Kehilangan dua pemain utama yang tercedera dan keadaan padang di Stadium Nasional, Ulaanbaatar telah menyebabkan jurulatih Thailand B-22, Worrawoot Srimaka dan kapten, Thanawat Suengchitthawon ‘berbunyi’.
Thailand dan tuan rumah, Mongolia terikat dengan keputusan 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan J, yang berlangsung sebelum Malaysia menundukkan Laos 1-0 pada aksi yang berlangsung di lokasi yang sama.
Skuad Gajah Perang terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke-11 menerusi pemain sayapnya, Jakkit Palapon sebelum pemain sayap Mongolia, Baljinnyam Batbold menyamakan kedudukan di minit ke-76.
Worrawoot Srimaka memohon maaf kepada penyokong mereka yang meletak harapan tinggi mereka akan berjaya menundukkan Mongolia, tetapi beliau mempunyai sebab atas keputusan yang kurang baik tersebut.
Kecederaan awal dua pemain utama, iaitu bek tengah, Wanchart Choosong dan pemain tengah, Benjamin Davies mengganggu perancangannya selain beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka.
Memetik katanya selepas perlawanan daripada Bangkok Post, “Para pemain beraksi agak baik hari ini. Tetapi, gol lawan berpunca daripada kesilapan kami sendiri. Jika masalah ini diperbaiki tentunya kami boleh menang.”
Late blunder robs Thais of Mongolia win #bangkokpost #footballhttps://t.co/mPG5y6yfiR
— Paul Poole (@PPSEACL) October 26, 2021
“Satu perkara lagi, kami perlu lebih berani ketika memegang bola. Jika kami boleh lakukannya, ia tentunya lebih bagus. Namun, saya perlu memohon maaf kepada para penyokong hari ini. Kami telah cuba yang terbaik.
“Jika kami mampu kurangkan kesilapan, kami tentu boleh kutip tiga mata. Masih berbaki dua perlawanan dan kami sasar untuk kutip enam mata dan layak ke pusingan akhir,” tegas Worrawoot Srimaka dalam nada yakin.
Beliau juga mengatakan keadaan padang telah menyebabkan kecederaan kepada Wanchart Choosong dan Benjamin Davies, “Wanchart mungkin boleh kembali beraksi tetapi Benjamin mungkin tidak dapat diturunkan. Kedua-dua mereka mengalami kecederaan disebabkan rentak perlawanan di atas padang yang sebegitu.”
Thailand akan bertemu Laos pada Khamis sebelum menutup tirai berdepan Malaysia pada Ahad ini.
Thanawat Suengchitthawon captained Thailand Under-23s in their draw with Mongolia Under-23s on Monday 🇹🇭
— Leicester City (@LCFC) October 26, 2021
Sementara itu, pemain yang beraksi di English Premier League (EPL), Leicester City, Thanawat Suengchitthawon yang merupakan kapten skuad B-22 Thailand dilihat turut memberikan komen mengenai keadaan padang.
Memetik katanya di laman Facebook Changsuek, “Dari segi keadaan padang, saya rasa padang latihan jauh lebih baik daripada padang perlawanan. Bermain bola di atas padang tiruan sangat sukar. Tetapi Mongolia juga bermain di padang yang sama dan mereka mengamalkan permainan ‘long ball’ untuk memerangkap kami.”
Sebagaimana jurulatihnya, beliau turut melaungkan keyakinan untuk merebut enam mata selepas ini daripada Laos dan Malaysia untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 pada Jun tahun depan.