Penyerang tersohor dunia yang mewakili LA Galaxy dalam saingan Major League Soccer (MLS), Zlatan Ibrahimovic menewaskan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Wayne Rooney bagi meraih anugerah ‘MLS Newcomer Of The Year’.
Penyerang berusia 37 tahun yang berasal dari Malmo, Sweden itu mendapat undian sebanyak 36.36% berbanding Rooney yang mendapat 32.25% hasil undian yang melibatkan pemain, pengamal media dan kakitangan teknikal MLS.
Bukan sahaja sumbangan kedua-dua pemain bersama pasukan masing-masing menunjukkan persaingan yang sengit, malah jumlah undian yang diterima juga begitu sengit dapat disaksikan.
Menurut laporan Goal, Ibrahimovic menjadi pilihan dalam kalangan pemain dan pengamal media manakala kakitangan teknikal MLS lebih memilih Rooney untuk menerima anugerah ini.
Zlatan Ibrahimovic berhijrah ke LA Galaxy pada pertengahan bulan Mac untuk membuat penampilan sulung yang begitu cemerlang dengan mencetak dua jaringan ketika bertemu Los Angeles FC.
Satu daripada jaringan yang terhasil tersebut merupakan gol yang sangat cantik setelah beliau melakukan percubaan ‘half volley’ yang terus membocori gawang lawan.
Dalam 27 perlawanan yang dilalui musim pertamanya di MLS, Ibrahimovic berjaya menghasilkan 22 jaringan serta turut mencipta 10 bantuan gol.
Manakala bagi Wayne Rooney pula, beliau berjaya menyumbang 12 jaringan dan mencipta 7 bantuan jaringan selepas mengharungi 20 perlawanan serta sebagai antara faktor utama kebangkitan D.C United.