NOTA EDITOR: Artikel ini adalah tulisan dan pandangan salah seorang pembaca setia Semuanya BOLA, Addim Alias. Jika anda memiliki penulisan yang mahu disumbangkan kepada kami untuk disiarkan, anda boleh menghantar di dalam format Microsoft Word dan emailkan kepada [email protected].
Saya percaya peminat-peminat bola sepak tempatan menyaksikan apa yang berlaku awal pagi tadi. Skuad Harimau Malaya lunyai dibaham UAE.
Tidak perlu berbunga-bunga lagi, ini adalah tiga kesalahan fatal yang dilakukan oleh skuad negara daripada kaca mata seorang peminat dan pemerhati bola sepak tegar.
1. Game plan yang tidak realistik
Saya pernah menulis sebelum ini, mengingatkan skuad negara agar tidak bermain dengan high defensive line. Malahan bukan saya sahaja, beberapa jurulatih tempatan, bekas pemain serta beberapa orang pundit (pundit saluran tv mahupun pundit di saluran YouTube bola sepak) turut menyatakan perkara sama. Ini jelas berdasarkan kekhuatiran kami semua akan kecemerlangan Ali Mabkhout menghidu peluang di garisan pertahanan tinggi. Tetapi apa yang berlaku awal pagi tadi?
Entah ini memang arahan taktikal daripada Cheng Hoe atau pemain kita terpancing dengan kesabaran dan ketenangan UAE membina serangan daripada bawah – pemain kita kerap melakukan high pressing untuk menang bola di kawasan lawan, dengan harapan lawan melakukan kesilapan dan kita dapat mengutip bola di kawasan lawan sebelum menghukum mereka. Syamer, Liridon, Safawi dan juga Sumareh gigih memberikan tekanan awal kepada UAE daripada minit pertama perlawanan sehingga sekitar minit ke-25 apabila Azam pula naik menggantikan posisi Syamer. Lupakan De Paula (ada pembahasan khusus untuk beliau).
Apa yang berlaku apabila kita bermain high pressing? Secara automatik kita terpaksa menaikkan garisan pertahanan. Mana mungkin pemain serangan dan juga pemain tengah melakukan high pressing, barisan pertahanan kekal di bawah. Jika begitu akan mewujudkan ruang besar di belakang midfield dan di hadapan barisan pertahanan (seperti kanak-kanak bermain bola sepak). Disebabkan itu, gol pertama UAE terhasil. Cukup mudah dan ringkas.
Ali Makhbout menyempurnakan hantaran 'long ball' yang cantik untuk gol pertama UAE.
Taktik UAE ialah suap bola ke Ali Makhbout yang merupakan 'target man'.
Semasa:🇦🇪1-0🇲🇾#WCQ2022 #HarimauMalaya
— VOCKET FC (@vocketfc) June 3, 2021
Satu lob berkualiti mencari Ali Mabkhout yang menewaskan Aidil dan Dion di garisan tinggi. Kita semua terpana apabila beliau menyudahkan hantaran tersebut dengan bersahaja. Selepas gol tersebut kita masih lagi dengan keghairahan melakukan high pressing. Azam menggantikan posisi Syamer bermain lebih di atas dan Syamer menjadi lebih defensive.
Ada beberapa ketika seperti Azam, Syamer dan Liridon berada pada satu garisan yang sama, garisan yang tinggi untuk menekan pemain UAE yang santai serta selesa memegang bola; meninggalkan ruang kosong yang besar di hadapan back four untuk diserang mereka.
Mengapa bermain high pressing menentang UAE tidak realistik untuk perlawanan awal pagi tadi? Ia kerana high pressing kita tidak berhasil sama sekali. Mereka dengan mudah membina serangan daripada bawah tanpa tekanan, tanpa melakukan kesilapan sedikit pun. Maaf cakap, tetapi para pemain Malaysia melakukan high pressing seperti headless chicken.
Membabi buta dan hanya menjemput kepenatan. Tidak ada pattern pressing trap langsung. Second presser dan third presser terlalu jauh untuk menutup passing lane sekaligus menekan lawan. Bukan begitu caranya bermain high pressing dan bukan mudah juga untuk melakukan high pressing terhadap pasukan seperti UAE yang sangat mantap daripada segi teknikal.
Untuk melakukan high pressing, semua pemain dalam pasukan harus memainkan peranan tersendiri termasuklah penjaga gol. Akan ada first presser yang mula mengejar dan menekan pembawa bola pasukan lawan. Serentak itu, second presser dan juga third presser sudah bersedia dan perlu berjarak tidak lebih lima langkah daripada passing options pembawa bola untuk memintas bola itu atau untuk merampas bola itu jika pemain yang menjadi passing options pembawa bola melakukan first touch tidak baik atau menahan bola dengan buruk.
SEPARUH MASA
Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 | 3 Jun 2021 (Waktu UAE)
UAE 🇦🇪 1-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Ali Mabkhout 19' #FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers pic.twitter.com/7YNKYqsUy6
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 3, 2021
Full back pasukan yang melakukan high pressing juga perlu rapat dengan full back atau wing back pasukan lawan untuk memotong hantaran jika pasukan yang ditekan cuba bypass pressing trap. Defensive line dinaikkan sekurangnya hingga garisan tengah padang. Penjaga gol juga harus naik tinggi dan bertindak sebagai sweeper keeper jika penyerang lawan menewaskan high defensive line. Semua ini perlukan koordinasi tepat dan intuisi yang jitu. Andai seorang sahaja pemain gagal melakukan peranan mereka dengan tepat, high pressing akan dilepasi.
Susah bukan, untuk bermain high pressing yang tepat dan berjaya setiap kali? Klopp dengan gegenpressing yang terkenal di Dortmund itu memerlukan sekurang-kurangnya dua musim untuk menerapkan kefahaman kepada para pemainnya serta untuk membina intuisi natural tentang posisi dan timing yang tepat untuk melakukan pressing trap yang baik.
Mungkin pada perlawanan pusingan pertama di Bukit Jalil dulu kita berjaya menekan mereka dengan taktikal high pressing sehingga berjaya menjaringkan gol awal dan hampir menambah beberapa lagi gol jika tidak kerana penyudah penyerang yang tumpul. Kita harus ambil kira faktor penyokong juga. Mungkin dengan kehadiran pemain ke-12 di Bukit Jalil waktu itu memberikan tekanan kepada mereka sehingga mereka gugup dan tidak dapat bermain baik. Harimau Malaya kira-kira 18 bulan tiada perlawanan kompetetif.
Kita hanya berkumpul dan menjalani latihan mungkin tidak sampai sebulan sebelum kempen ini disambung semula dan kita hanya mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain. Sedangkan UAE sudah cukup bersedia untuk menyambung kempen. Mereka banyak bermain perlawanan persahabatan berbanding kita dan kita juga tahu keputusan perlawanan tersebut yang jelas membuktikan keampuhan persefahaman dan kemantapan pasukan ini.
Skuad 26 Pemain Harimau Malaya 🇲🇾
📍 Dubai, UAE | 3-15 Jun 2021#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers pic.twitter.com/gZ7z0SL0Ka
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 2, 2021
Ditambah pula kempen kali ini dijalankan di halaman mereka sendiri dengan kehadiran penyokong mereka walaupun dibatasi. Realistikkah taktikal high pressing yang terjadi secara sengaja atau tidak sengaja ini? Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar skuad Malaysia bertahan dengan shape 4-5-1 yang kompak dengan merapatkan garisan pertahanan dengan garisan midfield dan tidak terlalu deep sehingga ke dalam kotak penalti. Sekurang-kurangnya kita boleh menolak mereka melakukan hantaran ke tepi dan bermain cross. Memang dengan cara ini kita akan terseksa daripada segi ball possession. Mungkin kita hanya memegang bola dalam peratusan 20%-30% sahaja. Tetapi strategi ini yang paling realistik menurut saya.
Ingat apa yang Mourinho lakukan ketika semi final Champions League 2009/2010 Inter menentang Barca di Nou Camp? Mourinho tidak gila mengarahkan pasukannya bermain high pressing di tempat lawan dengan memakai logik betapa bagusnya pemain Barcelona dengan bola. Inter kompak bertahan walaupun sebelum Motta dilayangkan kad merah. Biar saya beri analogi lucu tentang bermain high pressing jika tidak mendapatkan hasilnya. Bermain high pressing yang gagal ibarat berkelakuan agresif terhadap gadis yang kita minat. Begini; kita cuba dekat, dekat, dekat dengan dia tetapi pada akhirnya dia berpacaran dengan orang lain. Begitu juga dengan high pressing yang gagal; kita press, press, press tetapi akhirnya pasukan lawan dapat juga menjaringkan gol kerana high pressing kita gagal dan tidak efektif.
2. In game management yang gagal daripada Tan Cheng Hoe
Mungkin ramai yang bersetuju dengan saya pada perkara kedua ini. De Paula tidak efektif langsung tetapi Cheng Hoe mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan beliau. Saya menonton di TV1 dan pengulas Syed Adney beberapa kali memberikan pendapat beliau supaya De Paula segera dikeluarkan bagi memberi peluang kepada fresh legs yang sekurang-kurangnya ada keinginan untuk mengejar bola. Nidzam Jamil tanpa berselindung mengatakan De Paula pemalas. Saya setuju dengan perkara itu. Bukan menjelekkan cuma beliau seperti baru lepas ‘pekena’ nasi lemak sebelum perlawanan (bukan nasi lemak Kante, kalau Kante sebelum naik flight; De Paula ‘pekena’ nasi lemak betul-betul sebelum perlawanan).
Separuh masa kedua beliau hanya berlari anak di kawasan lawan. Jujur; saya tidak faham, beliau sepertinya tiada keinginan langsung untuk turun ke bawah mengutip bola dan hanya menanti bola sampai ke kaki beliau di kawasan lawan. Sekurang-kurangnya jika beliau turun ke bawah; link up play itu terjadi daripada menunggu bola dihantar kepada beliau di kawasan lawan. Seandainya bola lambung dihantar kepada beliau dan beliau menerimanya di kawasan lawan, apa yang beliau boleh buat? Semua pemain bertahan di kawasan sendiri. Mampukah beliau memegang bola selama itu dan menanti pemain lain naik untuk support beliau? Tidak mungkin. Ramai yang kecewa dengan pemain ini pada awal pagi tadi.
#BHsukan Legenda bola sepak negara, Khalid Ali perjelaskan De Paula tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan sepasukan tatkala Liridon seorang sahaja sebagai tengah menyeranghttps://t.co/TUlaw2m0jX
— Berita Harian (@bharianmy) June 4, 2021
De Paula juga seakan-akan lost ketika rakan-rakannya mula melakukan pressing. Entah apa yang beliau lakukan di kawasan lawan. Sewaktu Azam naik menggantikan tempat Syamer, beberapa kali dapat dilihat Azam seperti menjadi first presser sedangkan De Paula sebenarnya yang seharusnya melakukan itu. Beliau tetap berlari-lari anak tanpa tahu siapa yang harus beliau rapati. Beberapa kali dilihat Azam menjerit dan mendepakan tangan kanan atau kiri beliau – isyarat menyuruh rakan-rakan naik dan rapat kepada passing options pemain pembawa bola yang cuba dikejar dan ditekan beliau. Kita semua tahu apa yang terjadi setelah itu – high pressing kita dengan mudah dan tenang dilepasi UAE kerana tiadanya intuisi posisi untuk menutup passing lane dan untuk mendekati passing options.
Cheng Hoe tidak menggantikan De Paula sebaliknya beliau mengeluarkan Azam yang kepenatan melakukan kerja-kerja pressing ibaratnya berseorangan. Syafiq Ahmad dibawa masuk dan hasilnya tetap sama kerana De Paula pula yang menjadi second presser kali ini. Kita tahu Syafiq akan memburu bola dengan larian dan keghairahan beliau. Andai De Paula yang dibawa keluar sewaktu separuh masa digantikan dengan Syafiq Ahmad, pasti kita dapat melihat bagaimana Syafiq bertindak sebagai first presser dan Azam sebagai second presser.
Jika hendak bermain high pressing seperti awal pagi tadi, mungkin sesuai membawa masuk Arif Aiman. Kita tahu pemain JDT sudah terbiasa dengan strategi dan sistem ini kerana JDT bermain begitu. Arif Aiman pastinya mempunyai naluri dan intuisi untuk bermain high pressing.
Sayangnya Cheng Hoe bagaikan tidak perasan dengan ketidakmampuan De Paula. Begitu juga dengan Liridon yang sudah tidak begitu efektif sejak di penghujung separuh masa pertama lagi. Cheng Hoe seolah-olah takut untuk menukarkan pemain-pemain naturalisasi ini dengan pemain tempatan.
3. Semangat dan fokus yang hilang
Saya menutup televisyen setelah Harimau Malaya kena gol ke-2 kerana saya agak yakin yang Malaysia tidak mampu untuk mengejar bagi menyamakan kedudukan. Mungkin lain halnya jika kedudukan masih lagi 1-0.
Saya bangun pagi dan melihat thumbnail highlight di YouTube; UAE 4 – Malaysia 0. Bererti penyakit lama itu masih lagi menghantui kita – hilang fokus di saat-saat akhir. Semangat pula, saya boleh katakan mungkin sudah hilang setelah gol ke-2 mereka lagi. Gol ke-3 UAE sekali lagi garisan pertahanan tinggi kita ditewaskan.
KEPUTUSAN MASA PENUH
Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 | 3 Jun 2021 (Waktu UAE)
UAE 🇦🇪 4-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Ali Mabkhout 19' 90'+1 Fabio Lima 83' 90'+3#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers pic.twitter.com/5htXsU6QDQ
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 3, 2021
Mungkin kita ghairah mencari gol sehingga fokus untuk bertahan terabaikan. Gol ke-4 UAE pula nampak seperti mereka sedang dalam perlawanan latihan, seperti mereka sedang berhadapan dengan skuad bawah 23, atau mungkin skuad bawah 21 mereka. Saya percaya, ketika itu semangat dan fokus pemain Harimau Malaya sudah sirna entah ke mana.
Penutup
Apa pun yang berlaku awal pagi tadi sudahpun berlaku. Lupakan kekalahan dan fokus ke depan. Kita masih ada dua perlawanan lagi untuk dihadapi.
Diharap pemain dapat kembali semangat dan buat yang terbaik untuk perlawanan akan datang. Usah bimbang, persaingan dalam kumpulan G ini masih terbuka luas. Selain usaha kita sendiri, seperti biasa; kita juga mengharapkan sedikit tuah dan bantuan semesta. Semoga semesta mendukung harimau.
Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya:
7 Perkara Mengenai Pertemuan UAE VS Malaysia Yang Perlu Anda Tahu
Selepas India & Jordan, Giliran Malaysia Pula Dijinakkan UAE