21 pemilik kereta yang menonton perlawanan Liga Super antara PDRM dengan JDT di Stadium Hang Jebat semalam pulang dengan dengan perasaan sedih selepas melihat kereta mereka rosak dilanggar lori.
Kami difahamkan kejadian tersebut berlaku ketika perlawanan sedang rancak berlangsung di stadium dan hanya melibatkan pemilik kereta yang memarkir kereta di bahu jalan yang berada di luar kawasan stadium.
Salah pemilik kereta sendiri
Apa yang peliknya adalah, wakil kami yang tiba di Stadium Hang Jebat pada pukul 9.02 malam mendapati masih banyak lagi ruang parkir untuk kereta di dalam stadium.
Tetapi masih ramai pemilik kereta yang berkeras mahu memarkir kereta mereka di luar kawasan stadium, sehingga menyebabkan ada tiga lapisan kereta di bahu jalan.
Kehadiran kereta-kereta yang melakukan double dan triple parking ini menyebabkan jalan menjadi sempit. Maka tak hairanlah kereta-kereta ini ‘dilanyak’ oleh lori.
Mengapa parking di luar?
Wakil kami yang berada di tempat kejadian menjelaskan, ramai pemilik kenderaan memarkir kenderaan mereka di luar kawasan stadium selepas melihat ada beberapa kereta yang diparkir di bahu jalan.
Melihat beberapa kereta yang diparkir di luar kawasan stadium, mungkin mereka menganggap kawasan parkir di dalam stadium sudah penuh.
Sedangkan kawasan parkir dalam stadium masih banyak ruang lagi!
Selain itu mungkin pemilik-pemilik kereta ini mahu memudahkan perjalanan balik mereka dengan terus memarkir di bahu jalan keluar stadium.
Dengan 3 lapisan kereta di bahu jalan, perbuatan ini bukan sahaja menyempitkan jalan malah menyusahkan pengguna jalan lain.
Difahamkan kejadian ini masih berada dalam siasatan polis yang giat mencari pemandu lori terbabit untuk membantu siasatan.
Baca juga: Bagaimana Untuk Selesaikan Masalah Kesesakan Jalan Raya Di Sekitar Stadium Shah Alam