Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir mengesahkan dua pemain warisan baharu mereka bakal didaftarkan sebelum perlawanan seterusnya membabitkan Sang Garuda menentang Vietnam.
Indonesia bakal mengharungi saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 seterusnya pada pertengahan Mac ini dalam usaha mereka untuk cuba mendapatkan tiga mata pertama.
Berada dalam Kumpulan F, Indonesia gagal meraih sebarang kemenangan apabila mereka hanya mencatat satu keputusan seri ketika bertemu Filipina serta tewas dengan jumlah jaringan besar sewaktu menentang Iraq.
Dua keputusan kurang memberansangkan itu menyaksikan Sang Garuda perlu mencipta kebangkitan untuk kembali menghidupkan peluang mereka mara ke pusingan seterusnya.
Disebabkan itu, PSSI dilihat memulakan kerja pantas mereka untuk mendaftarkan dua lagi pemain warisan yang dianggap memiliki kualiti tersendiri untuk memberi kekuatan buat Sang Garuda.
Dua pemain dimaksudkan itu ialah Thom Haye serta Ragnar Oratmangoen untuk memperkukuhkan Indonesia secepat mungkin bagi mengharungi aksi menentang Vietnam menerusi perkongsian CNN Indonesia.
Indonesia bakal mengharungi Vietnam pada 21 Mac ini di Stadium Utama Gelora Bung Karno sebelum bertandang ke Hanoi lima hari kemudian untuk aksi seterusnya.
Terdahulu, Erick sudah pun mengakui sudah membuat perbincangan bersama beberapa calon pemain warisan seterusnya menerusi aplikasi Zoom sebelum memutuskan untuk merahsiakan status mereka kepada umum.
Mengenai status Thom dan Ragnar, beliau kini menyatakan proses pendaftaran mereka masih sedang berlangsung dan berharap dua bintang warisan ini boleh digunakan pada aksi berdepan Vietnam.
Sehingga kini, kedua pemain tersebut masih lagi belum diketahui status mereka jika mampu untuk diselesaikan secepat mungkin sekali gus memberi ruang buat Shin Tae-yong untuk memanggil mereka menyertai kem latihan pusat bakal berlangsung tidak lama lagi.
Sebelum itu, seorang lagi pemain warisan mereka iaitu Nathan-Tjoe-A-On dilaporkan bakal mengangkat sumpah selaku warganegara Indonesia tidak lama sahaja lagi untuk memperkukuhkan pasukan kebangsaan Indonesia.
Akhir sekali, Indonesia dilaporkan bakal menjadikan Maarten Paes selaku pemain warisan seterusnya yang beraksi di posisi penjaga gol selain pemain tengah Crystal Palace, Jairo Riedewald turut berada dalam radar PSSI.
Indonesia antara pasukan yang paling aktif selain Malaysia untuk menggunakan pemain warisan sepanjang saingn Piala Asia 2023 di Qatar berlangsung lalu dan ianya dianggap membuahkan hasil apabila mereka melayakkan diri ke pusingan kalah mati buat pertama kali dalam sejarah.