10 ‘Wonderkid’ (Dilahirkan Antara 1986-1990) Yang Gagal Penuhi Potensi Mereka

Kita sering mendengar pemain muda ini mungkin akan menjadi jelmaan Pele ataupun jelmaan Diego Maradona.

Namun berapa sahaja pemain yang berjaya memenuhi potensi mereka ketika tumpuan diberikan kepada mereka sejak usia muda?

Kami senaraikan 10 pemain yang pernah dilabel sebagai ‘wonderkid’ namun gagal menjadi bintang terulung dalam bola sepak.

10. Giuseppe Rossi (Itali)

Tarikh lahir: 1 Februari 1987

Memulakan karier senior Manchester United, Rossi gagal menghadirkan impak apabila hanya melakukan 5 penampilan untuk Red Devils.

Selepas dipinjamkan ke Newcastle United dan Parma, Rossi akhirnya ke Villareal pada 2007 untuk mendapatkan masa bermain yang lebih banyak.

Namun kecederaan lutut membuatkan beliau terpaksa berehat panjang. Beliau kemudiannya ke Fiorentina sebelum kecederaan lutut sekali lagi menghantuinya.

Kini, Rossi bermain di Celta Vigo sebagai pemain pinjaman dari Fiorentina.

9. Breno (Brazil)

Tarikh lahir: 13 Oktober 1989

Dibawa oleh Giovane Élber – bekas penyerang prolifik Bayern Munich era lewat 90-an – pada 2007 dari Sao Paulo, karier Breno di Allianz Arena tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Selepas 2 tahun gagal memecah masuk ke skuad senior Bayern Munich, Breno dipinjamkan ke Nuremburg.

Namun ketika disana, beliau menghadapi kecederaan ACL yang teruk sehingga membuatkan Breno mengalami kemurungan melampau.

Kemurungan yang melampau membuatkan Breno membakar villa beliau yang bernilai €1.5 juta. Beliau kemudiannya dipenjara selama 3 tahun 9 bulan dan diarahkan oleh mahkamah Jerman untuk merujuk masalahnya kepada pakar sakit mental.

Masih berumur 26 tahun, Breno bagaimanapun masih mempunyai masa untuk memperbaiki trajektori kariernya.

8. Anthony Vanden Borre (Belgium)

Tarikh lahir: 24 Oktober 1987

Hadir melalui sistem akademi Anderlecht, Vanden Borre pernah dikatakan ‘lebih hebat’ berbanding Vincent Kompany yang juga merupakan rakannya.

Digelar oleh lagenda Anderlecht, Paul Van Himst sebagai ‘bakat terhebat pernah dilihatnya’, Vanden Borre bagaimanapun gagal memenuhi potensi bakatnya semasa muda.

Penurunan karier Vanden Borre semakin jelas. Selepas Anderlecht, beliau ke Fiorentina. Kemudian ke Genoa sebelum berpindah ke Portmouth dan seterusnya bermain di Belgium dan Ukraine.

Kini, Vanden Borre bermain di kelab Perancis, Montpellier. Perlu diingat, beliau masih hanya berusia 28 tahun!

7. Valeri Bojinov (Bulgaria)

Tarikh lahir: 15 Februari 1986

Bojinov merupakan antara ‘wonderkid’ yang popular bagi pemain Football Manager. Beliau pernah membuat debut di Serie A pada usia 15 tahun dan menjadi antara penjaring gol termuda di Serie A.

Pada usia 18 tahun, beliau sudah menyumbang 16 gol dan membuat 65 penampilan bersama Lecce.

Rekod hebat pada usia muda ini membolehkan Bojinov berhijrah ke kelab Serie A yang lebih besar seperti Fiorentina dan Juventus.

Bagaimanapun segalanya berubah ketika di Manchester City. 2 kecederaan panjang membunuh kariernya dan menyebabkan beliau hanya mampu bermain 11 perlawanan sahaja ketika di Etihad selama 3 tahun.

Bojinov kini bermain di Partizan Belgrade. Di kelab inilah, beliau telah berjanji untuk memberi €500 kepada rakan sepasukannya yang melakukan assist kepadanya.

6. Fran Merida (Sepanyol)

Tarikh lahir: 4 Mac 1990

Sering dibandingkan dengan Cesc Fabregas ketika di Arsenal, Merida pernah dipuji ‘mempunyai terlalu banyak kualiti bagus untuk keluar Arsenal’ ketika berpindah ke Atletico Madrid untuk mendapat lebih banyak minit bermain.

Namun ketika di Vicente Calderon, Merida dipinjamkan ke SC Braga di Portugal.

Ketika inilah kontroversi terjadi apabila jurulatih Braga pada ketika itu mengatakan beliau tidak pun diperlukan di Braga.

Ini membuatkan Merida seperti tidak mahu bermain bola sepak lagi. Namun selepas itu Merida ke Brazil dan liga bawah Sepanyol untuk meneruskan karier.

Kini beliau kembali di La Liga bersama Osasuna.

5. Ismail Aissati (Belanda)

Tarikh lahir: 16 Ogos 1988

Merupakan ‘wonderkid’ Belanda termuda yang bermain di perlawanan UEFA Champions League pada usia 17 tahun, Aissati bagaimana pun gagal menyinar di kelabnya PSV Eindhoven.

Namun kecederaan membataskan masa bermain beliau. Aissati kemudiannya dipinjamkan ke FC Twente untuk mendapatkan masa bermain yang lebih banyak.

Selepas PSV dan FC Twente, Aissati ke Ajax Armsterdam pula. Namun sekali lagi kecederaan menghantui beliau.

Situasinya bertambah buruk apabila pengurus Ajax ketika itu iaitu Martin Jol merasakan Aissati tidak mempunyai fizikal yang baik. Ini membuatkan Aissati terus disisihkan dari skuad Ajax.

Kini Aissati bermain di sebuah kelab Turki, Alanyaspor.

4. Anderson (Brazil)

Tarikh lahir: 13 April 1988

Anderson tiba di Manchester United dengan reputasi ‘wonderkid’ Brazil pada usia 19 tahun dengan tag harga €30 juta.

Namun begitu, beliau gagal untuk memenuhi potensinya apabila hanya mampu menjaringkan gol pertamanya untuk Manchester United pada musim ke-3 beliau disana!

Namun pelbagai siri kecederaan menimpa Anderson serta pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya, membuatkan potensi Anderson tidak dapat dipenuhi.

Kini Anderson di Internacional di Brazil. Prestasi beliau merudum teruk sehinggakan pernah dicemuh penyokong Internacional ketika pasukannya tewas 5-0 kepada musuh mereka, Gremio.

3. Alexandre Pato (Brazil)

Tarikh lahir: 2 September 1989

Pernah menggegarkan dunia dengan menjaringkan gol seawal 24 saat ketika menentang Barcelona di Nou Camp, Pato asalnya merupakan seorang penyerang ‘wonderkid’ yang cukup tajam di depan gol.

Namun siri kecederaan yang menimpa disamping perkahwinan yang gagal membantutkan kemajuan beliau.

Pato juga pernah menyalahkan fisio pasukan AC Milan kerana terburu-buru untuk pastikan beliau cergas semula untuk beraksi.

Selepas AC Milan, Pato pulang ke Brazil dan pernah bermain bersama Chelasea musim lalu. Kini, Pato beraksi bersama Villareal di La Liga.

2. Giovani Dos Santos (Mexico)

Tarikh lahir: 11 Mei 1989

Merupakan prospek besar dan ‘wonderkid’ La Masia pada era awal 2000-an, Dos Santos gagal untuk menjadi pemain utama pasukan.

Masakan tidak, ketika itu barisan serangan Barcelona didominasi oleh Lionel Messi, Thierry Henry dan Samuel Eto’o.

Dos Santos kemudiannya berpindah ke Tottenham Hotspur. Namun beliau hanya mampu melakukan 33 penampilan sepanjang 4 musim di London.

Masalah utama Dos Santos adalah tidak berdisiplin.

Harry Redknapp tidak menyukai beliau kerana sering hadir ke parti lewat malam dan datang lambat ke latihan dalam keadaan pening kerana terlalu banyak minum.

Dos Santos juga pernah didenda oleh Persatuan Bola Sepak Mexico ketika mewakili Mexico kerana mengadakan parti di hotel bersama 12 pemain lain.

1. Freddy Adu (Amerika Syarikat)

Tarikh lahir: 2 Jun 1989

Freddy Adu jelas merupakan ‘wonderkid’ yang paling tidak berjaya dalam sejarah bola sepak.

Beliau mencipta sejarah apabila menjadi pemain termuda yang menandatangani kontrak profesional bersama DC United pada usia 14 tahun.

Digelar the next Pele, Adu menjadi pemain termuda melakukan penampilan pertama di Major League Soccer (MLS) dan yang menjaringkan gol di MLS.

Namun, Adu tidak berjaya memenuhi potensinya. Beliau kemudiannya menjelajah ke 8 negara selepas menolak untuk terus kekal di DC United.

Antara negara yang menjadi destinasi beliau adalah Portugal, Brazil, Greece dan Finland.

Kini Adu bermain di liga divisyen ke-2 Amerika Syarikat bersama Tampa Bay Rowdies. Untuk menyara hidupnya dengan gaji kecil, Adu turut bekerja sebagai duta penyedut hampagas.

Baca juga: 10 Pemain Yang Mempunyai Kekuatan Kaki Kanan Dan Kiri Secara Semula Jadi

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN