Kuala Lumpur City (KL City) yang dijangka untuk mencatat kemenangan semalam mengatasi Petaling Jaya City (PJ City), terpaksa menerima hakikat apabila mereka sekadar terikat seri tanpa jaringan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam aksi saingan Liga Super 2022.
Pada perlawanan semalam, kedua-dua pasukan saling mengalami kesukaran sebenarnya untuk meraih gol masing-masing.
Namun KL City seharusnya menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri serta mempunyai import untuk mengatasi PJ City.
📹 HIGHLIGHTS: @KLCityFootball 0-0 @pjcityfc
Kedua-dua pasukan berkongsi mata di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/AogmeajvQC
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 16, 2022
Ditambah dengan kejayaan mereka dalam Piala AFC sebelum ini sepatutnya dapat memberi lebih keyakinan buat KL City untuk meneruskan momentum tersebut dalam saingan Liga Super.
Ini ada tiga punca mengapa KL City gagal untuk menterjemahkan perlawanan semalam dalam bentuk kemenangan.
Kreativiti di tengah kurang mencengkam
Ketiadaan Paulo Josue nyata memberi masalah buat KL City untuk menyusun gerakan di tengah dengan lebih kreatif.
Josue yang dianggap sebagai jeneral buat kelab tersebut sebelum ini merupakan pemain yang sangat penting sebagai nadi utama kelab apabila kualiti beliau dari segi kawalan bola, visi, dan kreativiti amat membantu KL City.
Romel Morales dilihat terpaksa turun dengan lebih kerap untuk membantu kawasan tengah KL City membina gerakan dengan lebih baik kerana lawan kerap memadatkan ruang tersebut untuk menyekat kemaraan anak buah Bojan Hodak.
Corak permainan yang mudah dibaca
Seperti Kedah Darul Aman (KDA) ketika menghadapi Terengganu, nyata KL City juga menghadapi masalah sama apabila corak permainan diterapkan Bojan semalam mudah dibaca oleh pelawat, PJ City untuk menyekat kemaraan mereka.
Walaupun PJ tidak begitu memberi ancaman seperti Terengganu ketika menyerang, namun mereka berjaya mematahkan banyak pergerakan KL City dan mengetahui cara untuk menghadapi lawan dengan baik.
📸 AKSI PERLAWANAN TERTUNDA LS11
KUALA LUMPUR CITY FC 0-0 PJ CITY FC#LigaSuper2022 pic.twitter.com/ZQzV7mJy4O
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 16, 2022
Ditambah dengan kedudukan setiap pemain KL City yang berada agak jauh antara satu sama lain, perkara tersebut nyata diambil peluang oleh PJ City untuk sentiasa memadatkan ruang ketika lawan mendapat bola.
Jordan Mintah gagal memberi impak di bahagian serangan
Setelah kecewa dengan aksi bekas import Kevin Koubemba yang gagal untuk memberi impak terbaik buat serangan KL City, kelab ini berjaya mendapatkan Jordan Mintah secara pinjaman daripada Terengganu untuk pertengahan musim ini.
Namun, impak yang diharapkan buat Mintah setakat ini masih belum dapat dilihat secara positif walaupun sudah beraksi dua perlawanan bersama KL City.
Musim lalu, Mintah boleh dikatakan sebagai salah satu penyerang yang amat tajam bersama Terengganu II di saingan Liga Premier dan berjaya memberi impak positif ketika diserapkan dalam skuad Liga Super.
Disebabkan itu ramai penyokong mengharapkan terbaik daripada beliau untuk membuktikan sesuatu bersama KL City.
Malangnya pada perlawanan semalam, Mintah dilihat tenggelam dan gagal untuk melepasi pertahanan lawan biarpun dalam situasi satu lawan satu.
We both share a point. On to the next one! 🔴⚪️#KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/kODqN4oj8x
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) July 16, 2022
Beliau juga dilihat tidak begitu memberi tekanan tinggi ketika membuat serangan serta kedudukannya yang tidak begitu tepat untuk menerima umpanan rakan-rakan.