Pada Ahad lalu, kejohanan Piala Raja Thailand atau King’s Cup telah melabuhkan tirai dengan jayanya di Stadium Ulang Tahun Ke-700 Chiang Mai. Tajikistan muncul juara bagi edisi ke-48 selepas menewaskan Malaysia di perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti.
Aksi final turut dihadiri oleh Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn. Namun suasana di dalam stadium tidaklah begitu meriah meskipun terdapat persembahan bunga api sewaktu keraian pemenang di penghujung pertandingan.
Majoriti penyokong tuan rumah yang dianggarkan sekitar 12 ribu orang itu telah meninggalkan venue pertandingan sebaik sahaja perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat melibatkan Thailand berakhir.
Namun begitu, hasil daripada kunjungan Semuanya BOLA ke Chiang Mai bagi mengikuti rapat kejohanan ini, terdapat perkara positif yang boleh dipelajari tentang usaha Persatuan Bola Sepak (FA) Thailand menjadikan kawasan yang terletak jauh dari ibu negara mereka sebagai lokasi pilihan.
Menghargai penyokong
Seringkali kita mendengar cerita tentang kegigihan penyokong yang sanggup datang dari jauh demi menyaksikan perlawanan melibatkan skuad kebangsaan.
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) September 25, 2022
Ada yang datang dengan pelbagai cara sama ada berkonvoi dengan kenderaan sendiri atau menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api atau kapal terbang.
Bagaimanapun semua ini pastinya memerlukan kos dan perbelanjaan yang tinggi dan bukan semua golongan mampu untuk merasai suasana yang diinginkan.
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghargai penyokong setia ini terutamanya dalam menyemai rasa kepunyaan terhadap pasukan kebangsaan?
Let's go Malaysia. It's our HOME. #AFFSuzukiCup2018 #EkorHarimauMalaya #Malaysia pic.twitter.com/XIARWZraI0
— Süren (@Surendher95) December 11, 2018
Selaku badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengambil inisiatif untuk tidak memusatkan aksi skuad Harimau Malaya di Kuala Lumpur atau spesifiknya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sahaja.
Negara ini mempunyai beberapa stadium lain yang boleh dijadikan alternatif atau pilihan.
Soal kapasiti stadium mungkin tidak perlu dijadikan alasan. Sebagai contoh, Stadium Ulang Tahun Ke-700 Chiang Mai hanya mempunyai 17,000 tempat duduk sahaja. Namun ia sama sekali tidak mengurangkan kemeriahan penganjuran King’s Cup.
#ChangsuekLive น้องจอมทัพ พร้อมลุยเคียงคู่ทัพช้างศึก ก่อนดวล ทีมชาติมาเลเซีย ในฟุตบอลชิงถ้วยพระราชทานคิงส์คัพ ครั้งที่ 48
#ทีมชาติไทย #TogetherAsOne #Changsuek #Thailand #บอลไทย #ฟุตบอลไทย #FAThailand #FIFADAY #InternationalAmatch #KingsCup48 #คิงส์คัพ pic.twitter.com/aYCjqHQuJL— Changsuek – ฟุตบอลทีมชาติไทย (@Changsuek_TH) September 22, 2022
Malaysia pula hakikatnya mempunyai begitu banyak stadium yang mampu memuatkan lebih 30,000 orang penyokong pada satu masa seperti senarai berikut:-
- Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (50,000)
- Stadium Sarawak, Kuching (45,000)
- Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban (45,000)
- Stadium Perak, Ipoh (42,500)
- Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (40,000)
- Stadium Hang Jebat, Melaka (40,000)
- Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan (40,000)
- Stadium Darul Makmur, Kuantan (40,000)
- Stadium Likas, Kota Kinabalu (35,000)
- Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu (33,000)
- Stadium Darul Aman, Alor Setar (32,000)
Meskipun begitu, pemilihan stadium pastinya perlu mengambil kira beberapa faktor penting terutamanya melibatkan keadaan permukaan padang, keselamatan, keadaan trafik dan lain-lain lagi.
Ekonomi
Walaupun penganjuran King’s Cup dibuat di Chiang Mai, ia bukan sahaja menarik masyarakat setempat untuk menonton, tetapi penyokong-penyokong tegar lain dari seluruh pelusuk Thailand juga akan turut sama hadir ke wilayah tersebut.
Begitu juga dengan penyokong negara-negara lain yang terlibat di mana semuanya akan ‘berkampung’ di Chiang Mai bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
Dalam tempoh tersebut, ia sekaligus dapat meningkatkan ekonomi tempatan dan memberi kesan domino kepada peniaga-peniaga kecil seperti kedai-kedai makan, penginapan, pengangkutan dan banyak lagi.
Dengan pemilihan Chiang Mai, aliran wang tunai yang dibelanjakan oleh pengunjung tidak lagi berpusat di bandar utama Thailand iaitu Bangkok semata-mata, tetapi ia memberi peluang kepada perkembangan ekonomi di kawasan lain di negara berkenaan.
Pelancongan
Dalam mana-mana kejohanan sukan sekalipun, ia sudah pasti akan menarik banyak peminat untuk berkunjung ke bandar lokasi pertandingan tersebut dianjurkan.
Chiang Mai merupakan bandar kedua terbesar di Thailand selepas Bangkok dan cukup terkenal dengan sektor pelancongan kerana menjanjikan pelbagai keunikan dan keindahan dari segi seni, budaya dan alam semulajadi.
Bagi penyokong yang mahu menyaksikan setiap perlawanan King’s Cup, mereka sekurang-kurangnya perlu kekal di Chiang Mai atau kawasan sekitarnya sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 atau 6 hari.
Dalam jangka masa tersebut, sudah tentu mereka akan mengambil peluang untuk menziarahi lokasi-lokasi pelancongan.
Industri pelacongan di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Sebagai contoh, jika FAM menganjurkan aksi skuad kebangsaan di Ipoh, begitu banyak tempat tumpuan yang boleh dilawati oleh penyokong memandangkan negeri Perak cukup kaya dengan tempat-tempat pelancongan yang menarik.
Penutup
Dapat disimpulkan di sini bahawa penganjuran acara sukan jelas dapat memacu pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti sesuatu kawasan dengan kunjungan penyokong, atlet mahupun pegawai sesebuah pasukan.
Oleh yang demikian, FAM dengan kerjasama badan-badan kerajaan boleh mengambil inisiatif yang sama dengan membawa aksi skuad Harimau Malaya ke bandar-bandar lain di seluruh negara.
Setakat ini terdapat ura-ura yang mengatakan dua perlawanan skuad negara dalam aksi peringkat kumpulan bagi kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Sekiranya menjadi kenyataan, ia pastinya berita baik bukan sahaja buat ‘Ekor Harimau Malaya’ di Pantai Timur Semenanjung, tetapi juga kepada masyarakat di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya.
Anda juga boleh baca kisah penyokong Malaysia yang memilih untuk tiba di Chiang Mai menggunakan kereta api: