3 Destinasi Sesuai Buat Ivan Mamut Jika Tidak Kekal Bersama Terengganu

Nasib penyerang import Terengganu, Ivan Mamut ketika ini masih lagi belum diketahui jika beliau akan terus kekal atau tidak bersama pasukan tersebut untuk saingan musim hadapan.

Musim ini menyaksikan penyerang kelahiran dari Croatia itu sudah pun menjaringkan 22 gol secara keseluruhan buat Terengganu dengan sembilan daripadanya untuk Piala Malaysia.

Mamut juga turut menjaringkan satu-satunya gol buat Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 ketika Sang Penyu mencatat kekalahan 1-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Secara keseluruhan, aksi Mamut pada perlawanan tersebut boleh dikatakan sangat positif dengan beliau tampil membuka banyak ruang serta bijak sesekali melepaskan diri daripada pertahanan lawan.

Menerusi konsistensi dipamerkan oleh Mamut musim ini, sudah tentu kelibat beliau turut diintai beberapa pasukan lain yang mengidamkan sentuhan berbisa beliau untuk saingan musim hadapan.

Walaupun begitu, tidak mustahil khidmat Mamut akan terus dikekalkan Terengganu kerana sumbangan beliau boleh dianggap cukup besar untuk posisi serangan pasukan tersebut.

Berikut merupakan tiga pasukan yang dianggap berpotensi untuk mendapatkan khidmat Mamut untuk saingan musim hadapan bagi memperkukuhkan posisi serangan masing-masing.

Kedah Darul Aman (Kedah)

Kedah berkemungkinan besar akan membuat rombakan baharu untuk saingan musim hadapan terutama sekali dengan membabitkan posisi utama serangan mereka.

Ketika ini, Sang Kenari memiliki tiga penyerang import mereka iaitu Ifedayo Olusegun, Jonathan Balotelli, serta Ebenezer Assifuah.

Jika dilihat pada prestasi semasa, mungkin hanya Ifedayo sahaja unggul daripada segi prestasi serta sumbangan beliau di hadapan gawang gol.

Untuk Balotelli, penyerang ini lebih banyak memanaskan bangku simpanan serta impak dibawa beliau juga kurang menyakinkan, manakala Assifuah sehingga kini masih belum mendapat ruang untuk pasukan utama walaupun menjadi penjaring terbanyak untuk KDA B dalam saingan Liga MFL.

Selangor

Selangor sebenarnya sudah pun unggul dengan penyerang utama mereka iaitu Ayron De Valle yang kini semakin hampir untuk meraih gelaran penjaring terbanyak Liga Super 2023.

Walaupun begitu, sebagai persediaan awal untuk memantapkan keseluruhan pasukan demi mengharungi cabaran di pentas Asia, The Red Giants wajar mendapatkan penyerang kedua dengan status lebih baik.

Kelibat penyerang import kedua mereka iaitu Richmond Boakye boleh dianggap langsung tidak memberi peranan besar buat Selangor untuk menggantikan impak diberikan oleh Ayron.

Kehadiran Mamut dapat memberi lebih banyak ruang buat Tan Cheng Hoe untuk mengatur taktikal lebih berkesan dalam menggilirkan para pemain di posisi tersebut.

Sri Pahang

Salah satu pasukan paling bermasalah musim ini di posisi serangan walaupun memiliki pemain import dengan reputasi tinggi di bahagian lain.

Sri Pahang jelas terlalu bergantung harap kepada Kpah Sherman sahaja selaku penggempur utama mereka walaupun Tok Gajah memiliki tiga penyerang import secara keseluruhan.

Lucas da Silva antara penyerang import yang gagal membawa impak cukup penting buat pasukan dan rombakan pastinya akan dibuat pasukan tersebut di posisi itu dengan nama Mamut mungkin turut berada dalam radar mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN