Walaupun gagal mengelakkan kelabnya, Manchester United dari menerima kekalahan pertama berdepan FC Basel dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini, Zlatan Ibrahimovic berjaya mencipta rekod peribadi buat dirinya dalam kancah liga kelab paling berprestij di Eropah itu.
Rekod yang dimaksudkan adalah Zlatan menjadi pemain pertama yang beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dengan mewakili tujuh kelab yang berbeza.
Zlatan berjaya mencipta rekod tersebut apabila dimasukkan oleh Jose Mourinho bagi menggantikan pemain antarabangsa Perancis, Anthony Martial pada minit ke-74 perlawanan di St. Jakob Park, Basel itu.
Legenda bola sepak Sweden itu sebelum ini telah beraksi di Liga Juara-Juara Eropah bersama pasukan Ajax Amsterdam, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan dan Paris Saint-Germain.
Sebelum beraksi selama 16 minit pada perlawanan di Switzerland tersebut, Zlatan berkongsi rekod bersama-sama dua lagi penyerang, Javier Saviola dan Nicolas Anelka menjadi pemain yang beraksi bersama enam pasukan berbeza dalam saingan utama Eropah ini.
7 – Zlatan Ibrahimovic is the first player to play for seven different clubs in the Champions League. Journey.
— OptaJohan (@OptaJohan) November 22, 2017
Pencapaian yang hebat buat seorang pemain tetapi Zlatan masih belum pernah menikmati sebarang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini. Mungkinkah bersama Manchester United, beliau dapat mengecapi kejayaan tersebut?
Dalam perkembangan yang sama, kekalahan 1-0 United pada perlawanan pagi tadi menafikan peluang skuad bimbingan Jose Mourinho untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya dengan lebih awal.
Keadaan itu memaksa United perlu menunggu hingga ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan dimana mereka akan menanti kunjungan CSKA Moscow di Old Trafford pada 6 Disember nanti.
Kekalahan itu juga menjadikan rekod tiada satu kelab England pun yang berjaya mengelakkan dari dibolosi dalam 14 perlawanan terakhir bertemu Basel di tempat lawan.