10 Perlawanan Akhir Piala Malaysia Yang Terbaik

Piala Malaysia sentiasa memberikan pelbagai drama dan keseronokan terutamanya ketika perlawanan akhir.

Sejak bertahun, merentasi pelbagai zaman. Piala Malaysia tidak lekang dengan drama dan sejarah yang sentiasa dipahat setiap musim.

Sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2016, kami tampilkan kepada anda 10 perlawanan akhir Piala Malaysia yang terbaik.

10. Kuala Lumpur 2-1 Kedah – 1989

Kuala Lumpur merupakan salah satu pasukan yang terdiri daripada bintang-bintang bola sepak sekitar akhir 80-an.

Subadron Aziz, Mat Zan Mat Aris dan Razip Ismail merupakan antara tunjang skuad Warga Kota ketika itu.

Dalam perlawanan menentang Kedah yang merupakan pertemuan ketiga berturut-turut antara mereka di perlawanan akhir Piala Malaysia, Kuala Lumpur yang berjaya memenangi 2 perlawanan akhir sebelumnya berjaya menambah luka Kedah.

Gol dari Subadron dan Saidin Osman berjaya memberikan kemenangan 2-1 buat Kuala Lumpur dan gelaran ke-3 serta hatrik Piala Malaysia buat Kuala Lumpur.

Sejak itu, tiada lagi gelaran Piala Malaysia buat Kuala Lumpur.

9. Pahang 1-0 Kedah – 1992

Perlawanan akhir untuk edisi 1992 ini sentiasa dikenang kerana gol yang terhasil pada malam tersebut.

Hal ini kerana, gol yang dihasilkan oleh Zulhamizan Zakaria pada malam itu barangkali adalah gol paling mudah yang dihasilkan di perlawanan akhir.

Gol tersebut hasil pada minit ke-2 perlawanan selepas Zulhamizan berjaya melepasi perangkap ofsaid.

Penjaga gol Kedah ketika itu cuba keluar dari zonnya untuk menghalang Zulhamizan, namun beliau hanya mampu menyepak angin sahaja.

Disebabkan itu, Zulhamizan berjaya menjaringkan gol selepas gawang pasukan Kedah terbuka luas.

8. Singapura 4-0 Pahang – 1994

Singapura mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia dengan penuh bergaya apabila membenam cabaran Pahang dengan jaringa 4-0.

Perlawanan akhir pertama yang dilangsungkan di Stadium Shah Alam buat pertama kali itu menyaksikan Singapura berjaya mengubat duka apabila mereka tewas pada perlawanan akhir tahun sebelumnya.

Hatrik dari Abbas Saad dan satu gol dari Fandi Ahmad memberikan gelaran ke-24 Piala Malaysia kepada Singapura.

7. Selangor 1-0 Pahang – 1997

Selangor melengkapkan gelaran hatrik Piala Malaysia mereka selepas menumpaskan Pahang pada aksi akhir Piala Malaysia 1997.

Gol emas dari Christopher Kiwomya memberikan sudah cukup untuk memberikan kejuaraan buat Selangor serta menambah luka kepada Pahang yang tewas kepada mereka pada aksi akhir edisi 1995.

piala-malaysia-1997-2

6. Terengganu 2-1 Perak – 2001

Kenangan terindah buat peminat pasukan Terengganu adalah ketika Piala Malaysia 2001. Dalam perlawanan akhir menentang Perak, mereka berjaya menang 2-1.

Gol dari Rosdi Talib dan Sapian Wahid berjaya memberikan kejuaraan sulung buat Terengganu dalam kancah Piala Malaysia.

Lebih manis, mereka berjaya membalas dendam diatas kekalahan mereka di perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 1998.

5. Selangor 1-0 Sabah – 2002

Pada perlawanan inilah, Amri Yahyah mengumumkan ketibaannya dalam kancah bola sepak Malaysia.

Dalam perlawanan yang memasuki masa tambahan, Selangor dan Sabah memerlukan satu gol sahaja untuk menenangi Piala Malaysia.

Lalu, muncul Amri Yahyah menjadi wira Selangor apabila rembatan beliau menggegar jaring dan seterusnya memenangi gelaran Piala Malaysia untuk Selangor.

4. MBPJ FC 3-0 Sabah – 2003

2 kali berturut-turut memasuki perlawanan akhir, 2 kali dikecewakan oleh pasukan dari Selangor.

Pada 2002, Sabah dikecewakan oleh Selangor namun pada 2003 pula mereka dikecewakan oleh kelab dari Selangor iaitu MBPJ FC.

Hatrik dari Juan Manuel Arostegui memberikan kemenangan bermakna buat MBPJ FC. Dengan kemenangan ini mereka menjadi satu-satunya pasukan berstatus kelab yang menjuarai Piala Malaysia.

3. Negeri Sembilan 2-1 Terengganu – 2011

Terengganu nyata kecewa pada perlawanan ini. Hal ini kerana Negeri Sembilan berjaya meranapkan impian mereka dalam masa kurang dari 10 minit sahaja.

Semuanya nampak baik apabila Ashari Shamsuddin meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-60.

Namun kesilapan dari Sharbinee Alawee yang gagal menangkap kemas bola dari S. Kunalan memberikan gol penyamaan kepada Negeri Sembilan pada minit ke-80.

5 minit kemudian, Hairuddin Omar muncul wira apabila ‘libasan’ beliau memberikan gol kemenangan dan seterusnya kejuaraan Piala Malaysia untuk Negeri Sembilan.

2. ATM 2-3 Kelantan (2012)

Musim 2012 menyaksikan pasukan ATM dikenali sebagai pasukan yang dipenuhi para pemain bintang seperti Marlon Alex James, Rezal Zambry Yahya dan juga Hairuddin Omar menentang pasukan Kelantan yang berada di kemuncak prestasi pada tahun tersebut.

Perlawanan di antara kedua-dua pasukan nyata merupakan sebuah perlawanan yang cukup dramatik apabila 2 gol dijaringkan oleh kedua-dua pasukan untuk memaksa pemenang dicari menerusi masa tambahan.

Hasilnya, jaringan cantik dari Indra Putra Mahyuddin pada masa tambahan memberikan kemenangan buat Kelantan untuk menghantar pulang ribuan penyokong mereka di Stadium Shah Alam dengan penuh ceria!

p/s: teringat musim 2012 ini di mana pemain boleh menggunakan nama samaran di jersi, Rezal Zambry dengan nama ‘R Z Y’ di jersi ATM beliau.

1. Pahang 2-2 JDT (5-3) – 2014

Pertembungan yang tiada henti oleh kedua-dua pasukan ini semestinya menjadikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 satu perlawanan yang klasik – sekurang-kurangnya bagi penonton neutral.

Pahang mendahului menerusi jaringan Dickson Nwakaeme sebelum disamakan oleh Jorge Pereyra Diaz. Luciano Figeroa meletakkan JDT dihadapan menerusi sepakan penalti.

Keadaan menjadi tegang apabila Saifulnizam Miswan dilayangkan kad merah oleh pengadil. Tidak lama selepas itu Dickson Nwakaeme menyamakan kedudukan 2-2.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Dan akhirnya ia memihak Pahang selepas mereka menang 5-3 dalam sepakan penalti.

Penulis sama-sama menonton perlawanan akhir itu dikaca televisyen ketika itu. Firasat penulis ketika itu sudah merasakan JDT akan tewas selepas 2 percubaan mereka terkena tiang. Ini seperti sudah memberi isyarat bahawa malam itu bukan milik mereka.

10171739_790337651026931_17534

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN