3 Sebab Mengapa Usaha FAM Bawa Aksi Skuad Harimau Malaya Ke Johor Dan Terengganu Wajar Mendapat Pujian

FAM SSI SSMZA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan aksi skuad Harimau Malaya bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada pertengahan tahun ini bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu.

Lawan bagi dua perlawanan tersebut adalah Kepulauan Solomon dan Yaman yang akan mengisi kalendar antarabangsa bermula 12 hingga 20 Jun ini.

Dalam jangka waktu terdekat, ini adalah lokasi kedua pilihan FAM yang jauh dari Lembah Klang selepas dua perlawanan persahabatan turut diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada bulan lalu.

Faktor utama pemilihan dia venue ini tentulah disebabkan gelanggang utama skuad kebangsaan iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan bagi memberi laluan kepada projek penukaran rumput baharu.

Berikut adalah tiga sebab mengapa usaha FAM menjadikan kawasan yang terletak jauh dari ibu negara mereka sebagai lokasi pilihan ini wajar mendapat pujian.

Menghargai penyokong

Seringkali kita mendengar cerita tentang kegigihan penyokong dari segenap pelusuk negara yang sanggup datang dari jauh demi menyaksikan perlawanan melibatkan skuad kebangsaan di SNBJ.

Ada yang datang dengan pelbagai cara sama ada berkonvoi dengan kenderaan sendiri atau menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api atau kapal terbang.

Bagaimanapun semua ini memerlukan kos dan perbelanjaan yang tinggi dan bukan semua golongan mampu untuk merasai suasana yang diinginkan.

Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghargai penyokong setia ini terutamanya dalam menyemai rasa kepunyaan terhadap pasukan kebangsaan?

Maka FAM selaku badan induk bola sepak negara telah mengambil inisiatif untuk tidak memusatkan aksi skuad Harimau Malaya di Kuala Lumpur atau spesifiknya di SNBJ sahaja.

Pemilihan SSI dan SSMZA membuktikan negara ini mempunyai banyak stadium berprestij yang boleh dijadikan gelanggang alternatif.

“Ini bagi memberi ruang kepada peminat di Pantai Timur untuk melihat skuad kebangsaan beraksi,” ujar Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengulas mengenai pemilihan SSMZA.

Berdasarkan kapasiti tempat duduk SSMZA merupakan stadium kedua terbesar di Malaysia yang mampu memuatkan 50,000 orang penyokong – dengan mengetepikan status Stadium Shah Alam (80,000 tempat duduk) yang masih dalam proses naik taraf.

Meskipun pernah terpalit dengan episod duka runtuhan struktur bumbung kira-kira 13 tahun lalu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan stadium ini berada pada tahap yang memuaskan termasuklah keadaan rumputnya yang kini diakui antara yang terbaik di negara ini.

Ekonomi

Walaupun dua perlawanan tersebut bakal berlangsung di Kuala Terengganu, ia bukan sahaja menarik masyarakat setempat untuk menonton, tetapi penyokong-penyokong tegar lain dari seluruh pelusuk negara juga akan turut sama hadir ke daerah tersebut.

Lokasinya adalah yang paling strategik untuk menarik kehadiran penyokong setia pasukan kebangsaan di kawasan Pantai Timur semenanjung.

Sepanjang tempoh berkenaan, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan ekonomi tempatan dan memberi kesan domino kepada peniaga-peniaga kecil seperti kedai-kedai makan, penginapan, pengangkutan dan banyak lagi.

Dengan pemilihan Kuala Terengganu, aliran wang tunai yang dibelanjakan oleh pengunjung tidak lagi berpusat di bandar utama iaitu Kuala Lumpur semata-mata, tetapi FAM telah membuka peluang kepada perkembangan ekonomi di kawasan lain di negara ini.

Pelancongan

Dalam mana-mana kejohanan sukan sekalipun, ia sudah pasti akan menarik banyak peminat untuk berkunjung ke bandar lokasi pertandingan tersebut dianjurkan.

Bagi penyokong yang mahu menyaksikan dua perlawanan melibatkan skuad negara, mereka sekurang-kurangnya perlu kekal di Kuala Terengganu atau kawasan sekitarnya sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 atau 6 hari.

Dengan status Terengganu yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, seni bina, kebudayaan dan makanan tentunya mampu menarik pengunjung dari seluruh pelusuk negara untuk hadir ke negeri ini.

Bukan hanya untuk menonton bola sepak, tetapi penyokong akan turut berkunjung ke lokasi-lokasi tumpuan pelancongan yang lain, seterusnya memberi impak kepada ekonomi masyarakat setempat.

Penutup

Dapat disimpulkan di sini bahawa penganjuran acara sukan jelas dapat memacu pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti sesuatu kawasan dengan kunjungan penyokong, atlet mahupun pegawai sesebuah pasukan.

Oleh yang demikian, FAM mungkin boleh menjalinkan kerjasama dengan badan-badan kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menjadikan usaha ini lebih berimpak tinggi.

Tidak mustahil kunjungan skuad kebangsaan ke seluruh negara selepas ini akan menjadi perkara yang amat dinanti-nantikan oleh para penyokong, termasuklah di kepulauan Borneo bagi memberi peluang kepada ‘ekor Harimau Malaya’ di Sabah dan Sarawak.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN