Poland kini menjadi pasukan paling malang dalam pusingan pertama Piala Dunia 2018. 2 kesilapan defensif mereka telah memberikan 2 gol kepada Senegal.
Thiago Cionek tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-37. Cionek cuba menghadang rembatan deras Idrissa Gueye.
Pada minit ke-60, satu lagi kesilapan defensif yang membawa kepada gol. Kali ini Grzegorz Krychowiak menghantar bola ke belakang dan dipintas oleh M’Baye Niang untuk gol kedua.
Ini merupakan gol sulung Niang di peringkat antarabangsa. Lebih manis ianya adalah jaringan di Piala Dunia. Niang masuk ke dalam padang selepas diberikan perlepasan oleh pegawai ke-4.
Beliau terus mengambil kesempatan di sebalik kelekaan Poland. Pemain-pemain Poland membantah gol tersebut namun pengadil dalam perlawanan ini tidak mahu menggunakan VAR.
Krychowiak menebus kesilapan beliau dengan menanduk masuk bola pada minit ke-86 menjadikan kedudukan 2-1.
Senegal mendapat peluang pada saat akhir namun Mane menghantar bola lemah. Senegal menang 2-1 dan menjadi pasukan Afrika pertama yang menang di Piala Dunia 2018.
Ini merupakan kemenangan ke-3 daripada 6 perlawanan terakhir mereka dalam Piala Dunia. 3 kemenangan mereka kesemuanya dicatat menentang pasukan Eropah iaitu Perancis, Sweden dan Poland.
Poland masih gagal melakukan sebarang clean sheet dalam kejohanan Piala Dunia mereka selepas kemenangan 1-0 ke atas Portugal pada 1986.
Poland juga menjadi negara pertama melakukan 2 kesilapan defensif yang terus mencetuskan gol setakat ini.