Quantcast
Mengapa Episod 'Anak Harimau' Upin & Ipin Relevan Bagi Peminat Bola Sepak Yang Dewasa


KAJIAN & FAKTA

Mengapa Episod 'Anak Harimau' Upin & Ipin Relevan Bagi Peminat Bola Sepak Yang Dewasa

Friday, 11 Mar 2016

Jika anda mengambil kira fakta bahawa rancangan Sesame Street sebenarnya sudah berusia 46 tahun, anda pasti tertanya-tanya – bagaimana rancangan tersebut masih relevan sehingga kini?

Sejak disiarkan di TV buat pertama kali pada 10 November 1969, Sesame Street merupakan rancangan kanak-kanak nombor satu di Amerika Syarikat selama 3 dekad.

Sesame_Street_panoramic_1970s

Pada era 2000-an, Sesame Street berdepan dengan cabaran baru. Mereka terpaksa bersaing dengan 84 rancangan kanak-kanak lain di TV. Saban hari, semakin ramai kanak-kanak yang beralih kepada Internet berbanding TV.

Tetapi ia masih mampu menarik 850,000 penonton berumur 2 hingga 5 tahun untuk setiap episod di TV. Di Youtube, channel rasmi mereka mempunyai lebih daripada 1 juta subscribers dan lebih 1.5 bilion views.


Turut ditonton oleh orang dewasa

Selain itu Sesame Street juga mempunyai jumlah penonton dewasa yang ramai. 49% penonton Sesame Street berumur 18 tahun ke atas. Persoalannya – mengapa ramai orang dewasa menonton Sesame Street?

Jika anda pernah menonton Sesame Street, anda akan mendapati ia sentiasa memberi ruang kepada hiburan orang dewasa – seperti penampilan selebriti, lawak puns, dan rujukan pop-culture.

robin-williams-6-1024

Sesame Street sengaja dicipta sebegitu supaya ibu bapa sentiasa berminat untuk menemani anak mereka menonton rancangan tersebut.


Apabila kanak-kanak menonton dengan ibu bapa, mereka akan belajar lebih banyak perkara.

Ilmu psikologi tidak menolak kemungkinan bahawa kanak-kanak banyak belajar melalui interaksi mereka bersama ibu bapa, termasuklah ketika menonton TV. Interaksi inilah yang membentuk karakter kanak-kanak, dari dulu sampailah sekarang.

Dan disebabkan itulah Sesame Street kekal relevan sehingga kini.

Mengapa Upin & Ipin adalah Sesame Street kita

Dalam konteks di Malaysia, Upin & Ipin adalah ‘Sesame Street’ kita.


Ia bukanlah satu pemandangan yang luar biasa untuk melihat orang dewasa yang menonton (malah menggemari) siri animasi Upin & Ipin.

Majoriti orang dewasa tahu Kak Ros garang orangnya. Watak Opah mengingatkan kita kepada nenek, opah dan embah kita semasa kecil.

Watak Mail pula mengingatkan ahli perniagaan yang menonton, dari mana cinta mereka kepada bisnes bermula.

Jika kanak-kanak tertarik kepada gelagat karakter dan plot yang mudah difahami, orang dewasa tertarik kepada elemen parody, ketelitian props dan rujukan pop-culture yang ditampilkan dalam plotnya.

Sebagai contoh dalam episod Demi Metromillenium, kanak-kanak mungkin tak tahu mengapa kita tergelak dengan nama kostum ‘Sarjan Husin 3000‘ yang dipakai Ehsan ketika bermain gasing.

Tetapi semua orang dewasa tahu, nama Sarjan Husin tersebut adalah parodi kepada Sarjan Hasan – nama sebuah filem P. Ramlee.

Malah plotnya pula bertemakan sains fiksyen – sesuatu yang tidak asing dalam banyak rancangan orang dewasa.

Anak Harimau

Episod Anak Harimau adalah episod yang bertemakan bola sepak. Ia disiarkan sempena kempen Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan pada ketika itu.

Dalam episod itu, Upin, Ipin dan kawan-kawannya digambarkan sedang mewakili Harimau Malaya dalam perlawanan akhir Piala Dunia menentang negara fiksyen, Pul.

s04_ep15_upinipin_XVID_anakharimau_bhg6.avi_snapshot_06.17_[2016.03.08_14.45.42]

Upin bertindak sebagai kapten pasukan yang turut dianggotai oleh Ipin, Ehsan, Dzul dan Ijat. Mail sebagai ketua jurulatih dan Jarjit sebagai pemain simpanan.

Seperti episod-episod Upin & Ipin yang lain, ia mempunyai beberapa elemen yang membuatkannya releven kepada penonton dewasa. Sebagai contoh, skil backheel turn yang dibuat oleh Ijat selepas menerima hantaran pendek Upin.

Ipin yang bermain di sayap kiri juga mempamerkan Cruyff turn untuk memperdaya pemain lawan yang menyerang kaki kirinya.

s04_ep15_upinipin_XVID_anakharimau_bhg6.avi_snapshot_05.37_[2016.03.08_14.45.03]

Sekali-sekala, anda akan dapat melihat pemain lawan membuat interception dan terus melancarkan counter attack. Bagi peminat bola sepak yang dewasa, ia bagaikan melihat pasukan yang mengamalkan taktik flamboyant possession football menentang pasukan berfalsafah catenaccio!

Apabila Dzul, si penjaga gol, meluru ke depan dalam situasi 1 lawan 1 dengan penyerang lawan, anda dapat melihat chip shot yang dilakukan oleh penyerang lawan tersebut.

s04_ep15_upinipin_XVID_anakharimau_bhg6.avi_snapshot_02.19_[2016.03.08_14.43.18]

Ketinggalan 0-2 dan perlawanan berbaki 27 minit, sudah pastilah plot akan berkembang kepada cerita kebangkitan Harimau Malaya untuk kepuasan penonton kanak-kanak.

Tetapi dalam pada masa yang sama, Upin & Ipin tidak melupakannya penonton dewasanya. Ketika inilah anda akan dapat melihat Ijat melakukan overhead flick, diikuti dengan 360 roulette sebelum melakukan 1-2 pass.

Apabila Jarjit melengkapkan kemenangan 3-2 Harimau Malaya dengan first time volley, episod ini telah berjaya memuaskan hati penonton kanak-kanak dan dewasanya.

s04_ep15_upinipin_XVID_anakharimau_bhg6.avi_snapshot_05.42_[2016.03.08_14.45.17]

Ulang tahun Upin & Ipin ke-10

Sejak kali pertama muncul di televisyen pada tahun 2006, Upin & Ipin bukan saja berjaya menghiburkan kanak-kanak, malah ibu, bapa, kakak dan abang kanak-kanak tersebut.

Upin & Ipin adalah testimoni produk hiburan yang bijak.

Perkembangan karakter dan plotnya cukup menghiburkan dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Tetapi dalam pada masa yang sama, ia tidak merendahkan tahap intelektual penonton dewasa.

Ini yang bakal membuatkannya relevan buat jangka masa yang panjang seperti Sesame Street.

Tahun 2016 kali ini menandakan ulang tahun ke-10 siri Upin & Ipin. Jarang-jarang sebuah produk hiburan kanak-kanak di Malaysia dapat bertahan selama sedekad. Tetapi Upin & Ipin berjaya memecah stereotaip tersebut.

Selamat ulang tahun ke-10, Upin & Ipin.

Baca juga: 11 Filem Bola Sepak Yang Anda Perlu Tengok

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!

Rujukan

  1. The Globe And Mail
  2. The Tipping Point
Topik Berkaitan

Kategori Artikel


Kongsi

Komen Artikel: Mengapa Episod 'Anak Harimau' Upin & Ipin Relevan Bagi Peminat Bola Sepak Yang Dewasa



Berita Bola Yang Menarik