Penyerang berbisa PDRM, Ifedayo Olusegun tidak mengambil masa yang lama untuk cepat menyesuaikan diri bersama kelab berkenaan apabila beliau kini sudah meledak tiga gol daripada tiga perlawanan.
Untuk rekod, nama Ifedayo bukan lagi suatu yang asing dalam dunia bola sepak Liga Malaysia (Liga M), setelah dirinya telah pun beraksi untuk beberapa pasukan terdahulu bersama kualiti permainan cukup mengujakan.
Sebut sahaja Ifedayo, rata-rata mengakui beliau sebagai antara import cukup berbisa pernah beraksi dan masih pagi aktif kini di Malaysia dengan PDRM menjadi destinasi terbaharu beliau.
Ketika sesetengah menganggap Ifedayo sudah pun melepasi saat terbaik beliau selaku penyerang berbisa, beliau masih membuktikan dirinya masih lagi antara pemain serangan import terbaik ketika mewakili Kedah Darul Aman (Kedah) pada tahun lalu.
Musim lalu menyaksikan Ifedayo sudah pun meledak 12 gol bersama satu bantuan jaringan daripada 13 perlawanan membabitkan beliau bersama Sang Kenari di pentas domestik.
Hanya setengah musim sahaja diperlukan Ifedayo bersama Kedah untuk membuktikan dirinya masih lagi relevan serta mampu meledak lebih daripada 10 gol di saingan Liga Malaysia (Liga M).
Malah, ketika ini beliau berpeluang untuk kembali mencabar gelaran selaku penjaring terbanyak Liga Super seperti pernah dilakukan dahulu ketika mewakili Selangor.
Bersama PDRM, pemain kelahiran Nigeria ini tampil dengan kualiti permainan sangat menyakinkan walaupun dirinya tidak lagi selincah dahulu di atas padang.
Namun, kualiti penyudah Ifedayo jelas masih tidak boleh dipandang mudah kerana beliau sentiasa berada di posisi tepat untuk menerima umpanan serta menyudahkannya.
Malah, PDRM juga mempunyai pemain lincah dan sangat aktif seperti Bruno Suzuki yang sedia menawarkan kreativiti untuk membantu Ifedayo mendapatkan gol menerusi umpanan-umpanan berkelas tinggi.
Jika momentum ini berterusan, ada peluang buat Ifedayo untuk sekali lagi mencabar gelaran tersebut serta memberi persaingan kepada penyandang musim lalu, Bergson da Silva.
Kelebihan kedua pemain ini daripada kualiti penyudah jelas tidak perlu dipertikaikan lagi dan ia mampu mewujudkan persaingan sihat serta memberi keterujaan buat peminat sendiri untuk melihat siapa lebih berbisa.
Pada pandangan anda, adakah Ifedayo mampu mengekalkan momentum penyudah beliau sehingga ke penghujung musim bersama PDRM?