Johor Darul Ta’zim (JDT), bakal menghadapi perlawanan ketiga mereka hari ini bagi saingan AFC Champions League (ACL) peringkat Kumpulan I dengan pertemuan seterusnya berdepan wakil dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Untuk rekod, kedua pasukan ini pernah bertembung sebanyak dua kali pada tahun lalu dengan semua kemenangan berpihak kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Kejutan yang dilakar JDT pada tahun lalu itu sudah tentu ingin diulangi sekali lagi dengan skuad kendalian Esteban Solari berada dalam momentum terbaik untuk mencipta sesuatu positif di gelanggang lawan, Stadium Bola Sepak Munsu.
Hadir dengan sedikit rombakan di segenap posisi pada tahun ini, skuad Harimau Selatan tampil dengan kekuatan yang jauh lebih baik berbanding musim lalu terutama sekali bahagian serangan serta tengah mereka.
Ianya sudah dibuktikan ketika aksi lalu sewaktu JDT mudah mengatasi cabaran wakil dari Thailand iaitu BG Phatum dengan pasukan kendalian Solari itu membenam lawan menerusi kemenangan 4-2.
Untuk perlawanan hari ini, tiga pemain utama JDT yang dijangka bakal mencuri tumpuan dalam misi mereka untuk sekali lagi cuba melakar kejutan di gelanggang lawan.
Arif Aiman Hanapi
Pemain muda ini boleh dianggap terus menikmati musim-musim terbaik beliau bersama JDT, selepas Arif meninggalkan impak cukup positf dalam setiap perlawanan dihadapi.
Nama Arif kini kian menyinar di pentas antarabangsa, selepas kelincahan beliau sewaktu berdepan BG Phatum sangat mencuri tumpuan dan rata-rata penyokong tampil memberi pujian kepadanya menerusi media sosial.
Aset Arif daripada segi kelincahan, kepantasan, serta tajam di hadapan gol sudah tentu ditagih Solari untuk mengukuhkan lagi posisi serangan Harimau Selatan untuk mengatasi pertahanan pasukan lawan.
Bergson da Silva
Peledak berbisa ini pernah menjaringkan gol pada tahun lalu ketika berdepan Ulsan Hyundai di SSI untuk membantu JDT meraih kemenangan 2-1 dengan penuh bergaya.
Setakat ini, Bergson sudah pun membuka satu akaun jaringan beliau ketika pasukan tersebuy menewaskan BG Pathum, dan sudah tentu momentum tersebut ingin diteruskan lagi pada perlawanan berdepan wakil dari Korea Selatan tersebut.
Kekuatan fizikal, serta daya membuat rembatan tepat ke arah gol menjadi senjata utama Bergson selama ini untuk membuktikan dirinya selaku antara penyerang berbisa beraksi di Asia Tenggara.
Nathaniel Shio Hong Wan
Pemain muda ini mungkin kurang menjadi perhatian dek kerana tumpuan beliau tidak hanya terarah kepada serangan untuk meledak gol.
Tetapi, kehadiran Hong Wan sangat penting selaku nadi utama JDT menguasai bahagian tengah serta tidak membiarkan pasukan lawan mencipta sesuatu pada posisi tersebut menerusi disiplin beliau menutup segala ruang.
Selain bijak mengawal tempo permainan, Hong Wan juga perlu menjadi tumpuan pertahanan pasukan lawan, kerana kemampuan beliau melepaskan rembatan deras dari jarak jauh untuk menghasilkan jaringan.