/7, Gerard telah berjaya dipancing oleh Valencia CF untuk mendapatkan khidmat beliau.
Gerard telah menandatangi kontrak selama 4 tahun bagi menyarung jersi Valencia CF bagi memperkuatkan pasukan tersbut yang beraksi dalam saingan La Liga.
Penghijrahan Gerard Lopez ke Valencia membuahkan hasil yang lumayan apabila beliau berjaya membantu skuad Los Che itu layak ke peringkat akhir saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim 1999/00.
Dengan berakhirnya perjanjian kontrak selama 4 tahun Gerard di Valencia, kesempatan tersebut diambil oleh beberapa kelab besar di Eropah seperti Manchester United, AC Milan, dan Inter Milan dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut.
Walaupun mendapat banyak tawaran dari kelab-kelab terbaik di Eropah, Gerard telah membuat keputusan dengan memutuskan untuk kembali ke pangkuan bekas kelabnya, Barcelona.
Gerard menyertai Barcelona pada pertengahan tahun 2000, yuran perpindahan sebanyak € 22 juta dengan perjanjian kontrak selama 5 tahun.
Selama tempoh 5 tahun bersama Barcelona, Gerard Lopez diberikan nombor 14 pasukan. Beliau hanya tampil sebanyak 91 kali perlawanan dengan berhasil menjaringkan 5 gol secara peribadi.
Antara trofi yang berjaya diperolehinya bersama Barcelona adalah kejuaraan La Liga pada musim 2004/05.
4. Thierry Henry (2007-2010)
Selama 8 tahun memakai jersi bernombor 14 ketika bersama Arsenal sekitar tahun 1999-2007, Thierry Henry memutuskan untuk terus menyarung jersi bernombor 14 selepas berhijrah menyertai Barcelona pada jendela perpindahan musim 2006/07.
Bersama gergasi Sepanyol tersebut, Henry telah berjaya meraih banyak kejuaraan antaranya ialah La Liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara Eropah.
Henry tampil sebanyak 80 penampilan bersama pasukan dan berjaya menjaringkan 35 gol bagi membantu Barcelona.
Apakah nombor 14 ini akan kekal menjadi milik Philippe Coutinho sehingga tamatnya kontrak beliau bersama Barcelona? Dan adakah nombor ini bakal membawa tuah buat pemain kelahiran Brazil tersebut di Nou Camp ?