Bagi peminat bola sepak Indonesia era 70 dan 80-an, berita kematian Johan Cruyff mungkin akan mengingatkan mereka kepada hari lagenda bola sepak Belanda itu melawat negara mereka pada satu ketika dulu.
Ia berlaku pada hari Selasa, 24 November 1980.
Ketika itu, Johan Cruyff datang ke Indonesia bersama kelabnya, Washington Diplomats untuk menentang Pilihan Galatama di Stadium Gelora Bung Karno (dahulunya dikenali sebagai Stadium Utama Senayan).
Untuk pengetahuan anda, Galatama merupakan nama liga semi-pro Indonesia pada ketika itu.
Beraksi sebagai perancang utama, Cruyff bertanggungjawab membantu Washington Diplomats – pasukan North American League Soccer – untuk menang 2-0.
Menurut agensi berita AFP, perlawanan agak ‘tak seimbang’ kerana dominasi Cruyff di tengah padang.
Gol pertama Diplomats dijaringkan oleh Mario Luna, selepas penjaga gol Pilihan Galatama, Purwono gagal menangkap bola dengan kemas.
Gol kedua Diplomats pula disumbang oleh Thomas Ronjin yang memanfaatkan umpanan Jose Luzano.
Menurut Bola.com, pasukan Diplomats yang dipimpin Cruyff gemar melakukan pressing sehingga menyebabkan penguasaan bola pasukan Indonesia serba tak menjadi.
Ini menjelaskan laporan AFP yang menulis tentang penguasaan pasukan Cruyff yang sangat dominan dalam perlawanan tersebut.
Ketika itu, pasukan Indonesia diketuai oleh Iswadi Idris. Lagenda bola sepak Indonesia, Ronny Pattinasarany pula bermain sebagai perancang utama pasukan, seperti yang dilakukan oleh Cruyff untuk Diplomats.
Ajax datang Indonesia
5 tahun sebelum itu, Ajax Amsterdam pernah bertandang ke Indonesia untuk bertanding dalam kejohanan persahabatan bersama pasukan kebangsaan Indonesia dan Manchester United.
Ajax juga telah dijadualkan untuk menentang beberapa pasukan liga semi-pro Indonesia.
Ajax muncul juara kejohanan persahabatan selepas menewaskan Manchester United 3-2 (pada 1 Jun 1975) dan Indonesia 4-1 (pada 5 Jun 1975).
2 hari selepas menewaskan pasukan kebangsaan Indonesia, Ajax menewaskan PSMS Medan 4-2. Kemudian Ajax menguji pula kekuatan Persija Jakarta (pada 9 Jun 1975). Persija berjaya mengikat Ajax seri 1-1.
2 hari kemudian, Ajax menentang Persebaya Surabaya pula. Ajax menang 3-2.
Bagaimanapun, Johan Cruyff tidak menyertai Ajax ke Indonesia pada ketika ini kerana sudah berpindah ke Barcelona.
Walaupun tanpa Cruyff, Ajax masih merupakan pasukan yang kuat pada ketika itu dengan kehadiran pemain-pemain seperti Ruud Krol, Søren Lerby, Frank Arnesen, Tscheu La Ling dan René Notten.
Baca juga: Johan Cruyff Kecewa Ajax Amsterdam Abai Prinsip Asas Bola Sepak Yang Diasaskannya