Baru-baru ini, pemain LA Galaxy iaitu Zlatan Ibrahimovic telah mendedahkan beliau sedia kembali keluar dari persaraan antarabangsa untuk membantu Sweden di Piala Dunia 2018.
Niat untuk kembali membantu negara itu sudah pastinya diterima baik oleh majoriti peminat Sweden yang berasakan pemain veteran itu mampu memberikan lebih bisa kepada serangan pasukan tersebut.
Akan tetapi, andai benar Ibrahimovic kembali ianya akan menimbulkan sedikit rasa tidak senang terhadap para pemain dalam skuad Sweden.
Menurut penjaga gol Sweden iaitu Karl-Johan Johnsson, kembalinya Ibrahimovic ke skuad Sweden akan mengundang ketidakharmonian dalam skuad tersebut.
Bagi Johnsson, Ibrahimovic akan menyebabkan gaya permainan Sweden akan berubah.
“Dalam bola sepak, ia dimainkan secara kolektif. Semua pemain terlibat dalam permainan.”
“Akan tetapi jika ada Ibrahimovic, permainan pastinya akan berkisar kepada beliau. Beliau seorang yang individualis.”
“Buat masa sekarang, Sweden bermain dengan lebih sebagai sebuah pasukan berbanding sebelum ini.”
“Jika jurulatih mahukan beliau kembali, pastinya taktikal pasukan harus diubah untuk memenuhi kesesuaian permainannya.”
Menurut Johnsson, Sweden kini lebih baik tanpa Ibrahimovic dan mereka turut layak ke Piala Dunia tanpanya.
“Kami berjaya layak ke Piala Dunia tanpa beliau bersama kami. Jadi saya pasti kami turut akan bermain dengan baik di Piala Dunia tanpa beliau.”
“Akan tetapi, andai beliau ada juga bersama kami di Rusia saya turut berharap beliau akan beraksi dengan baik untuk negara kami.”