Quantcast

BERITA

Zon Ultras Diperkenalkan Untuk Pembelian Atas Talian Tiket Menentang UAE

Sudahkah ‘ekor’ Harimau Malaya membeli tiket untuk aksi kedua Kumpulan G, pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan UAE yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa depan?

Jika sudah, pastinya anda akan dapat melihat beberapa ciri baharu pembelian tiket atas talian melalui laman sesawang TicketHotline yang diperkenalkan menjelang pertembungan dengan UAE ini.

Penyokong dibenarkan memilih zon tempat duduk mereka dengan hanya tempat duduk yang masih diberikan secara rawak. Paparan di laman sesawang seakan-akan anda memilih tempat duduk untuk menonton wayang – namun tidak boleh memilih tempat duduk.

Ultras Malaya pastinya yang paling gembira kali ini apabila turut diperkenalkan zon tempat duduk Ultras untuk memudahkan segala urusan mereka tanpa mengganggu dan pastinya diganggu oleh penyokong-penyokong lain – mungkin yang pertama di dunia memperkenalkan tempat duduk Ultras secara rasmi!

Berikut adalah rupa paparan di laman sesawang tersebut sebagai panduan untuk penyokong memilih tempat duduk masing-masing. Bagi yang mahu menikmati permainan Harimau Malaya disamping persembahan tifo Ultras Malaya, pastikan pilih tempat duduk yang bersesuaian. Ini satu ciri baru yang menarik oleh TicketHotline.

Paparan TicketHotline

FOTO: TicketHotline

Pihak TicketHotline bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menetapkan bahawa zon tempat duduk di Level 3 bermula dari zon 306 hingga 311 adalah Zon Ultras.

Urusan seterusnya adalah sama dengan proses sebelum ini ketika aksi menentang Jordan dimana para pembeli akan mendapat email dan imbas sahaja E-Ticket anda di pintu masuk yang telah dipilih.

Penjualan tiket secara atas talian telah bermula pada 5 September lalu dengan para penyokong boleh memilih dua jenis tiket iaitu RM30 (Terbuka) dan RM50 (Grandstand), tidak termasuk caj pemprosesan sehingga jam 11.59 malam pada Isnin, 9 September.

Selain itu, penjualan secara fizikal di kaunter tiket SNBJ turut akan dibuka pada hari perlawanan bermula jam 2.00 petang dengan harga RM40 (Terbuka) dan RM60 (Grandstand), tanpa ada sebarang caj tambahan yang akan dikenakan.

Ia bagi memenuhi permintaan para penyokong yang mahukan penjualan tiket di kaunter kerana tidak dapat membelinya dari atas talian. Pada perlawanan menentang Jordan tempohari, lebih separuh tiket telah dibeli di atas talian dengan 5,082 tiket pula telah dibeli di kaunter tiket pada hari perlawanan.

Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)