Pemain tengah Liverpool, Philippe Coutinho sah menyertai Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak £146 juta (RM770 juta). Yuran perpindahan tersebut mencatatkan rekod baru nilai perpindahan melibatkan pasukan daripada British.
Pemain kelahiran Brazil itu bakal memeterai kontrak selama lima tahun setengah bersama Barcelona setelah gergasi Catalan tersebut berusaha untuk membawa pemain tengah tersebut sejak jendela perpindahan pemain pada musim panas yang lalu.
Meskipun kehadiran Coutinho di Nou Camp membawa khabar gembira buat penyokong Barcelona, ia mungkin membawa perkhabaran sebaliknya yuntuk beberapa pemain kelab tersebut.
Mana tidaknya, kehadiran bekas pemain Liverpool tersebut pasti mengancam peluang pemain-pemain sedia ada untuk beraksi bersama Barcelona.
Berikut merupakan 4 pemain yang bakal kehilangan tempat di dalam kesebelasan utama Barcelona selepas ketibaan Coutinho.
1 . Gerard Deulofeu
Menampilkan prestasi yang cemerlang ketika dipinjamkan ke AC Milan dalam saingan Serie A sebelum ini, pemain berusia 23 tahun ini telah berjaya memikat hati Ernesto Valverde apabila beliau mendapat panggilan semula untuk kembali menyarung jersi Barcelona selepas berhijrah menyertai Everton pada tahun 2015.
Gerard Deulofeu sebelum ini telah ditawarkan kontrak untuk menyertai AC Milan secara pinjaman selama 6 bulan dari Everton pada awal tahun 2017.
Bersama AC Milan, Deulofeu berjaya menjaringkan 4 gol melalui 17 penampilannya bersama pasukan tersebut.Cemerlang di Itali, membuatkan pemain ini mendapat perhatian dari pihak pengurusan Barcelona.
Deulofeu kembali diberikan peluang menyarung kelab Catalan tersebut pada tahun ini. Musim 2017/2018, Deulofeu telah tampil sebanyak 9 perlawanan dengan 494 minit aksi di atas padang.
Namun dengan kedatangan Coutinho ke Barcelona, Deulofeu pasti akan mengalami kesukaran untuk berada kekal di posisinya sebelum ini. Beliau harus bersaing hebat bagi merebut posisi serangan pasukan.
2. Andre Gomes
Kegagalan mendapat tempat di dalam kesebelasan utama sejak didatangkan dari Valencia pada musim 2016/17 menjadi mimpi buruk buat Andre Gomes.
Aksi penyerang berusia 24 tahun ini telah mendapat kritikan ramai pihak kerana persembahanya yang gagal menambat hati para penyokong.
Gomes setakat ini hanya berjaya menjaringkan 3 gol melalui 39 penampilannya bersama Barcelona sejak tiba dari Mestalla pada musim lalu.
Gomes juga kerap mengalami kecederaan. Isu kecederaan membuatkan pengurusan Barcelona sedang berusaha untuk melepaskan Gomes dari Nou Camp, namun mengalami kesulitan untuk mencari kelab yang berminat.
Sebelum ini, dua kelab EPL iaitu West Ham dan Tottenham Hotspurs dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu secara pinjaman pada bursa perpindahan musim panas lalu.
Akan tetapi, penghijrahan Gomes tidak mendapat kesepakatan pihak terbabit.
Musim iniGomes telah disenaraikan sebanyak 5 kali dalam skuad Barcelona untuk saingan La Liga. Masa hadapan Gomes dijangka menjadi semakin sukar selepas ketibaan Coutinho.
3 . Sergi Roberto
Memiliki kemampuan untuk bermain di bahagian bek kanan dan tengah pasukan, posisi Sergi roberto dalam barisan pertahanan Barcelona ketika ini terancam dengan kehadiran Nelson Semedo.
Bagi merebut tempat di posisi tengah pula, Roberto harus bersaing hebat dengan Paulinho, Ivan Rakitic dan Andres Iniesta.
Apabila Barcelona mengesahkan pembelian Coutinho semalam, ia pasti menjadi misi yang lebih sukar untuk memikat Ernesto Valverde untuk bagi Sergi Roberto.
Sejak diserap masuk menyertai pasukan senior Barcelona pada tahun 2010, pelatih akademi La Masia ini telah tampil sebanyak 109 kali bersama skuad utama.
Musim 2017-18 Sergi roberto telah diberikan peluang untuk beraksi sebanyak 14 perlawanan dalam saingan La Liga, 4 penampilan di saingan Liga Juara-Juara Eropah, 3 kali di saingan Copa del Rey dan 2 lagi penampilan di perlawanan Supercopa.
4. Ivan Rakitic
Didatangkan dari Sevilla pada musim 2014/15 , Ivan Rakitic telah berjaya menjadi salah satu watak penting di posisi tengah pasukan Barcelona sepanjang karier di Nou Camp
Namun, posisi pemain kebangsaan Croatia itu di Barcelona selepas ini bakal terancam dengan kehadiran Coutinho. Ketika ini, Rakitic sudah berusia 29 tahun. Faktor usia mungkin tidak akan menyebelahi Rakitic berbanding dengan Coutinho.
Sebelum ini, media Sepanyol melaporkan posisi Ivan Rakitic bakal terancam selepas kedatangan Andre Gomes dan Denis Suarez. Namun, pemain itu membuktikan bahawa beliau masih mampu menjadi tonggak penting untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Ketika Luis Enrique Martinez menjadi pengurus Barcelona, beliau tidak menurunkan Rakitic dalam kesebelasan utama. Padahal, pemain itu berada dalam keadaan yang cergas sepenuhnya.
Alasan utama Enrique adalah kerana beliau tidak berpuas hati dengan persembahan Rakitic dalam beberapa perlawanan sebelumnya.
Ivan Rakitic mengalami penurunan prestasi sejak beliau mengalami kecederaan dibahagian lutut pada awal Oktober 2016. Sebelum ini, Daily Star melaporkan bahawa pemain itu menjadi salah satu pemain yang akan dijual pada jendela perpindahan lalu.
Kelab seperti Chelsea dan Paris Saint-Germain juga dilaporkan menjadi pasukan yang berhasrat mendapatkan khidmat pemain tengah tersebut.
Kesimpulan
Bagi penyokong Barcelona, kehadiran Philippe Coutinho ke Nou Camp dianggap sebagai hadiah tahun baru buat mereka. Semestinya kehadiran Coutinho akan membuatkan Barcelona tampil lebih kuat selepas ini.
Dengan deretan nama bintang utama dunia yang menyarung jersi pasukan tersebut, pemain-pemain harus bersaing hebat bagi memikat hati pengendali pasukan, Ernesto Valverde untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Satu perkara yang pasti ialah Ernesto Valverde punyai lebih banyak pilihan formasi dan taktikal dengan kehadiran Philippe Coutinho.