Terdapat tiga pemain muda Arab Saudi yang mengejutkan Argentina pernah beraksi berdepan Malaysia pada 2018 dan meraih kemenangan tipis 2-1.
Menariknya, berdepan juara dunia dua kali itu dalam aksi sulung Kumpulan C, Arab Saudi berhasil untuk menumbangkan mereka dengan keputusan 2-1 di hadapan lebih 88,000 penyokong di Stadium Lusail Iconic, sebentar tadi.
Ia sekaligus menebus maruah wakil Asia yang dicarik-carik oleh England selepas Iran dibelasah 6-2 dalam aksi sulung Kumpulan B, semalam.
Argentina terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Lionel Messi pada minit ke-10 menerusi sepakan penalti, sebelum ‘The Falcons’ bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Saleh Al-Shehri di minit ke-48. Salem Al-Dawsari memadam hasrat Argentina menerusi jaringannya di minit ke-53.
Kemenangan tersebut telah membantu Arab Saudi untuk menerajui carta Kumpulan C, Piala Dunia 2022 yang turut didiami Mexico serta Poland.
FULL-TIME IN LUSAIL
🇸🇦 Saudi Arabia 2-1 Argentina 🇦🇷#KSAARG pic.twitter.com/q5n3nI9eBu— Saudi National Team (@SaudiNT_EN) November 22, 2022
Melihat kepada senarai pemain Arab Saudi yang berdepan Messi & Co itu, rata-rata pemain yang membarisi skuad tersebut daripada kelab Al-Hilal – sembilan pemain. Ia umpama Al-Hilal turun berdepan dengan Argentina.
Mungkin inilah ramuan pengendali mereka, Herve Renard untuk sekurang-kurangnya dapat memberi saingan sengit buat barisan pemain bintang.
Begitupun, mereka mendapat lebih daripada apa yang mereka impikan pada awalnya apabila dengan cemerlangnya mengejutkan skuad ‘La Albiceleste’.
Melihat kepada senarai kesebelasan utama mereka, terdapat tiga pemain yang kini menjadi tonggak utama pernah beraksi berdepan Malaysia dalam kempen Kejohanan AFC B-19 yang berlangsung di Indonesia pada 2018.
2018 AFC U-19 Championship Group D Match | Saturday, 20th October 2018
Full Time
SAUDI ARABIA 2-1 MALAYSIA
Turki Marwan Alammar 24’ Salem Ahmed Alsaleem 78’
Hadi Fayyadh 87’Photo Credit: AFC #FAM #HarimauMalaya #AFCU19 pic.twitter.com/j4Givhm7IM
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 20, 2018
Mereka adalah bek tengah, Hassan Tambakti, bek kanan, Saud Abdulhamid dan pemain sayap menyerang, Firas Al-Buraikan. Ketiga-tiganya kini berusia di antara 22 dan 23 tahun dan merupakan masa depan bola sepak mereka.
Dalam edisi tersebut, Arab Saudi akhirnya muncul juara di kejohanan dwi tahunan itu apabila menundukkan Korea Selatan 2-1 di pentas final.
Siapa pula pemain yang mengibarkan cabaran skuad Harimau Muda pada ketika itu? Antara pemain tersebut adalah Hadi Fayyadh selain penjaga gol, Azri Ghani, Nik Akif Syahiran, Akhyar Rashid dan Zahril Azri Zabri.
Malah bintang muda meningkat naik Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharuddin turut berada dalam skuad bimbingan Bojan Hodak tersebut.
Namun, skuad muda negara hanya menamatkan kempen di kedudukan tercorot Kumpulan D dengan mengumpul satu mata daripada tiga aksi.
Skuad B-19 Kebangsaan Tiba Di Tanah Air
Skuad B-19 kebangsaan kendalian Bojan Hodak selamat tiba di KLIA, Sepang, petang ini dari kempen Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia.#FAM #HarimauMalaya #AFCU19 pic.twitter.com/oSECrHZYv4
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 27, 2018
Kembali kepada tiga tonggak muda Arab Saudi yang diturunkan berdepan Argentina sebentar tadi yang pernah tewaskan Malaysia di AFC B-19 kira-kira empat tahun lalu. Hassan, Saud dan Firas adalah antara tiga pemain termuda Arab Saudi yang membawa cabaran mereka di Qatar saat ini.
Bek tengah, Hassan Tambakti diturunkan bergandingan bersama pemain veteran, Ali Al-Bulaihi untuk mengekang pemain-pemain ternama Argentina seperti Messi, Angel Di Maria dan Lautaro Martinez. Walaupun hanya beliau seorang bukan pemain yang berasal dari Al-Hilal di benteng, aksinya di usia 23 tahun boleh dikatakan terpuji. Beliau kini adalah tunjang kelab Al-Shabab.
Saud Abdulhamid adalah bek kanan dan ketika di usia 19 dan 20 tahun, beliau sudah merekodkan lebih 2,000 minit permainan semusim di Saudi Profesional League (SPL) bersama Al-Ittihad sebelum dipinang Al-Hilal musim lalu. Idolanya, Dani Alves turut tampil beraksi di Piala Dunia kali ini.
Pemain sayap menyerang, Firas Al-Buraikan mungkin yang termuda di antara mereka bertiga, namun beliau memiliki kaps terbanyak iaitu 28 kaps dengan enam gol berbanding 20 kaps (Hassan) dan 24 kaps (Saud).
Firas juga merupakan salah seorang pemain yang tidak bermain bersama Al-Hilal tetapi berada dalam skuad utama ‘The Falcons’ selain Hassan. Berusia 22 tahun, musim lalu merupakan musim terbaiknya dengan merekodkan lebih 2,000 minit permainan dan meledak 11 gol.