Jika anda meminta kami menyenaraikan 11 idaman untuk karier Weigang di Malaysia, ia mungkin akan dipenuhi skuad kelayakan Olimpik 1980.
Jadi, kami memilih 11 idaman pilihan kami untuk skuad Weigang ketika beliau mengendalikan skuad Perak.
Penjaga gol – Zamri Mat Arif
Pada zaman peminat bola sepak Malaysia mengagumi penjaga-penjaga gol hebat seperti Khairul Azman Mohamad (Sabah), Mazlan Wahid (Sarawak) dan Muadzar Mohamad (Pahang), Zamri Mat Arif adalah nama yang menjadi pujaan penyokong Perak.
Dengan ketinggian yang dominan (sama tinggi dengan Laszlo Repasi dan Khairo Anuar Baharom), Zamri pernah membantu Perak menjuarai Piala Malaysia 1998.
Bek kanan – Chan Kok Heng
Kesetiaan Chan Kok Heng kepada Perak tidak boleh dipertikaikan. Pemain yang berkhidmat dengan Perak sejak 1988 hingga 2004 ini pernah menjadi juara Liga Perdana Satu (2002, 2003) dan menjulang Piala Malaysia (1998, 2000) dan Piala FA (1990, 2004).
Bek tengah – Shamsul Saad
Shamsul Saad yang mesra dipanggil Choi ini bukan pemain yang laju. Tetapi kelebihan fizikal dan kebijaksanaan Choi membaca permainan merupakan aset berharga untuk Weigang.
Beliau pernah menjulang Piala Malaysia 2000 bersama Perak sekembalinya beliau dari Terengganu selama semusim.
Bek tengah – Janos Krescka
Dibawa masuk bersama rakan senegaranya dari Hungary – Laszlo Repasi, Janos Krescka merupakan pertahanan tengah yang bijak dan pantas menyesuaikan diri di Perak.
Dalam masa 18 bulan beliau berkhidmat dengan Perak, Krescka menghadiahkan Weigang trofi Piala Malaysia 1998 apabila sepakan penaltinya mengesahkan kemenangan dalam penentuan penalti perlawanan akhir tersebut.
Bek kiri – Chan Wing Hoong
Chan Wing Hoong mungkin bukan bek sisi yang paling berskil di Malaysia pada zamannya. Tetapi stamina, kerajinan dan konsistensi adalah aset beliau yang paling berharga.
Selain K. Nanthakumar, nama Wing Hoong adalah satu nama pemain Perak yang sentiasa dipanggil oleh skuad kebangsaan.
Tengah – Ahmad Shahrul Azhar (Kapten)
Siapa lagi yang layak mengisi posisi jeneral dalam pasukan Weigang? Beliau mungkin agak berlemah-lembut ketika bercakap, tetapi tegas memimpin pasukan dan digeruni pemain lawan.
Meskipun diakhir kariernya Ahmad Shahrul kerap dibuang padang, beliau tetap dikenang kerana membantu Perak menjuarai Piala Malaysia 2000 sehingga diberi anugerah pemain terbaik perlawanan.
Tengah – K. Nanthakumar
Jika Ahmad Shahrul Azhar seorang pemain ala Roy Keane, K. Nanthakumar pula adalah pemain ala Patrick Vieira.
Mempunyai fizikal yang tinggi, Nantha bukan sahaja kental bertahan. Malah boleh juga menjaringkan gol (masih ingat golnya di Stadium Perak ketika separuh akhir Piala Malaysia 2003?)
Tengah menyerang – Azrul Amri Burhan
Pemain yang pernah dibida oleh Montpellier dengan nilai USD1 juta ini juga pemain yang sangat berskil, kreatif dan berseni. Sayangnya kecederaan beliau yang kerap menghalang Azrul untuk lebih banyak aksi di peringkat tertinggi.
Anak jati Bidor ini pernah menjulang trofi Piala Malaysia 1998 dan Piala Malaysia 2000.
Penyerang – V. Saravanan
Kami serba salah sama ada untuk memilih M. Nagaraja atau V. Saravanan. Kedua-duanya pandai bermain di bahagian sayap dan penyerang. Kedua-duanya juga tajam di depan gol.
Tetapi akhirnya kami memilih Saravanan – anak Ipoh yang dahulunya pernah menjual kacang di Stadium Ipoh – sebagai pemain pilihan kami. Jaringan gol beliau semasa final Piala Malaysia 1998 dan 2000 berjaya membantu Perak muncul juara.
Penyerang – Laszlo Repasi
Mula masuk pada separuh kedua musim 1997, hanya penyerang berbisa seperti Laszlo Repasi sahaja yang boleh menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak liga. Beliau menjaringkan 19 gol dalam 14 perlawanan pada musim itu.
Pada musim 1998, Repasi bergaduh dengan Weigang semasa 2 perlawanan separuh akhir Piala Malaysia. Ini membuatkan nama beliau terus digugurkan oleh Weigang.
Meskipun hubungan beliau yang buruk dengan Weigang, kami masih memilihnya kerana reputasinya selaku penyerang paling berbisa pernah dididik oleh Weigang.
Penyerang – Khalid Jamlus
Antara target man yang paling digeruni dalam pasukan Weigang. Beliau bukan pemain yang berskil ataupun boleh menggelecek 2-3 pertahanan. Tetapi apabila diberikan servis kepada beliau, biasanya bola itu akan dikutip oleh penjaga gol di dalam gawang.
Rumusan
Itu adalah pilihan 11 idaman kami dalam sistem 4-4-2. Kami tahu ada beberapa nama pemain hebat tidak berada di dalam senarai ini. Terlalu ramai pemain berbakat yang dilahirkan oleh Weigang dalam skuad Perak.
Anda mungkin ada pilihan anda sendiri? Kongsikan dengan kami di ruangan komen.