Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya kini telah pun menamatkan cabaran mereka dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim ini selepas mereka tidak layak untuk mara ke pusingan 16 terbaik seperti tahun lalu.
Walaupun tidak layak seperti musim lalu, setidaknya JDT berjaya memberi impak cukup besar di laman sendiri bagi aksi terakhir tersebut menerusi kemenangan besar 4-1 untuk mengatasi wakil Thailand, BG Pathum.
Beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), jelas tuan rumah menggunakan kelebihan itu dengan mempamerkan aksi cukup bertenaga bersama sorakan padu daripada para penyokong.
Empat gol JDT terhasil pada perlawanan tersebut menerusi dua jaringan Bergson da Silva, Endrick dos Santos, serta bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi.
Sepanjang aksi berlangsung, tiga pemain JDT dianggap berjaya mencuri tumpuan sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Selatan.
Arif Aiman Hanapi
Bintang muda ini terus mencipta fenomena tersendiri sepanjang perlawanan berlangsung menerusi kelicikan beliau untuk memberi kesukaran buat pertahanan lawan.
Pada aksi tersebut, Arif telah pun meledak satu jaringan yang sangat cantik pada penghujung separuh masa kedua, dengan kelincahannya berjaya mengatasi beberapa pertahanan BG Pathum sebelum gol keempat diraih buat JDT.
Selain itu, Arif juga turut membuat satu bantuan jaringan kepada Endrick untuk gol ketiga JDT selain punca serangan Harimau Selatan banyak berpaksikan kepada bintang muda ini.
Bergson da Silva
Penyerang berbisa JDT ini bukan sahaja berpengaruh dalam saingan domestik, malah beliau turut membuktikannya di pentas Asia pada musim ini.
Pada aksi semalam, Bergson telah pun meledak dua gol selain sentiasa memberi ancaman cukup berbahaya ke arah gawang gol pasukan lawan.
Kekuatan fizikal beliau jelas digunakan dengan sangat baik pada aksi tersebut untuk mengatasi pertahanan lawan, selain Bergson juga genius untuk meletakkan diri di posisi terbaik mendapat umpanan cantik.
Feroz Baharudin
Pertahanan muda JDT ini tidak kurang hebatnya pada aksi tersebut, selepas beliau tampil dengan begitu berdisiplin untuk menyerap segala asakan dibuat oleh barisan serangan lawan.
Bergandingan bersama Jordi Amat, kedua pemain ini dilihat saling memahami antara satu sama lain ketika situasi JDT menerima serangan lawan dengan masing-masing memainkan peranan penting membentuk kubu kebal bagi menghalang tuan rumah daripada dibolosi sebarang gol.
Feroz juga memiliki keupayaan tinggi untuk membaca gerakan lawan selain beliau cepat menutup setiap ruang terbuka untuk mengecilkan peluang cuba dicipta oleh serangan BG Pathum.