Baru-baru ini, laman web bola sepak Perancis, France Football membuat satu undian untuk menentukan 10 pemain bola sepak paling dibenci di Perancis.
Undian ini menarik minat kami kerana ia memberi skop pemikiran peminat bola sepak Perancis. Ada beberapa nama dalam senarai undian ini yang kami sudah jangka.
Tetapi yang paling mengejutkan adalah 5 nama dalam senarai ini adalah pemain Perancis sendiri!
Berikut merupakan senarai 10 pemain yang perlu berhati-hati jika mereka menjejakkan kaki ke Perancis:
10. Emir Spahic
Emir Spahic mungkin hanya sempat bermain di Perancis selama 3 musim saja bersama Montpellier, tetapi beliau sentiasa diingat oleh peminat bola sepak Perancis kerana gaya permainannya yang ‘kotor’.
Ketika mewakili Montpellier, beliau gemar menyiku pemain lawan.
Pemain Brest, Nola Roux dan Lens, Issam Jemaa adalah antara pemain yang pernah menjadi mangsa hayunan siku Spahic. Beliau juga pernah memaki, menunjukkan jari tengah dan menolak pengadil.
Secara keseluruhannya, Spahic mendapat 17 penggantungan perlawanan dalam musim terakhirnya bersama Montpellier.
9. Brandao
Pada Ogos 2014, Brandao menyertai Bastia selepas menghabiskan masa 4 tahun bermain untuk Marseille dan Saint-Etienne.
Ketika perlawanan menentang PSG, beliau menanduk muka Thiago Motta sehingga menyebabkan hidung Motta patah. Beliau dihukum gantung 6 bulan berikutan serangan tersebut.
Pada bulan November 2014, Brandao dihukum penjara 1 bulan dan denda €20,000 selepas Motta membuat laporan polis. Besar kemungkinan, penyokong PSG yang mengundi beliau dalam senarai ini.
8. Fabrice Fiorèse
Seperti Brandao, Fabrice Fiorèse berada dalam senarai ini kerana undian penyokong PSG.
Selepas menyertai PSG pada Januari 2002, Fiorèse menikmati karier yang cemerlang. PSG membalas sumbangan beliau dengan memberinya kontrak lanjutan, gaji yang lebih besar dan jawatan naib kapten kelab.
Tetapi bagaimana Fiorèse membalas layanan PSG? Dengan menyuarakan hasratnya menyertai musuh ketat PSG, Marseille – kelab yang disokongnya sejak kecil.
7. Thiago Motta
Penyokong PSG mungkin menyukai Thiago Motta, tetapi bagi penyokong pasukan lain, pemain tengah defensif Brazil ini adalah pemain yang ‘kotor’.
Jika liga England mempunyai Diego Costa – pemain yang gemar menaikkan darah pemain lawan tetapi sering dibela pengadil kerana licik – liga Perancis mempunyai Thiago Motta.
6. Harald Schumacher
Penjaga gol Jerman Barat ini mungkin tak pernah bermain di Perancis, tetapi rakyat Perancis sentiasa berdendam terhadapnya sejak perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1982.
Berpunca daripada hantaran bijak Michel Platini, bek tengah Perancis Patrick Battiston memecut untuk menyambut hantaran tersebut.
Battiston hanya perlu menewaskan Harald Schumacher – yang meluru laju kearahnya – dalam situasi 1v1 untuk membolehkan Perancis mendahului 2-1.
Tetapi sejurus selepas Battiston membuat percubaan (yang tersasar), muka beliau berlanggar dengan peha Battiston.
Battiston terus pengsan, hilang 3 batang gigi, patah 3 tulang rusuk dan retak tulang belakang hasil perlanggaran tersebut.
Battiston turut dikejarkan ke hospital dan koma. Jerman Barat pula mara ke final selepas menang penentuan penalti.
Sudahlah pengadil langsung tidak memberikan penalti atau kad merah kepada Schumacher, penyokong Perancis turut mengamuk apabila Schumacher memberitahu dia tidak membuat apa-apa kesalahan dan berkata:
“Kalau teruk sangat keadaan dia, saya akan bayar kos rawatan giginya.”
5. Patrice Evra
Sebagai kapten Perancis, Patrice Evra bertanggungjawab mengetuai pemain Perancis yang memalukan negara mereka ketika kempen Piala Dunia 2010.
Semuanya bermula apabila Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) mengantar Nicola Anelka pulang selepas mengutuk Raymond Domenech ketika rehat separuh masa pertama perlawanan peringkat kumpulan menentang Mexico.
Sebagai protes terhadap tindakan FFF itu, Evra mengetuai beberapa pemain Perancis yang memboikot latihan.
Malah Evra turut mengamuk di sidang akhbar dan bergaduh dengan Robert Duverne, jurulatih kecergasan Perancis ketika itu.
4. Frank Ribery
Selain terlibat dalam skandal boikot latihan pimpinan Patrice Evra ketika Piala Dunia 2010, Ribery juga menimbulkan kemarahan orang Perancis dengan berkata:
“Bayern lebih penting daripada Perancis.”
3. Mathieu Valbuena
Berada di tempat ke-3 senarai paling dibenci di Perancis, besar kemungkinan Valbuena mendapat undian penyokong Marseille.
Pada mulanya ketika di Marseille, beliau dibenci penyokong kelab lain kerana reputasinya yang suka membuat simulasi untuk mendapatkan sepakan percuma, penalti dan simpati pengadil.
Kini bermain di Lyon – musuh Marseille, beliau dibenci oleh penyokong Marseille pula.
Malah dengan gaji yang diraihnya di Lyon (€125,000 seminggu), ramai penyokong Lyon merasakan Valbuena merupakan pemain overrated.
Malah sebuah akhbar Perancis pernah membuat artikel yang menyenaraikan 11 pemain hebat yang menerima gaji lebih rendah berbanding Valbuena.
2. Samir Nasri
Menurut Football France, Samir Nasri adalah ‘lambang segala yang salah tentang bola sepak’.
Semasa EURO 2008, beliau bergaduh dengan Thierry Henry tentang kerusi bas dan William Gallas ketika latihan.
Dalam autobiografi Raymond Domenech, bekas ketua jurulatih Perancis itu memanggil Nasri sebagai ‘pemain yang mementingkan dirinya sendiri’.
Semasa EURO 2012, Nasri bergaduh dengan wartawan pula selepas kekalahan 0-2 Perancis kepada Sepanyol.
Paling teruk sekali adalah apabila Nasri dilihat ketawa ketika lagu kebangsaan Perancis ‘La Marseillaise’ dinyanyikan sebelum perlawanan menentang Serbia pada 2012.
1. Marco Materazzi
Seluruh Perancis mengamuk terhadap Marco Materazzi selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2006 antara Itali dengan Perancis.
Semuanya berpunca selepas Materazzi dilaporkan mengutuk ibu dan adik perempuan Zidane sehingga menyebabkan Zidane gagal mengawal perasaan dan menanduk dada pemain pertahanan Itali tersebut.
Zidane dilayangkan kad merah dalam perlawanan terakhir kariernya.
Itali pula muncul juara Piala Dunia 2006 selepas menewaskan Perancis dalam penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun ada juga media Itali yang berspekulasi bahawa Materazzi sebenarnya mengutuk isteri Zidane yang pernah terlibat dalam skandal seks semasa Zidane masih bermain di Juventus.
Perincian kutukan Materazzi sebenarnya tidak penting dalam artikel ini. Yang penting adalah, Materazzi kini merupakan individu paling dikehendaki oleh orang Perancis selepas kejadian tersebut.
Baca juga: 10 Fakta Bola Sepak Yang Kedengaran Seperti Tipu