Pemain Kebangsaan Perlu Kawal Diri Sebelum Hadapi Aksi Berdepan Oman

Ketika ini, rata-rata pemain kebangsaan masih lagi sedang menjalani tempoh bercuti selepas melalui tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.

Ada sesetengah pemain masih diberikan tempoh untuk mereka bercuti, sementara hanya segelintir sahaja sudah pun menjalani sesi latihan awalnhersama pasukan masing-masing.

Untuk pemain yang masih bercuti, ianya merupakan suatu kebimbangan jika mereka tidak mengawal diri daripada segi pemakanan serta rutin harian yang mampu mengganggu momentum serta kecergasan sebelum kembali dipanggil pasukan kebangsaan.

Ini kerana Malaysia bakal menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan Mac akan datang untuk menghadapi cabaran Oman di gelanggang pasukan lawan.

Ianya dianggap sebagai aksi cukup getir buat skuad kendalian Kim Pan-gon untuk meneruskan momentum positif selepas Harimau Malaya meraih dua kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan selepas mengatasi Kyrgyzstan serta Taiwan.

Kebimbangan sama turut dicetuskan oleh bekas pengendali berpengalaman negara iaitu Wan Jamal Wan Hassan yang mahu para pemain kebangsaan mengamalkan sikap disiplin tinggi pada tempoh bercuti ini.

Untuk rekod semasa, saingan Liga Malaysia (Liga M) masih lagi belum berlangsung dan ianya bermakna para pemain kebangsaan masih lagi belum mengharungi sebarang aksi kompetitif sebelum berdepan Oman.

Ketiadaan aksi kompetitif menyaksikan situasi kecergasan para pemain berkemungkinan bakal menurun jika mereka tidak menjaganya dengan baik pada tempoh bercuti ini.

Disebabkan itu, Wan Jamak menyarankan supaya para pemain Malaysia mengamalkan sikap profesionalisme dengan sangat tinggi serta mengesyorkan mereka mengamalkan sesi latihan sendiri untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka.

Malah, beliau juga menasihatkan mereka untuk menjaga diet pemakanan supaya ianya tidak memberi kesan buat para pemain untuk kembali beraksi di atas padang selepas ini.

“Semua pemain adalah pemain profesional dan mereka seharusnya tahu bagaimana untuk mengawal diri terutamanya dalam pengambilan makanan.

“Bila bercuti memang mereka akan berehat sebaiknya, namun pemain tidak boleh mengambil makanan yang boleh memberi kesan kepada tahap kecergasan mereka.

“Saya percaya pemain sudah cukup profesional dan tahu untuk menjaga diri. Begitu juga dengan latihan, walaupun sedang bercuti tetapi pemain kena kekalkan kecergasan dengan sebaiknya,” katanya menerusi laporan Harian Metro.

Pada masa sama, Wan Jamak juga menaruh keyakinan untuk barisan kejurulatihan kebangsaan yang sudah tentu membekalkan jadual latihan bersesuaian sebelum masing-masing dipanggil menyertai kem kebangsaan.

“Mungkin jurulatih tahu mengenai hal ini dan sudah ada jadual atau rutin latihan yang perlu diikuti pemain ketika berehat ini.

“Malah saya fikir, jurulatih juga tahu bilakah waktu puncak yang pemainnya boleh capai sebelum turun beraksi dengan Oman nanti.

“Bagi saya ia berbalik kepada pemain itu sendiri, jika kita mahu bermain di Piala Dunia jadi pemain perlu meletakkan tahap disiplin tinggi kerana bukan mudah untuk mencapai tahap setinggi itu,” katanya akhir sekali.

Pada saingan Piala Asia 2023 lalu, Malaysia menamatkan cabaran di peringkat kumpulan sahaja, apabila Harimau Malaya hanya memperoleh satu mata ketika bertemu Korea Selatan dan tewas dua kali berturut-turut sebelum itu.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN