3 Sebab Mungkin Tiada Debut Buat Safawi Rasid Bersama Portimonense SC

Safawi Rasid

Malam esok, Astro Arena bakal menayangkan secara langsung perlawanan Primeira Liga antara kelab yang diwakili Safawi Rasid di Portugal, Portimonense SC menentang CS Maritimo. Adakah penyerang muda itu bakal diturunkan untuk debutnya?

Ramai yang mengharapkan agar pemain yang dipinjam daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diturunkan untuk aksi ke-4 liga tertinggi di Portugal tersebut sehinggakan Astro Arena berusaha mendapatkan perlawanan tersebut ditayangkan di sini.

Walaubagaimanapun, mungkin kita tidak akan dapat melihat debut Safawi Rasid untuk aksi menentang CS Maritimo, pasukan yang berada di kedudukan kelima liga ketika ini. Berikut adalah tiga sebab yang memungkinkan beliau belum tampil beraksi.

Safawi Rasid adalah pemain pinjaman

Kita semua sedar status Safawi Rasid di kelab tersebut. Beliau hanya dipinjamkan daripada JDT untuk tempoh semusim. Adakah pemain yang dipinjam akan serta merta mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan? Sudah tentu sukar.

Tidak menafikan bakat besarnya, bakat pemain berusia 23 tahun itu di bumi Portugal mungkin hanya kecil anak. Beliau masih perlu membuktikannya sama ada menerusi sesi latihan ataupun secara berperingkat – perlawanan demi perlawanan.

Jika rezekinya, beliau boleh dimasukkan sebagai pemain gantian di babak kedua – secara berperingkat mengikut kepada perancangan pasukan berdepan satu-satu perlawanan tersebut. Paling kurang 15 minit aksi menuju wisel penamat.

Baru sahaja tiba, tidak melalui pra-musim

Musim 2019/20 Primeira Liga berakhir pada hujung Julai lalu – Portimonense SC menamatkan saingan di kedudukan ke-17 liga. Mereka sudah membuat lebih sebulan persediaan untuk musim baharu dengan mengadakan dua aksi pemanas badan.

Mereka juga telah melalui tiga aksi liga dan Safawi Rasid tiba sebulan kemudian dan diperkenalkan secara rasmi pada 8 Oktober lalu. Kurang lebih seminggu berlatih bersama pasukan, apa yang boleh kita harapkan daripadanya untuk debut?

Segala perancangan pasukan sudah ditetapkan pada sesi pra-musim dan kemasukkan Safawi Rasid dilihat sebagai tambah nilai kepada skuad sedia ada Portimonense SC ketika ini. Beliau bukan pemain bintang yang serta merta akan diturunkan.

Cabarannya di Portimonense SC

Skuad ini dilihat melalui sedikit masalah di jentera serangan apabila hanya mampu meledak satu gol dalam tiga perlawanan yang ditempuhi, menerusi pemain pinjaman daripada kelab J-League, Urawa Red Diamonds, iaitu Fabricio dos Santos.

Perubahan taktikal pasukan juga dapat dilihat apabila pengendali, Paulo Sergio mengubah formasi taktikal pasukan dalam ketiga-tiga perlawanan dengan Fabricio mengetuai jentera serangan pasukan. Apa yang berubah adalah gandingannya.

Di sebelah kanan, posisi kegemaran Safawi Rasid, beliau akan mencabar pemain seperti Aylton Boa Morte, Welinton Junior, Julio Cesar dan bekas pemain yang pernah berkelana di English Premier League, Ricardo Vaz Te. Cabarannya bukan biasa-biasa.

Penutup

Main atau tidak, sekiranya Safawi Rasid mampu menempatkan diri di bangku simpanan pun sudah cukup membanggakan sebagai pemain yang baru tiba seminggu di bumi asing. Bagi lagenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman, kalau beliau berada dalam senarai pemain untuk perlawanan pun sudah cukup membanggakannya.

Dan dalam sidang media, Paulo Sergio ada mengulas mengenainya, “Safawi bekerja keras untuk menonjolkan kemampuannya. Dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Primeira Liga, tetapi dia telah bekerja keras.”

Apa pendapat para pembaca? Adakah Safawi Rasid berpeluang turun menampilkan aksinya pada malam esok? Saksikan di Astro Arena pada jam 10.30 malam.

KREDIT FEATURED IMAGE: PORTIMONENSE SC

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN