Pemilikan di dalam bola sepak bukan perkara yang asing jika anda sering mengikuti perkembangan bola sepak di luar negara. Di Liga Malaysia sendiri, setiap pasukan bertanding pada musim ini turut sibuk dengan proses penswastaan yang turut meliputi pemilikan kelab.
Ia satu perkembangan yang baik dan satu langkah ke hadapan untuk bola sepak di dalam negara. Semalam khabar angin turut bertiup kencang mengaitkan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim akan mengambil alih kelab La Liga, Valencia CF.
Jika berlaku, ia juga pasti akan menghadirkan impak tidak langsung kepada landskap bola sepak di dalam negara. Bercakap mengenai pemilik kelab, berikut adalah senarai 10 pemilik kelab paling kaya di dunia yang disenaraikan oleh Goal beberapa bulan yang lalu.
Sheikh Mansour | Man City, Melbourne City, New York City | $20bn
Mansour bin Zayed Al Nahyan, juga dikenali sebagai Sheikh Mansour, amat dikenali di dalam dunia bola sepak kerana memiliki kelab Liga Perdana Inggeris Manchester City. Selain dari Manchester City, Sheikh Mansour turut merupakan pemilik beberapa kelab bola sepak lain di seluruh dunia melalui pemilikan syarikat oleh City Football Group.
Seperti Man City, Sheikh Mansour juga merupakan pemilik kelab New York City di Major League Soccer, Amerika Syarikat selain dari Melbourne City di A-League, Australia. Sheikh Mansour turut melebarkan sayapnya di dalam dunia bola sepak dengan memiliki Mumbai City di India dan juga Montevideo City Torque di Uruguay.
Dietrich Mateschitz | Red Bull Salzburg, RB Leipzig, NY Red Bulls | $19.4bn
Jutawan Austria, Dietrich Mateschitz berjaya meyatukan beberapa buah pasukan merentasi beberapa jenis sukan di bawah satu portfoio. Rata-rata pasukan membawa nama syarikat milik beliau yang menjadi ‘treademark’ setiap pasukan.
Di dalam bola sepak, tumpuan utama Dietrich Mateschitz tertumpu kepada pasukan yang beraksi di Bundesliga, RB Leipzig dan juga kelab Austria, Red Bull Salzburg. Di Amerika Syarikat, New York Red Bulls adalah wakil jenama syarikat itu di Major League Soccer.
Andrea Agnelli & keluarga | Juventus | $13.5bn
Keluarga Agnelli adalah pemilik kepada Juventus. Andrea Agnelli adalah wakil utama keluarganya dalam perniagaan melibatkan bola sepak apabila berperanan selaku pengerusi kelan dan wakil di dalam Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA).
Berasal dari keluarga yang perniagaannya berasaskan industri, keluarga Agnelli terlibat di dalam pelbagai jenis sektor perniagaan. Namun mereka paling sinonim dengan industri permotoran kerana menghasilkan kenderaan seperti Fiat, Ferrari, Alfa Romeo dan banyak lagi.
Dietmar Hopp | Hoffenheim | $13bn
Kelab Hoffenheim di Bundesliga mungkin tidak disifatkan sebagai salah sebuah kelab gergasi, Tetapi pemiliknya Diermar Hopp adalah seorang ahli perniagaan berpengaruh di dalam bidang perisian dan pemprosesan data di bawah syarikat miliknya, SAP SE.
SAP SE ialah sebuah syarikat perisian multinasional Eropah yang berpusat di Jerman yang membuat perisian perusahaan untuk menguruskan operasi perniagaan dan hubungan pelanggan.
Hopp dilaporkan telah melabur sehingga €400 juta sejak mengambil alih Hoffenheim, namun ia tidak mengelak dirinya daripada dikritik peminat bola sepak di Jerman. Namun demikian Hopp dikenang kerana pelaburannya dalam penemuan pembuatan vaksin Covid-19.
Roman Abramovic | Chelsea | $12.4bn
Ahli perniagaan Rusia Roman Abramovic mengegarkan Liga Perdana Inggeris pada 2003 apabila memastikan kehadirannya sebagai pemilik Chelsea dirasai dengan pelaburan berjuta-juta dolar.
Pelaburan beliau memastikan Chelsea mencipta kejayaan di England dan pertandingan Champions League. Sumber kekayaan utamanya adalah dari industri minyak, dan pembuatan aluminium.
Sehingga kini kegilaan Abramovic terhadap bola sepak masih berterusan dan musim ini sahaja telah melabur lebih £200 juta untuk Frank Lampard berbelanja sebelum memecat pengurus itu.
Philip Anschutz | LA Galaxy | $10bn
Merupakan salah seorang pengasas terawal Major League Soccer, Philip Anschutz adalah pemilik kelab popular LA Galaxy. Sebelum itu lagi, Anschutz juga merupakan pemilik francais beberapa pasukan lain di dalam liga seperti MetroStars, Chicago Fire dan beberapa lagi yang lain.
Perniagaan utama jutawan Amerika Syarikat ini adalah dalam bidang hartanah, minyak, pembuatan rel, dan industri hiburan.
Stan Kroenke | Arsenal, Colorado Rapids | $9bn
Kelab Liga Perdana Inggeris Arsenal dimiliki oleh seorang lagi jutawan Amerika Syarikat, Stan Kroenke melalui syarikat milik beliau Kronke Sports & Entertainment.
Syarikat milik Kroenke ini juga memiliki Colorado Rapids di Major League Soccer dan beberapa pasukan lain di dalam bidang sukan lain. Ia termasuklah Los Angeles Rams di NFL, Denver Nuggets di NBA dan Colorado Avalanche di NHL.
Nasser Al-Khelaifi | PSG | $8bn
Ahli perniagaan Qatar Naser Al-Khelaifi adalah ketua kepada Qatar Sports Investments yang memiliki dan memegang operasi kelab Perancis, Paris Saint-Germain.
Al-Khelaifi juga adalah pengerusi kepada beIN Media Group, yang menyiarkan pelbagai jenis acara sukan ke seluruh dunia. Nasser Al-Khelaifi amat dikenali kerana peranannya dalam perpindahan rekod dunia bernilai €222 juta Neymar dari Barcelona ke PSG.
Zhang Jindong | Inter | $7.6bn
Zhang Jindong adalah jutawan China dan menggunakan syarikat miliknya, Sunning Holdings Group untuk memperolehi pegangan terbesar di dalam kelab Serie A, Inter Milan pada 2016.
Kumpulan perniagaan Sunning berasas dari sebuah syarikat perniagaan runcit. Namun perniagaan tersebut dilebarkan oleh Jindong meliputi bidang media dan penyiaraan. Sukan iaitu bola sepak tidak terkecuali daripadanya.
Robert Kraft | New England Revolution | $6bn
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kraft, Robert Kraft adalah pemilik kepada kelab Amerika Syarikat yang beraksi di MLS, New England Revolution. Sebelum itu beliau turut pernah memiliki San Jose Earthquakes.
Jutawan Amerika Syarikat ini sememangnya meraih kekayaan dari bidang sukan. Beliau turut mempunyai rangkaian perniagaan lain di dalam bidang hartanah dan pembuatan. Selain bola sepak, Kraft turut melabur di dalam NFL besama New England Patriots.
Kraft sebelum ini dikenali sebagai salah seorang ahli perniagaan dari Amerika Syarikat yang cuba mendapatkan pemilikan Liverpool pada pertengahan 2000, dan berpendapat Liga Perdana Inggeris sebagai destinasi menarik pelaburan untuk bola sepak.
Aiyawatt Srivaddhanaprabha & keluarga | Leicester City, OH Leuven |$6bn
Ahli perniagaan Thailand, Aiyawatt Srivaddhanaprabha adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) King Power dan pemilik kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City. Beliau juga merupakan pemilik kelab Belgium, OH Leuven.
Srivaddhanaprabha mengambil alih perniagaan keluarga dari bapanya, Vichai, yang maut selepas insiden tragis kemalangan helikopter pada 2018.
Penutup
Mungkinkah kita akan menyaksikan pemilik dari Malaysia di dalam senarai ini pada satu jari nanti? Siapa tahu ia juga mungkin akan berlaku pada masa depan.
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca artikel menarik lain melalui pautan di bawah:
5 Pengurus Paling Teruk Pernah Dilantik Dalam Sejarah Real Madrid
Paul Scholes: Kisah Tawaran Dari Inter Milan & Penyesalan Terbesar Dalam Karier