Kejayaan Johor Darul Ta’zim dalam saingan ACL musim 2022 ini berjaya mencipta lembaran baharu buat kelab tersebut untuk mencipta sejarah tersendiri apabila layak pertama kali beraksi di pusingan seterusnya setelah hanya terkandas di peringkat kumpulan sejak awal penyertaan.
Lebih manis kali ini selain hanya pasukan tersebut mencipta sejarah, kehadiran penyokong setia mereka sebanyak 17,940 juga pastinya boleh berbangga apabila menjadi sebahagian daripada sejarah manis tersebut untuk dibualkan bersama generasi akan datang.
Umum diketahui, JDT antara pasukan yang sering menitikberatkan hal penyokong dari segi penyediaan infrastruktur selesa di stadium serta pemilik JDT sendiri iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) antara individu sering dekat dan mendengar pendapat serta luahan peminat.
TMJ antara insan yang tidak pernah berdiam diri jika ada sesuatu masalah berlaku dalam kelab miliknya. Begitu juga jika ia melibatkan hal penyokong dan suara mereka ingin didengari oleh pihak atasan dalam usaha percambahan idea.
Setiap musim, TMJ sendiri akan membuat sesi soal jawab bersama para penyokong setia dan tidak pernah menyembunyikan sebarang pelan pasukan selain menyantuni mereka ini dengan sikap terbuka.
Menurut TMJ dalam sesi perjumpaan bersama penyokong setia JDT tahun lalu, perpaduan dan keharmonian dalam sesebuah kelab adalah segalanya. Kedua-dua aspek ini saling berkait rapat dan ia akan mempengaruhi kepada kekuatan dan konsistensi sesebuah kelab.
“Walaupun kelab JDT dah berjaya macam-macam kejayaan, kelab tidak pernah lupakan penyokong dan saya sentiasa memastikan hubungan akrab antara kelab dan penyokong. Kita adalah ‘JDT Family”, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam petikan artikel laman rasmi Johor Southern Tigers.
Sikap sebegini amat penting buat para pemilik kelab pasukan lain untuk mencontohi TMJ yang sentiasa menganggap para penyokong sebagai salah satu cabang kekuatan pasukan.
Malah, TMJ sendiri tidak pernah putus mengharapkan agar para penyokong sentiasa hadir ke stadium untuk memberi sorakan padu buat pemain kerana sedar, laungan peminat menjadi sumber motivasi buat pasukan untuk tampil lebih cemerlang dan bermotivasi.
Semoga pemilik-pemilik kelab lain turut mencontohi apa yang dibuat oleh TMJ supaya hubungan kelab dan penyokong tidak pernah putus serta pasukan tidak pernah membelakangi para peminat.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!