10 Perkara Yang Kita Boleh Belajar Daripada Kekalahan 6-0 Menentang Palestin

Kempen kelayakan Piala Dunia 2018 Malaysia sedang berada di ambang penamat walaupun hanya baru 2 perlawanan dimainkan. Selepas seri 1-1 dengan Timor Leste, skuad negara tumbang 0-6 kepada Palestin di halaman sendiri semalam.

Kita tahu dan bersikap realistik dengan peluang skuad negara untuk layak ke Piala Dunia 2018. Yang kita mahukan adalah cubaan bertenaga mereka untuk layak ke Piala Asia 2019.

Tetapi dengan kekalahan 0-6 semalam, tidak keterlaluan untuk dikatakan prestasi skuad bola sepak kebangsaan kita sedang mengalami kemerosotan. Apabila prestasi merosot, adalah penting untuk kita belajar dari kesilapan.

Ini adalah 10 perkara yang kami belajar daripada persembahan memalukan semalam:

1. Apa sebenarnya yang Dollah Salleh belajar di Jepun?

Untuk memantapkan persiapan skuad negara bersempena kempen kelayakan Piala Dunia 2018, Dollah Salleh memohon kepada majikannya (FAM) untuk menghantar beliau ke kursus kejurulatihan anjuran Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).

 
Sekembalinya dari Jepun, Dollah berpeluang membuktikan beliau ada belajar sesuatu daripada kursus tersebut dalam perlawanan persahabatan menentang Hong Kong. Perlawanan berkesudahan 0-0. Tetapi peminat bola sepak mula menyedari skuad negara sudah mula menyerang dengan hantaran pendek.

Dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 yang pertama, kita hanya mampu seri 1-1 dengan Timor Leste. Bagaimanapun semalam, Palestin membelasah kita 6-0 pula dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 yang kedua.

 
Kami sedar bahawa Rome isn’t build in a day, tetapi persembahan pemain negara terutamanya dalam segala aspek semakin merosot selepas Piala AFF Suzuki 2014 (bermula dengan kekalahan 0-6 kepada Oman).  Kita gagal bertahan dan menyerang secara berpasukan.

Jadi apa sebenarnya yang Dollah Salleh belajar di Jepun?

2. Kita tak mempunyai organisasi ketika bertahan (dan menyerang)

Jika pelan serangan kita semasa kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 adalah membuat hantaran panjang ke ruang belakang pertahanan lawan untuk dikejar penyerang (seperti taktik Wormuth dalam artikel ini, cuma tanpa counter-pressing), pelan serangan Dollah Salleh nampak lebih teratur selepas kursusnya di Jepun.

Serangan kita ada variasi (menyerang melalui kedua-dua sayap dan tengah), cuma digagalkan oleh penyudah penyerang yang tumpul seperti kayu batang mop. Apa yang mengecewakan, organisasi serangan ini pasti akan hilang selepas pemain kita bermain di bawah tekanan (ketinggalan gol).

Dalam aspek organisasi pertahanan, jelas kita tidak mempunyai pemimpin di belakang. Jika Shukor Adan membawa pertahanan poros kita ke final Piala AFF Suzuki 2014, pertahanan yang dipilih Dollah masing-masing tidak mempamerkan kepimpinan untuk menyusun organisasi pasukan ketika bertahan.

maspal1-compressed

3. Pemain kita tak mampu mendominasi lawan dalam situasi 1v1

Sama ada ketika bertahan atau menyerang, kita seolah-olah tidak mempunyai pemain yang boleh mendominasi pemain Palestin dalam situasi 1v1.

Pemain sayap kita (Ahmad Syamim dan Ahmad Hazwan) kedua-duanya tak berupaya menewaskan bek kiri dan kanan Palestin dengan fizikal dan skil gelecekan mereka.

Pemain pertahanan kita pula masing-masing tak mampu menyekat penyerang Palestin dalam situasi 1v1. Antara contohnya adalah ketika build-up gol kedua (Tamir Seyam menewaskan Muslim Ahmad), ketiga (Tamir Seyam menewaskan Muslim Ahmad) dan keempat (Tamir Seyam menewaskan Fadhli Shas).

 
Sebagai jurulatih Dollah perlu mengesan kelemahan pemainnya ini. Apabila pasukan anda lemah bertahan dalam situasi 1v1, pastikan mereka bertahan sebagai satu pasukan dan mengekalkan bentuk kompak untuk mencipta situasi 2v1 atau 3v1 ketika bertahan.

Apabila pemain sayap anda tidak berupaya menewaskan bek kiri dan kanan lawan, anda perlu tukar dengan pemain sayap lain yang lebih bagus.

4. Kita kekurangan penyerang 

 
Kita tak perlu bercakap mengenai kekurangan penyerang berkualiti. Masalah sebenar kita adalah – kita kekurangan penyerang. Period.

Apabila Dollah Salleh terpaksa kerap memanggil penyerang yang kerap dibekukan aksinya di bangku simpanan, kita sebenarnya mempunyai masalah. Ditambah pula dengan kenyataan satu-satunya penyerang tempatan yang kerap bermain di liga tempatan mempunyai penyudah yang tumpul, memang perit tugas Dollah.

Kami belum mengambil kira beberapa penyerang tempatan yang ditukarkan posisinya ke bahagian sayap seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Hazwan Bakri.

Program pembangunan akar umbi turut perlu dipersalahkan kerana hakikatnya – talent pool pemain tempatan kita masih belum cukup besar untuk membekalkan pemain kepada pasukan kebangsaan. Apatah lagi untuk membekalkan pemain berkualiti.

5. Kita dibelasah oleh skuad muda Palestin.

Lupakan hakikat kita kalah kepada Palestin. Pasukan kebangsaan kita dibelasah oleh skuad Palestin yang mempunyai purata umur 23 tahun.

Jurulatih baru Palestin hanya menyenaraikan 10 pemain yang bermain di kejohanan Piala Asia 2015 di Australia. 18 pemain Palestin berumur bawah 25 tahun. Rata-rata mereka merupakan anggota skuad Olimpik dan Sukan Asia.

Daripada kesebelasan utama Palestin yang bermula dalam perlawanan semalam, hanya 2 pemain Palestin berumur lebih 25 tahun iaitu pasangan pertahanan tengah mereka.

6. Persatuan Bola Sepak Palestin aktif memanggil pemain keturunan Palestin dari seluruh dunia…

Untuk pengetahuan anda, daripada kesebelasan utama Palestin, 2 pemain mereka merupakan pemain keturunan Chile-Palestin. Pablo Tamburini (dalam TV ditulis Pablo Bravo) dan Matias Jadue (dalam TV ditulis Matias Hadwa) merupakan anak komuniti imigran Palestin yang mengahwini penduduk asal Chile.

Selain itu, Palestin juga mempunyai seorang pemain keturunan Slovenia-Palestin, Jaka Ihbeisheh. Majalah Dunia Sukan sempat menemubual pemain ini yang menyatakan minatnya untuk bermain di Malaysia.

Temubual kami bersama Jaka Ihbeisheh. Jaka, pemain Palestin kelahiran Slovenia ini telah terpisah dengan bapanya pada usia 7 tahun. Mereka berdua kembali bertemu menerusi facebook selepas 20 tahun.

Posted by Dunia Sukan Online on Monday, June 15, 2015

 
7. …dan mereka menyimpan pengkalan data semua pemain keturunan Palestin yang bermain di luar Palestin

Jika kita terpaksa mengharapkan ketua editor Majalah Four Four Two Malaysia untuk mengumpul pengkalan data pemain berketurunan Malaysia, Persatuan Bola Sepak Palestin memulakan inisiatif mereka sendiri dan sangat sistematik.

Walaupun maklumat pemain-pemain ini disimpan di platform blogspot sahaja, mereka kerap mengemas kini maklumat pemain-pemain. Ini memudahkan peminat bola sepak mereka untuk mengenali pemain berketurunan Palestin yang bermain di serata dunia.

Pengkalan data mereka boleh diakses di sini: Football Palestine.

8. Pemain berjersi nombor 10 Palestin pernah ditahan Israel

 
Jersi nombor 10 Palestin semalam dipakai oleh Sameh Maraaba, yang pernah dipenjara oleh pihak berkuasa Israel selama 8 bulan.

Israel mendakwa Maraaba berkonspirasi dengan menjadi kurier apabila membawa duit yang dipercayai milik Hamas ke sempadan Tebing Barat. Maaraba menafikan dakwaan tersebut.

Apabila dihubungi wartawan, jurucakap kementerian Luar Negeri Israel, Paul Hirschon menjawab:

“Kami mempunyai maklumat konkrit bahawa Maraaba cuba memindahkan duit dan alat komunikasi dari Hamas.”

Persatuan Bola Sepak Palestin menjelaskan Maraaba hanya membawa duit tersebut ke kelab bola sepaknya kerana ia merupakan duit sumbangan derma dari ahli Hamas.

Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub, berkata:

“Kalau orang Hamas nak beri derma kepada kami pun, apa masalahnya?”

Maraaba kemudiaannya dipenjara selama 8 bulan sebelum dibebaskan pada Disember 2014.

Sebulan selepas dibebaskan, Beliau sepatutnya pergi ke Australia untuk mewakili Palestin dalam Piala Asia 2015. Tetapi kemasukan beliau disekat oleh imegresen Australia di Allenby Bridge, apabila namanya disenarai hitam kerana hubungannnya dengan Hamas.

9. Pemain Palestin terpaksa berkorban untuk mewakili negara

Sepatutnya Palestin mempunyai khidmat Abdelhamid Abuhabib dan Ayman Kharbat dalam perlawanan menentang Arab Saudi dan Malaysia, tetapi terpaksa melupakannya kerana kedua-dua pemain ini menetap di Gaza.

 
Oleh kerana kawalan keselamatan yang ketat dikenakan Israel terhadap penduduk Gaza, pemain-pemain seperti Abdelhamid Abuhabib terpaksa melintasi sempadan Jordan, terbang ke Kaherah sebelum melintasi sempadan Gaza – hanya untuk masuk dan keluar dari Gaza. Keseluruhan perjalanan mengambil masa 48 jam.

 
10. Pemain Palestin bertanggungjawab menyebarkan mesej negara mereka

Bagi pemain Palestin, setiap kemenangan yang mereka perolehi hanya akan memberi masalah sahaja kerana Israel pasti mahu menghadkan perjalanan keluar masuk pemain Palestin.

Ini kerana, pemain Palestin kerap berkempen untuk membebaskan negara mereka dari kawalan Israel melalui perlawanan bola sepak.

Walaupun mereka akan berdepan masalah dengan Israel jika menang, mereka tetap mahu menang. Sekarang, di mana keinginan pemain dan pihak pengurusan pasukan kita untuk menang?

Baca juga: Mengapa Jepun Mula Melabur Duit Dalam Bola Sepak Asia Tenggara

 

Sumber: Journeyman Pictures, Football Palestine

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.

Follow Twitter kami di @semuanyabola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN