Quantcast

KAJIAN & FAKTA

4 Pasukan Paling Banyak Membuat Penampilan Dalam Liga Super Malaysia

Liga Super Malaysia sudah memasuki tahun ke-15 penganjurannya selepas menggantikan Liga Perdana Satu sebagai liga utama tanah air pada tahun 2004.

Seperti diketahui umum, Johor Darul Takzim yang telah membuat penampilan dalam aksi liga pada tahun 2013 mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama berjaya menjuarai empat koleksi Liga Super berturut-turut.

Kelab dari selatan tanah air itu berjaya melakar kejayaan memenangi empat kejuaraan berturut-turut pada tahun 2014, 2015, 2016 dan yang terbaru pada musim 2017.

Beberapa perubahan telah dilakukan untuk memeriahkan saingan liga antaranya seperti liga tiga pusingan yang melibatkan 8 pasukan sahaja seperti pada tahun awal tiga tahun penganjuran liga ini.

Kemudiannya pasukan ditambah kepada 13 pasukan pada tahun 2007 dan 2008 serta tambahan kepada 14 pasukan yang dibuat pada 2009 hingga 2012 sebelum yang terakhir pasukan yang bertanding dikurangkan kepada 12 pasukan hingga ke edisi tahun ini.

Mari kita singkap serba sedikit mengenai 4 pasukan yang telah membuat penampilan terbanyak dalam saingan Liga Super Malaysia sehingga tahun 2018 :

Terengganu ( 11 Penampilan )

Pasukan dari Pantai Timur ini membuat penampilan sulung dalam Liga Super 2006-07 selepas berjaya menewaskan Sabah dalam saingan ‘play off’ untuk menentukan pasukan yang akan layak ke Liga Super.

Walaupun masih gagal untuk meraih sebarang kejuaraan, Terengganu berjaya menamatkan saingan di kedudukan lima pasukan teratas pada 7 penampilan pasukan tersebut di Liga Super.

Kredit foto : google.com

Pencapaian terbaik yang pernah dikecapi Terengganu dalam saingan Liga Super adalah pada tahun 2011 apabila mereka berjaya menduduki tangga ke-2 dibelakang  pasukan jiran, Kelantan.

Selepas tersingkir ke Liga Perdana 2017, Terengganu mengorak langkah untuk kembali ke kancah Liga Super musim ini.

Selangor ( 13 Penampilan )

Pasukan yang penuh dengan tradisi ini hanya terlepas daripada beraksi di liga utama ini adalah pada dua edisi terawal iaitu pada tahun 2004 dan 2005.

The Red Giants layak ke Liga Super buat pertama kali dengan bergaya ketika itu apabila skuad yang dibarisi pemain bintang seperti Bambang Pamungkas, Brian Fuentes dan Khalid Jamlus berjaya membentuk gandingan mantap untuk membantu Selangor menjuarai Liga Perdana 2005.

Mereka turut berjaya menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun yang sama.

Kredit foto : Izham Jaafar-SUKAN

Selangor menyamai rekod yang dicipta Kedah apabila berjaya memenangi dua kejuaraan liga berturut-turut pada tahun 2009 dan 2010. Ketika itu masih dalam tempoh dimana pemain import tidak dibenarkan beraksi di Liga Malaysia selama 3 tahun.

Hanya pada dua penampilan terawal (2005-06 & 2006-07) sahaja Selangor menduduki tangga ke-8 dan musim lalu di tempat ke-6, selain daripada itu mereka berjaya menamatkan saingan di kedudukan lima pasukan teratas.

Pahang ( 14 penampilan )

Pasukan yang menjadi juara sulung Liga Super apabila gandingan pemain berstatus bintang yang dihimpunkan Pahang ketika itu berjaya menghadiahkan kejuaraan selepas memungut 47 mata dalam satu musim. 9 Mata meninggalkan Selangor Public Bank ditempat kedua.

Pasukan ini hanya terlepas satu penampilan dalam Liga Super iaitu pada tahun 2012 setelah aksi hambar yang dipamerkan skuad Pahang menyebabkan mereka hanya berada di tempat ke-11 liga untuk menelan kepahitan terpaksa turun ke Liga Perdana 2012.

Kredit foto : google.com

Pahang yang berada di tangga ke-2 Liga Perdana 2012 perlu menghadapi saingan ‘play off’ bersama tiga lagi pasukan di kelompok bawahan Liga Super ketika itu seperti Sabah, Sarawak dan Kedah.

Pahang berjaya menundukkan Sarawak pada perlawanan ‘play off’ pertama dan seterusnya menempah pertemuan dengan Kedah untuk merebut satu slot ke Liga Super 2013.

Akhirnya Pahang kembali setelah menumpaskan Kedah pada penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 dalam masa sebenar permainan untuk menghantar Kedah ke Liga Perdana 2013.

Perak ( 15 penampilan )

Perak menjadi satu-satunya pasukan yang membuat penampilan dalam semua edisi Liga Super sejak mula diperkenalkan pada tahun 2004.

Namun dalam masa yang sama Perak masih belum pernah menjuarai sebarang kejuaraan Liga Super.

Peluang paling hampir yang dimiliki Perak untuk menjuarai Liga Super adalah pada tahun 2006-07 apabila hanya dipisahkan 2 mata daripada Kedah yang menjuarai liga ketika itu.

Kredit foto : yob4ever

Semuanya bermula apabila Perak yang mendahului liga selepas tamat perlawanan ke-22 hanya mampu seri keatas Terengganu di Ipoh dan peluang tersebut digunakan sepenuhnya Kedah yang berjaya membelasah Negeri Sembilan dengan keputusan 7-0.

Kemenangan yang diraih kedua-dua pasukan pada perlawanan terakhir liga akhirnya memberikan Kedah mahkota kejuaraan pada tahun tersebut.

Kredit foto : Pahang FA