Penyerang berpengalaman yang cukup sinonim dengan karakter ‘meninggi diri’, Zlatan Ibrahimovic terus membuktikan bahawa kehadirannya nyata memberikan impak besar buat AC Milan pada musim ini.
Pemain kelahiran Malmo, Sweden itu bukan sahaja menjaringkan dua gol ketika membantu AC Milan menewaskan Sampdoria 4-1 awal pagi tadi malah telah mencipta rekod ledakan 50 jaringan dalam saingan Serie A bersama skuad Rossoneri.
Kehadirannya juga menyaksikan AC Milan semakin menunjukkan peningkatan selepas sebelum ini mereka terperosok ke tangga ke-11 liga ketika rehat perayaan Krismas.
Namun selepas itu, kebangkitan hebat mula ditampilkan sehingga skuad bimbingan Stefano Pioli itu apabila hanya tewas dua kali sebaik sahaja Ibrahimovic menyertai kelab tersebut pada 27 Disember lalu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Luigi Ferraris tersebut, Ibrahimovic tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila beliau menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Ante Rebic seawal minit keempat.
Memasuki babak kedua, Hakan Calhanoglu menjadikan kedudukan 2-0 setelah beliau yang menerima umpanan daripada Ibrahimovic, berjaya menolak masuk bola bagi menewaskan penjaga gol tuan rumah, Wladimiro Falcone pada minit ke-52.
Kombinasi baik Ibrahimovic bersama Calhanoglu terus dapat disaksikan apabila giliran penyerang veteran itu mula menyudahkan peluang hasil satu serangan balas pantas berselang enam minit kemudian.
Kristoffer Askildsen kembali merapatkan defisit jaringan pada minit ke-87 sebelum Rafael Leao mematikan api perjuangan skuad bimbingan Claudio Ranieri ketika aksi semakin menghampiri penghujung.
Meskipun aksi masih berbaki satu perlawanan, AC Milan bakal menamatkan musim ini di tangga keenam selepas berjaya mengumpul 63 mata sekaligus mengesahkan tempat mereka beraksi dalam kempen Liga Europa musim hadapan.
Kredit featured image: AC Milan
Baca artikel lain mengenai Zlatan Ibrahimovic: