10 Fakta Menarik Mengenai Piala Konferedasi FIFA (Kejohanan Antara Juara Benua)

Tempoh hari, kami ada memaparkan asal usul penganjuran Piala Konferedasi. Kejohanan ini sudah berusia 25 tahun dan 10 kali dianjurkan. Brazil menyapu 4 kali kejuaraan berbanding Perancis memenanginya 2 kali.

Mexico, Denmark dan Argentina masing-masing meraih 1 kali kejuaraan. Buat masa ini, Asia dan Afrika tiada lagi wakil menjulangnya. Begitu juga Oceania.

Kami dengan rasa berbesar hati ingin memilih 10 peristiwa yang membuatkan kejohanan ini juga memahat sejarah.

10) 3 edisi di stadium sama!

Kredit: FourFourTwo.

Ia benar-benar berlaku. Semasa Arab Saudi menganjurkan kejohanan ini pada 1992, Stadium King Fahd II digunakan untuk kejohanan. Tiada stadium lain digunakan.

Penggunaan Stadium King Fahd II ini diteruskan pada edisi 1995 dan 1997. Tahan benar padang stadium mereka pada masa itu.

9) Eropah besar kepala?

Biasalah, Eropah. Tahukah anda bahawa Jerman menolak bertanding dalam kejohanan 1997 walaupun mereka menjuarai EURO pada tahun sebelumnya? Tempat Jerman kemudiannya digantikan oleh Republik Czech sebagai wakil Eropah.

Anehnya, pada 1999 Jerman pula menyertainya atas kapasiti juara Euro 1996.

(Photo by Alexander Hassenstein/Bongarts/Getty Images)

Kejadian ‘tolak-menolak’ ini berlaku juga pada 2003.

FIFA telah mensyaratkan sekiranya sesebuah negara memenangi trofi kebenuaan (seperti EURO) dan menjadi tuan rumah Piala Konfederasi, slot benua itu mestilah diisi oleh naib juara kejohanan trofi kebenuaan itu.

Itali selaku naib juara EURO 2000 pernah menolak untuk beraksi dalam Piala Konferedasi 2003. Jerman selaku naib juara Piala Dunia 2002 pun enggan bersaing. Akhirnya, Turki mendapat peluang berharga ini selaku tempat ketiga Piala Dunia 2002.

Turki meraih tempat ketiga dalam kejohanan Piala Konferedasi 2003.

8) Afrika yang mengelirukan

Tahukah anda bahawa Afrika menganjurkan Nations Cup 2 tahun sekali? Zambia memenanginya pada 2012 tetapi Ivory Coast menjulang kejohanan sama pada setahun kemudian.

Sewajarnya CAF perlu adakan satu perlawanan khas untuk menentukan siapa akan membawa cabaran Afrika untuk Piala Konferedasi 2013 di Brazil. Tetapi, ia tidak dilaksanakan.

Kasihan Zambia (gambar bawah), seolah sia-sia mereka menjadi juara. Afrika diwakili oleh Ivory Coast pula di Piala Konfederasi 2013 Brazil.

(Photo credit: PIUS UTOMI EKPEI/AFP/Getty Images)

CONCACAF juga pernah mengalami masalah sebegini kerana mengadakan kejohanan Gold Cup secara dwi-tahunan. Tetapi mereka bijak melaksanakan play-off antara juara Gold Cup 2013 (Amerika Syarikat) dan 2015 (Mexico).

Akhirnya, Mexico menewaskan negara Uncle Sam itu bagi melayakkan diri ke Piala Konferedasi 2017 ini.

7) Laudrup Brothers

Selain trofi juara EURO 1992, Denmark boleh berbangga dengan trofi Piala Konfederasi 1995 sebgaai salah satu trofi yang disimpan dalam rak trofi mereka.

Pasangan adik beradik Brian dan abangnya Micheal Laudrup pasti mengingati kenangan Piala Konfederasi 1995 kerana mereka tidak pernah beraksi bersama di peringkat kelab. Ketika EURO 1992, si abang pula tidak beraksi dalam EURO 1992.

Dalam Piala Konfederasi 1995, dua beradik ini masing-masing menyumbang 1 gol penting.

Brian menjaringkan gol ketika perlawanan peringkat kumpulan menentang Arab Saudi. Michael Laudrup pula menjaringkan gol ketika perlawanan akhir ketika menewaskan Argentina untuk muncul juara.

6) Sang Kanggaru yang melompat

Edisi 2017 yang bakal berlangsung ini akan menyaksikan satu rekod terpahat dalam sejarah. Australia – satu-satunya negara yang mewakili pernah mewakili dua konferedasi – akan bermain di kejohanan ini.

(Photo: -/AFP/Getty Images)

Australia layak ke edisi 2017 ini kerana memenangi Piala Asia 2015. Sebelum itu, Australia pernah layak ke edisi 2005 kerana memenangi OFC Nations Cup 2004.

Secara keseluruhannya, Australia bermain di Piala Konferedasi sebanyak 3 kali iaitu 1997, 2001 dan 2005.

Tetapi Australia tidak berpeluang menjuarai Piala Konferedasi. Mungkinkah sejarah akan tercipta pada edisi 2017 akan datang ini?

5) Siapa hos 2021?

Qatar telah dinobatkan sebagai hos Piala Dunia 2022. Tetapi, disebabkan hawa panas negara itu pada pertengahan tahun 2021, negara itu dinafikan hak penganjuran Piala Konferedasi untuk tahun tersebut.

Ketika ini FIFA sedang mencari negara pengganti sesuai untuk kejohanan itu. Kemungkinan negara Asia akan terpilih menjadi hos kejohanan itu.

Mungkinkah Malaysia bakal menjadi hos?

4) Juara unik

Tahukah anda hanya 2 negara sahaja pernah menyapu bersih trofi utama peringkat antarabangsa secara berturut-turut?

Perancis merupakan negara pertama yang melakukannya. Mereka menjuarai Piala Dunia 1998, diikuti EURO 2000. Apabila Les Blues mendapat mandat ke Piala Konferedasi 2001, mereka memanfaatkan peluang itu dengan menjadi juara.

Brazil mengulangi rekod sedemikian pada 2003. Sebelum itu, skuad Samba itu memenangi Piala Dunia 2002. Pada 2004, mereka pula memenangi Copa America. Semasa Piala Konferedasi 2005, Brazil menewaskan seteru rapat, Argentina dengan skor 4-1.

3) Tiada Brazil, tiada parti?

Sejak penjenamaan semula Piala Raja Fahd kepada Piala Konfederasi pada 1997, Brazil layak 6 kali berturut-turut ke kejohanan ini.

Bagaimanapun pada edisi tahun ini, Brazil tidak layak kerana mereka tidak menjulang Piala Dunia 2014 atau Copa America 2015.

2) Tahiti

Sumber: Footballkitsnews.

Sebut pasal wakil Oceania di Piala Konfederasi, kita akan sebut mengenai New Zealand dan mantan ahlinya, Australia. Tetapi tahukah anda Tahiti juga pernah mewakili Oceania ketika Piala Konferedasi 2013?

Tahiti layak kerana menjuarai OFC Nations Cup 2012 selepas menewaskan New Caledonia 1-0 dalam perlawanan akhir. New Zealand pula hambar sekadar menduduki tangga ke-3.

Keluarga Tehau di Tahiti boleh berbangga kerana mereka mempunyai 4 orang ahli keluarga mereka yang beraksi dalam kejohanan ini pada ketika itu.

Jonathan Tehau bersama adik-adik kembarnya, Alvin dan Lorenzo beraksi dalam kejohanan ini. Sepupu mereka, Teaonui juga beraksi di Brazil pada edisi 2013.

1) Marc Vivian Foe

Skuad Cameroon pernah diuji dugaan besar semasa edisi 2003 di Perancis.

Salah seorang pemainnya, Marc Vivian Foe meninggal dunia akibat serangan jantung ketika beraksi dalam perlawanan separuh akhir menentang Colombia di Lyon.

Pemain Cameroon itu tidak mengetahui Marc meninggal dunia sehinggalah selepas tamat perlawanan.

Meskipun mereka layak ke final (menentang Perancis), mereka bermain dalam keadaan sangat sukar. Perancis memenangi 1-0 (selepas masa tambahan).

Sebagai tanda solidariti, kapten Les Blues, Marcel Desailly tidak menjulang trofi dan mempelawa kapten Cameroon, Rigobert Song untuk memegang trofi tersebut.

Apa lagi fakta menarik tentang Piala Konfederasi yang anda tahu? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN