15 Perlawanan Yang Sebenarnya Jadi Penentu Perebutan Gelaran EPL Musim Ini

Perebutan merebut gelaran Premier League (EPL) sudah berakhir pada hujung minggu lalu selepas Arsenal mencatatkan kekalahan 1-0 bertemu Nottingham Forest, seterusnya mengesahkan kejuaraan menjadi milik Manchester City.

Namun begitu, hal tersebut sebenarnya sudah ditentukan jauh sebelum aksi Arsenal bertemu Nottingham Forest lagi kerana Man City tetap akan bergelar Juara walau The Gunners mencatatkan kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Semua sudah sedia maklum yang Man City akan tetap ditabalkan sebagai juara musim ini dan kekalahan Arsenal bertemu Nottingham Forest sekadar mempercepat The Citizens untuk bergelar Juara.

Para pemain Man City berpesta ketika meraikan kejayaan Nottingham Forest menewaskan Arsenal dengan mereka turun beraksi bertemu Chelsea sebagai juara saingan musim ini.

Walau mereka baru sahaja ditabalkan sebagai juara musim ini, namun sebenarnya perseteruan antara kedua-dua pasukan ini dalam merebut gelaran liga sudah hangat berlaku sejak awal lagi.

Menurut kajian dari Sportsbibble, berikut merupakan 15 perlawanan yang sebenarnya menjadi penentu kepada perebutan gelaran EPL musim ini.

Manchester United 3-1 Arsenal – 4 September 2022 –

Skuad kendalian Mikel Arteta itu turun dalam perlawanan bertemu musuh tradisi mereka itu dengan rekod lima kemenangan dari lima perlawanan awal saingan musim ini.

Telah berlaku beberapa keputusan kontroversi dalam perlawanan tersebut dan menyebabkan Arsenal keciciran mata namun mereka masih berada di atas Man City.

Manchester City 2-1 Fulham -5 November 2022 –

Dengan persembahan mantap Arsenal semakin berterusan, Man City sepertinya tidak mahu ketinggalan, namun kad merah yang diterima oleh Joao Cancelo dalam perlawanan tersebut memberi kesukaran sebenarnya kepada skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Ketika Man City sepertinya akan keciciran mata, mereka akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 selepas Erling Haaland cemerlang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-97 dalam perlawanan tersebut.

Manchester City 1-2 Brentford – 12 November 2022 –

Menjelang bermulanya kempen Piala Dunia dan dengan Arsenal hanya kehilangan lima mata sahaja pada ketika itu, City jelas sekali perlu mencatatkan kemenangan untuk mereka terus beri saingan kepada Gunners.

Namun kekalahan mereka dalam perlawanan ini sepertinya membuatkan Pep menghabiskan cuti enam minggu untuk beri laluan kepada Piala Dunia dengan memikirkan cara terbaik untuk terus mencabar Arsenal.

Arsenal 0-0 Newcastle United – 3 Januari 2023 –

Arsenal turun dalam perlawanan ini dengan kedudukan yang sangat selesa sebagai calon juara, namun keputusan seri menyebabkan ramai yang mula mempersoalkan mentaliti pemain mereka.

Everton 1-0 Arsenal – 4 Februari 2023 –

Sean Dyche turun sebagai pengurus Everton buat pertama kali di Goodison Park dalam perlawanan ini, dan percaturan beliau membuahkan hasil yang sangat lumayan untuk The Toffees.

Arsenal terlalu yakin bakal mampu tewaskan Everton dan kerana hal itulah mereka terpaksa akur pulang tangan kosong dari perlawanan itu.

Tottenham Hotspur 1-0 Manchester City – 5 Februari 2023 –

Sehari selepas Arsenal mencatatkan kekalahan bertemu Everton, giliran Man City pula keciciran mata dan jelas sekali The Gunners benar-benar mengucapkan terima kasih kepada seteru mereka itu kerana membuat The Citizens pulang dengan tangan kosong.

Arsenal 1-1 Brentford – 11 Februari 2023 –

Penyokong Arsenal jelas sekali akan sangat-sangat kesal dengan keputusan perlawanan ini kerana mereka merasakan VAR telah merompak gelaran EPL mereka dengan membenarkan gol offisde dari Ivan Toney, seterusnya menyebabkan perlawanan berkesudahan dengan keputusan 1-1.

Arsenal 1-3 Manchester City – 15 Februari 2023 –

Arsenal ketika ini mendahului carta liga dengan kelebihan lapan mata dan turut mempunyai kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Namun begitu, tugas berat menanti mereka kerana mereka turun beraksi bertemu pasukan yang sedang mengejar mereka dalam perebutan memburu gelaran EPL.

Keciciran mata berterusan menyebabkan Arsenal seolah-olah membuka pintu yang sangat luas untuk Man City masuk merampas kedudukan teratas dari mereka.

Aston Villa 2-4 Arsenal – 18 Februari 2023 –

Selepas tamat perlawanan ini, semua orang tentu saja bersetuju yang Arsenal akan bergelar Juara saingan EPL musim ini.

Setelah mengharungi tiga perlawanan yang mengecewakan, Gunners kembali menemui rentak kemenangan dan mendahului carta saingan liga.

Nottingham Forest 1-1 Manchester City – 18 Februari 2023 –

Gol penyamaan dari Chris Wood seolah-olah sudah menutup ruang untuk Man City terus mengejar Arsenal kerana mereka hilang dua mata penting dari perlawanan itu.

Arsenal 3-2 Bournemouth – 4 Mac 2023 –

Ketinggalan 2-0 sepertinya Arsenal seolah-olah membuka ruang kepada City untuk kembali bersaing, namun mereka akhirnya berjaya melakukan comeback seterusnya mencatatkan kemenangan 3-2 dalam perlawanan ini.

Liverpool 2-2 Arsenal – 19 April 2023 –

Arsenal sebelum aksi bertemu Liverpool tidak pernah keciciran mata sejak tewas di tangan Man City, dengan mereka juga turut mendahului perlawanan di Anfield itu dengan keputusan 2-0.

Namun The Reds berjaya melakukan comeback dan mengikat Arsenal 2-2 seterusnya menyebabkan Gunners sekali lagi keciciran mata penting.

West Ham 2-2 Arsenal – 16 April 2023 –

Seminggu selepas kecewa di tangan Liverpool, Gunners sekali lagi dilanda musibah selepas mereka sekadar mampu mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu West Ham walau mereka sudah mendahului perlawanan tersebut.

Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan penalti, dan kegagalan beliau itu menyebabkan Arsenal terpaksa berpuas hati pulang dengan satu mata sahaja.

Arsenal 3-3 Southampton – 21 April 2023 –

Selepas dua kali kena comeback dan menyebabkan mereka hilang mata penting, Arsenal jelas sekali tidak akan lepaskan peluang untuk kutip tiga mata penuh beraksi bertemu pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran.

Namun malang untuk skuad kendalian Mikel Arteta itu, mereka gagal untuk mencatatkan kemenangan, sebaliknya sekadar mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu Southampton.

Manchester City 4-1 Arsenal – 26 April 2023 –

Arsenal jelas sekali tidak berada di tahap terbaik mereka untuk berkunjung ke Etihad selepas mereka mengharungi tiga perlawanan yang sangat mengecewakan.

Kekalahan mereka bertemu Man City adalah penutup kepada persoalan siapa bakal bergelar Juara kerana The Citizens sudah jelas lebih berpotensi.

Kekalahan Arsenal bertemu Brighton sebenarnya sudah mengukuhkan lagi kedudukan Man City sebagai calon juara musim ini dan kekalahan mereka di tangan Nottingham Forest sekadar mempercepat kejayaan The Citizens untuk bergelar Juara.

Dan seandainya Arsenal bijak memanfaatkan situasi ketika Man City keciciran mata, mereka jelas sekali boleh menjuarai saingan musim ini, atau setidak-tidaknya bersaing dengan The Citizens hingga ke hari terakhir saingan musim ini.

Mikel Arteta jelas sekali tidak mahu hal sama berulang kembali dan beliau tentu saja tidak gembira skuadnya mengakhiri saingan musim ini tanpa memenangi apa-apa walau mereka antara pasukan yang paling berprestasi.

Manchester City pula sementara itu sudah berjaya menjuarai gelaran EPL dan mereka turut berpotensi untuk membawa pulang dua lagi gelaran sebelum berakhirnya saingan musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu akan turun beraksi bertemu Man United untuk aksi perlawanan akhir Piala FA, dan mereka juga akan turun beraksi bertemu Inter Milan untuk aksi perlawanan akhir saingan Champions League.

Adakah Man City akan mampu meraih gelaran treble musim ini? atau mereka akan tersungkur di tangan Man United untuk perebutan gelaran Piala FA? atau mereka akan terus kempunan untuk memenangi gelaran Champions League? bincangkan di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN