Hasrat Malaysia semalam untuk sekurangnya mencuri satu mata daripada Bahrain semalam nyata tidak kesampaian apabila skuad kendalian Kim Pan-gon merekodkan kekalahan pertama dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 dengan keputusan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Walaupun sebelum itu skuad kebangsaan berjaya membuat kejutan dengan tampil mencatat kemenangan sulung mengatasi Turkmenistan, momentum tersebut sedikit terganggu dengan kebangkitan dicipta oleh Bahrain pada perlawanan semalam.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan E • Kelayakan Piala Asia 2023 | Sabtu, 11 Jun 2022
MALAYSIA 🇲🇾 1-2 🇧🇭 BAHRAIN
⚽️ Mohamadou Sumareh 55'
⚽️ Ali Haram 57' Abdulla Yusuf Helal 81' (P)#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/haL2PW5AKR— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 11, 2022
Namun ada beberapa sisi positif yang dapat dilihat pada perlawanan semalam untuk melegakan sedikit hati para penyokong sekurang-kurangnya menjelang aksi akan datang.
Impak Darren Lok untuk serangan negara
Penyerang sensasi ini terus diberi peluang mengisi kesebelasan utama setelah tampil cemerlang pada perlawanan lalu sewaktu menentang Turkmenistan.
Kerajinan beliau yang sentiasa bergerak di serata arah serangan dan bijak menekan pertahanan lawan menjadikan Darren sebagai satu ancaman sukar untuk dihalang.
Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, kelibat penyerang ini banyak menyusahkan pertahanan Bahrain semalam untuk memulakan gerakan dari bahagian bawah.
Namun segala impak tersebut hilang sebaik sahaja Guilherme de Paula dimasukkan. Tidak ada sebarang tekanan diberikan oleh penyerang naturalisasi selain pergerakannya sangat statik untuk mudah diteka pertahanan lawan.
Kekuatan fizikal dan ketepatan hantaran jauh Khuzaimi Piee
Perlawanan semalam juga menyaksikan Pan-gon turut mengubah pemain di bahagian pertahanan.
Gandingan Khuzaimi dan Dion Cools semalam boleh dianggap sangat baik dan keduanya mempunyai kebolehan membuat hantaran jauh yang tepat kepada pemain serangan.
Tambahan lagi, situasi pertembungan satu lawan satu juga bukan menjadi masalah buat Khuzaimi untuk menghentikan pergerakan serangan Bahrain dengan sangat baik.
Cetusan gol pertama negara juga berpunca daripada hantaran cantik daripada Khuzaimi selain pertahanan tersebut tenang menghadapi sebarang tekanan lawan dan tidak terkeluar daripada posisi.
Barisan pemain simpanan dan kesebelasan utama sama kuat
Walaupun Pan-gon menukar banyak pemain ketika menentang Bahrain semalam dalam senarai kesebelasan utama, nyata perkara tersebut langsung tidak menjejaskan corak permainan yang diinginkan pengendali tersebut.
Kelibat Akhyar Rashid, Nazmi Faiz Mansor dan Mohamadou Sumareh berjaya memberi impak tersendiri serta mengikut falsafah permainan yang telah diterapkan oleh pengendali dari Korea Selatan tersebut.
Tambahan lagi lawan yang dihadapi Malaysia semalam jauh lebih baik berbanding Turkmenistan dan skuad kebangsaan berjaya mengimbangi dengan baik serta menguasai permainan.
Kesimpulan
Malaysia sudah berada pada satu tahap baharu dalam falsafah permainan mereka untuk masa akan datang.
Kelemahan skuad kebangsaan ketika ini lebih kepada individu pemain itu sendiri yang perlukan sedikit peningkatan terutama sekali dari segi visi, stamina, dan teknik kawalan bola untuk melonjakkan lagi mutu pasukan di pentas antarabangsa