Kedah Darul Aman (Kedah) menjadi antara pasukan tumpuan setakat ini menerusi ketajaman dua penyerang import mereka yang diragui selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super 2023.
Tampil dengan rombakan semula dalam barisan pemain, Kedah telah pun menandatangani dua penyerang import untuk skuad utama mereka iaitu Willian Lira serta Jonathan Balotelli musim ini.
Liga Super: Perlu Bangkit, Ketajaman Willian Lira Ditagih Untuk ‘Benam’ Kelantan Unitedhttps://t.co/2pIQXAtq73
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 13, 2023
Walaupun begitu, kedua pemain ini masih lagi tumpul di hadapan gawang dengan Lira hanya mampu menjaringkan dua gol, serta Balotelli meledak satu jaringan sahaja daripada lima perlawanan dihadapi.
Pemain paling dipersoalkan kini sudah tentu terarah kepada Lira, kerana beliau bermula dalam kesebelasan utama dan hanya menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti serta situasi bola mati.
Menerusi statistik dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Lira hanya mampu merekodkan tiga percubaan tepat sahaja daripada 414:36 minit aksinya di atas padang.
Secara keseluruhan, bekas penyerang Ventforet Kofu ini juga telah melepaskan 14 percubaan keseluruhan dengan kadar ketepatan 21.4 peratus.
Balotelli pula kali terakhir meledak gol ketika aksi pertama liga yang menyaksikan ketika itu Kedah menewaskan Perak dengan keputusan penuh 4-1 di gelanggang lawan, dan sehingga kini pemain kelahiran Brazil itu terus kemarau menghasilkan jaringan.
JONATHAN BALOTELLI KINI SANG KENARI!
Pemain ini berusia 33 tahun berasal dari Rio De Janeiro, Brazil. Dikenali sebagai Jonathan Balotelli mengisi kuota pemain penyerang import antarabangsa Sang Kenari. Musim lepas beliau mewakili Jeonnam Dragons (Liga K2 – Korea Selatan). pic.twitter.com/KZVNCKCcmg
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) January 27, 2023
Untuk aksi seterusnya, mungkin Nafuzi Zain boleh merehatkan salah seorang penyerang utama Kedah untuk digantikan kepada seorang lagi pemain import mereka di skuad simpanan, Ebenezer Assifuah.
Assifuah setakat ini berjaya mempamerkan prestasi positif dalam saingan Piala MFL selepas merekodkan tiga jaringan daripada dua perlawanan dihadapi Kedah.
Jika dinilai daripada segi rekod, Assifuah sebenarnya mempunyai rekod lebih baik berbanding Lira dan Balotelli menerusi kelab lama diwakili, serta pengalaman di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 29 tahun ini memiliki pengalaman yang sangat luas di Eropah bersama beberapa siri kejayaan turut ditempa bersama Ghana.
Tahun 2013 menjadi sesuatu yang sangat istimewa buat Assifuah, selepas kejayaan beliau membantu Ghana meraih gelaran ketiga terbaik untuk saingan Piala Dunia B-20 selain merekodkan selaku penjaring terbanyak kejohanan.
Untuk saingan African Youth Championship, Assifuah menjadi antara tunjang utama kekuatan Ghana untuk membantu pasukan tersebut mara ke final.
Penyerang yang berasal dari Accra itu juga pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah seperti Sion, Le Havre, dan Pau FC di Perancis.
Cuma, Assifuah mungkin tidak dipilih untuk skuad utama kerana memiliki rekod kecederaan pada musim lalu ketika dalam saingan Ligue 2 iaitu ACL sehingga pemain ini tidak beraksi untuk tempoh lama.
Ebenezer Assifuah, pemain dari Ghana menyertai pasukan petang ini. Pemain yang dikenalpasti untuk mengisi kuota pemain import ke-7 tertakluk kepada pemeriksaan perubatan dan siri penilaian kecergasan serta kecederaan sebelum disahkan sebagai pemain import ke-7 KDA FC. pic.twitter.com/uJWKXWuoDg
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) January 6, 2023
Walaupun tidak dikeliling pemain yang berkualiti tinggi untuk membuka ruang atau hantaran kearah gol, Assifuah tampil dengan sangat konsisten untuk meledak jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut.
Apapun, keputusan terserah buat Nafuzi untuk memikirkan sendiri apa yang terbaik demi pasukan, dan tempoh cuti ini pastinya digunakan sebaik mungkin untuk beliau memperbaiki aspek penyudah Kedah.