3 Sebab Luqman Hakim Tak Diperlukan Skuad B-20 Di Kelayakan Piala Asia B-23

Luqman Hakim KV Kortrijk Malaysia B-20 Kelayakan Piala Asia B-23

Adakah skuad B-20 negara akan senaraikan Luqman Hakim Shamsudin untuk aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 yang akan dilangsungkan pada Oktober depan?

Melihatkan kenyataan pengendali, Brad Maloney baru-baru ini, beliau seperti mahukan penyerang skuad kebangsaan itu untuk bersama skuad muda negara nanti, dengan kebenaran daripada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe terlebih dahulu.

Memetik kenyataannya di portal New Straits Times, “Saya akan berbincang bersama pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk melihat kemungkinan sama ada Luqman Hakim dan Arif Aiman termasuk dalam perancangannya pada Oktober depan.”

“Kedua-dua pemain itu dalam perancangan saya untuk pusingan kelayakan. Saya telah menghubungi Luqman selepas undian Jumaat lalu dan dia teruja untuk menyertai skuad ke Mongolia. Kita perlu dapatkan pelepasan daripada KV Kortrijk,” jelas Maloney.

Adakah kudrat Luqman Hakim diperlukan oleh skuad muda negara? Semuanya BOLA sebelum ini turut menyenaraikannya dalam senarai pemain yang perlu dipanggil untuk bersama skuad ini. Tetapi, ini tiga sebab kenapa khidmatnya tak diperlukan lagi.

Jadual kem latihan bertembung dengan FIFA Day

Sebagaimana yang dimaklumkan Maloney, beliau akan berbincang bersama Cheng Hoe. Ini kerana, kem latihan pusat itu akan bertembung dengan jadual aksi skuad senior, FIFA Day yang dijangka bermula pada 4 Oktober hingga 12 Oktober depan.

Melihatkan situasi tersebut, ada baiknya Luqman Hakim bersama skuad kebangsaan. Walaupun baru berusia 19 tahun, beliau telah tampil tiga kali bersama skuad senior ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal Jun lalu.

Selain tarikh tersebut, terdapat lagi baki dua FIFA Day selepas Oktober yang mungkin Cheng Hoe perlu sediakan Luqman Hakim untuk menjadi penggempur utama skuad Harimau Malaya di pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari 2022.

Selain 30 Ogos hingga 7 September untuk FIFA Day selepas ini, terdapat baki dua lagi FIFA Day selepas Oktober iaitu pada 8 hingga 16 November 2021 dan 24 Januari hingga 1 Februari 2022. Luqman Hakim diperlukan untuk semua misi tersebut.

Ini kerana, skuad kebangsaan ketandusan penyerang yang benar-benar berkualiti untuk mengetuai jentera serangan ketika pusingan kelayakan Piala Dunia tempohari.

Bentuk keserasian bersama skuad Harimau Malaya

Skuad kebangsaan juga dalam misi membentuk keserasian untuk beraksi di pusingan akhir kelayakan Piala Asia dan misi untuk layak buat kali pertama secara merit ke kejohanan tertinggi Asia tersebut yang bakal berlangsung pada Jun tahun depan.

Cheng Hoe melihatnya antara penyerang berpotensi skuad negara. Menurut Cheng Hoe yang dipetik daripada Harian Metro, “Dia seorang pemain yang berusaha keras dan ada keistimewaan, saya yakin dia akan jadi lebih baik dari semasa ke semasa.”

Menurut Cheng Hoe lanjut, “Dan itu beri kebaikan bukan saja untuk dirinya, tetapi juga pasukan kebangsaan apabila ada tugasan antarabangsa. Inilah pentingnya untuk Luqman [Hakim] mendapatkan lagi minit permainan bersama kelabnya.”

“Jika kerap diturunkan sama ada sebagai pemain gantian ataupun utama, Luqman akan meraih pengalaman berguna untuk dirinya,” tambahnya yang sentiasa mengikuti perkembangan Luqman Hakim bersama kelabnya, KV Kortrijk di Belgium.

Dalam aksi pemanas badan menjelang sepak mula Jupiler Pro League dijangka pada penghujung Julai ini, Luqman Hakim kerap kali digunakan sebagai pemain gantian dan dilihat semakin menyesuaikan diri bersama mereka dalam aksinya setakat ini.

Kelab sukar untuk lepaskannya?

Dengan kudratnya sudah kerap digunakan oleh pengendali, Luka Elsner dalam aksi persahabatan, tentu Luqman Hakim dalam perancangan untuk saingan liga nanti.

Kelayakan Piala Asia B-23 akan bermula pada 23 hingga 31 Oktober depan dan persediaan tentunya akan bermula lebih awal. Maloney dijangka mengadakan kem latihan ketika FIFA Day skuad kebangsaan untuk tidak menyukarkan keadaan.

Disebabkan itu, Maloney dilihat mahu berbincang dengan Cheng Hoe sama ada skuad Harimau Malaya akan gunakan Luqman Hakim atau tidak dalam kedua-dua FIFA Day tersebut. Dan untuk saingan kelayakan nanti, jadual Liga Belgium akan bertindan.

Pusingan kelayakan Piala Asia B-23 tidak termasuk dalam jadual FIFA dan ketika itu terdapat dua aksi liga akan berlangsung di sana. Dua perlawanan mungkin dilihat tidak menjadi masalah, tetapi dengan situasi pandemik ketika ini, ia keputusan sukar.

Luqman Hakim perlu menjalani tempoh kuarantin yang akan menambah tempohnya untuk sama ada menyertai kem skuad B-20 yang pendek – lebih kurang sembilan hari, dan kemudian tempoh kuarantin sebaik sahaja tiba ke Belgium selepas itu.

Penutup

Oleh itu, ada baiknya, Luqman Hakim diberikan keutamaan untuk bersama skuad kebangsaan. Harimau Malaya ketandusan penyerang berkualiti untuk menggerakkan jentera serangan dan jika kita serius mahu layak ke Piala Asia, inilah jalannya.

Beliau perlukan lebih peluang untuk bermain di liga bagi terus meningkatkan lagi keupayaan semasanya. Untuk skuad B-20, Maloney masih memiliki pilihan lain di Malaysia dengan dikatakan hampir 50 pemain berada dalam senarainya saat ini.

Kita sudah lihat aksi penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula yang tampak gagal memenuhi aspirasi skuad kebangsaan setakat ini. Jadi, jika Cheng Hoe serius mahu sentuhan segar di jentera serangan, Luqman Hakim tidak diperlukan oleh skuad B-20.

Baca lagi artikel lain tentang bola sepak tempatan dan antarabangsa:

11 Pemain Yang Wajar Ada Dalam Skuad Kelayakan Piala Asia B-23

Lionel Messi Terpaksa Tanggung Rugi RM500,000 Sehari

Copa America: Akhirnya Messi Menang Juga Piala Bersama Argentina!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN