20 Tahun Bersama & Miliki 2 Cahaya Mata, Zlatan ‘Salahkan’ Pasangannya Punca Belum Kahwin

Zlatan Ibrahimovic tampil mendedahkan alasan mengapa beliau tidak mengahwini pasangannya ketika ini walau mereka sudah hidup bersama sejak lebih 20 tahun lalu.

Kedua-dua Zlatan dan pasangan telah dikurniakan dua orang anak sepanjang tempoh 20 tahun lebih perhubungan mereka itu.

Pemain terhebat sepanjang zaman Sweden itu tampil dalam satu temu bual khas di ‘Piers Morgan Uncensored ‘ bersama Piers Morgan sendiri.

Seperti kebiasaannya, temu bual bersama Piers Morgan tentu saja banyak membincangkan tentang isu-isu panas dan sangat menarik untuk dibincangkan.

Ketika temu bual itu, Zlatan telah menceritakan tentang kisah beliau di Old Trafford, pandangan beliau tentang Erik Ten Hag dan beliau turut berkongsi tentang pengalaman-pengalaman sepanjang kariernya yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Zlatan turut bercakap tentang detik-detik kontroversi yang pernah beliau lalui sepanjang kariernya, termasuklah tentang hubungan beliau dengan Jose Mourinho.

Bekas bintang AC Milan dan Manchester United itu juga turut bercakap tentang legenda-legenda dari sukan lain seperti Novak Djokovic dan Muhammad Ali.

Selain hal-hal melibatkan kariernya, Zlatan juga turut bercakap tentang zaman kanak-kanaknya dan juga tentang kehidupan peribadi beliau.

Morgan telah membangkitkan isu menarik melibatkan hal peribadi Zlatan dengan beliau bertanya tentang perhubungan legenda Sweden itu bersama pasangannya, Helena Segar.

Kedua-dua Zlatan dan Helena sudah bersama sejak tahun 2002 yang lalu, dan kisah tentang bagaimana mereka bertemu juga sebenarnya sangat menarik untuk diketahui.

Helena pernah mendedahkan kepada Elle Magazine yang pertama kali beliau bertemu Zlatan adalah ketika bintang Sweden itu berdepan dengannya untuk bertanya tentang tempat letak kereta.

Ketika Helena sendiri ditanya oleh Elle Magazine tentang mengapa beliau tidak mahu berkahwin, beliau menjawab:

“Berkahwin sebenarnya akan lebih mengganggu kebebasan saya. Saya tak mahu sewenangnya dilabel sebagai isteri pemain bola atau pemenang pertandingan ratu cantik.”

“Saya rasa orang tak tahu betapa susah perjalanan saya, bagaimana tinggi pelajaran saya, kerja keras saya dan perjuangan saya.”

Kedua-dua mereka sudah memiliki dua orang anak lelaki, termasuk Maximilian yang kini bersama skuad remaja AC Milan.

Walaupun sudah bersama sejak sekian lama, kedua-dua Zlatan dan pasangan sebenarnya tidak pernah berkahwin secara rasmi.

Zlatan sendiri seperti kebiasaannya, beliau tentu saja akan memberikan jawapan yang sungguh luar biasa ajaib bagi menjawab persoalan dari Piers Morgan itu.

“Saya pernah melamar dia, tapi dia jawab tak. Hal ini berlaku beberapa tahun lalu.”

Jelas Zlatan bercakap tentang alasan mengapa beliau tidak menikahi pasangannya.

“Saya kata, selepas 20 tahun, kamu berhak untuk berkahwin dengan saya. Dia kata, ‘Tak, saya tak perlu untuk berkahwin dengan kamu, bersama dengan kamu.’ Dia seorang yang kuat, sangat kuat.”

“Saya rasa ia menarik kerana jika kamu lakukan itu, kamu akan dapat penghormatan yang lebih dari saya, kerana saya tak perlu untuk sentiasa menang.”

Ketika ditanya adakah beliau mahu melamar kekasihnya semula, dengan santai dan tenang, Zlatan menjawab:

“Tak. Dia dah ada satu kesempatan, dia tak akan dapat peluang kedua.”

“Tapi dia sudah ada dua anak lelaki dari saya, jadi itu sebenarnya lebih besar dari sebuah perkahwinan.”

Hebat bukan jawapan dari Zlatan? Dan kerana sikap bongkak serta angkuh beliau, peminat sendiri sempat mencipta ungkapan-ungkapan khas untuk beliau seperti:

“Ketika Zlatan datang lewat ke sekolah, seluruh sekolah didenda kerana datang terlalu awal.”

“Ketika pegawai bank menghubungi Zlatan, bermaksud mereka yang mahu meminjam duit Zlatan.”

“Ketika Zlatan disahkan positif Korona, maka virus itu yang akan dikuarantin.”

“Ketika Zlatan dilahirkan, seluruh kaki tangan hospital memberi hadiah kepadanya kerana menjadi bayi terhebat di dunia.”

“Ketika Zlatan ke sekolah, dia yang beri ibu dan ayahnya duit belanja.”

Apa lagi ungkapan tentang Zlatan yang kalian ingat? Cuba tulis di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN