Pertarungan 2 pengurus ini akan menemukan bola sepak berasaskan kestabilan dengan bola sepak yang dahagakan penguasaan bola serta menekan lawan di tempat mereka, digelar gegenpressing.
Jurgen Klopp sudah lama memiliki DNA dan identiti taktikal ini. Publisiti kepada gegenpressing ini sudah wujud sejak beliau di Dortmund dan lebih dikenali ketika beliau di Liverpool.
Manakala, Zinedine Zidane adalah jurulatih yang lebih menekankan aspek kestabilan, disiplin dan kesabaran dalam taktikal beliau. Ketika fasa serangan, mereka akan menggunakan 2 pemain bek sisi yang sangat aktif iaitu Carvajal dan Marcelo.
Ini adalah pertarungan buku dengan ruas dari segi falsafah taktikal. Zidane sudah membuktikan beliau sangat tajam pemerhatian dalam taktikal dan telah membantu Real Madrid menjuarai 2 kejuaraan UCL.
Rafa Benitez, bekas pengendali Liverpool dan pernah mengendalikan Real Madrid, beliau menyatakan, ini adalah pertarungan yang akan melibatkan intensiti vs kawalan permainan serta pengetahuan.
Kami percaya Benitez menyatakan Real Madrid pasukan yang lebih berpengalaman serta tahu cara mengawal tekanan dalam perlawanan akhir termasuk intensiti daripada taktikal Liverpool.
Jika Liverpool memiliki rekod jaringan lebih banyak berbanding Real Madrid di UCL, pasukan Los Blancos itu pula menjadi pasukan yang lebih kreatif daripada Liverpool dengan mencipta lebih banyak peluang.
Liverpool mengharapkan gegenpressing mereka berfungsi baik. Ini kerana mereka akan menekan pihak lawan dengan unit pemain yang ramai. Jika blok tekanan tinggi ini dilepasi dengan kemas oleh Real Madrid, Liverpool dalam masalah berisiko ‘outnumbered’.
Real Madrid pastinya sudah melihat perlawanan melibatkan Liverpool vs City dan Liverpool vs Roma. Bagaimana Liverpool menekan lawan mereka dengan gegenpressing sehingga mereka sukar ‘bernafas’.
Namun dalam pada masa yang sama Liverpool pasti tahu lawan mereka adalah Real Madrid. Pasukan yang sentiasa tahu cara untuk menang perlawanan besar seperti ini.
Lihat apa yang mereka lakukan dalam kejohanan ini dalam beberapa musim terakhir ini. Ketika mereka bangkit dalam perlawanan menentang Atletico di final. Musim lalu mereka menyingkirkan Bayern Munich yang dalam prestasi terbaik.
Tidak lupa aksi mereka ketika menyingkirkan Juventus dalam perlawanan yang mereka gagal beraksi baik.
Perlawanan ini bukan perlawanan yang sesuai untuk menekankan aspek pertahanan untuk menang, ia lebih kepada aspek serangan untuk menang.
Real Madrid hanya melakukan 2 clean sheet dalam 11 perlawanan UCL terakhir. Liverpool pula melepaskan 6 gol dalam 2 perlawanan terakhir menentang Roma.
Sangat kecil ruang untuk pertahanan melakukan kesilapan dalam perlawanan ini dengan kualiti penyerang yang dimiliki kedua-dua pasukan.
Zinedine Zidane tahu pasukan Liverpool antara pasukan yang paling bekerja keras dalam padang. Beliau berkata:
“Mereka adalah pasukan Inggeris, jadi mereka tak pernah berputus asa dan tidak bergantung kepada permainan fizikal.”
“Liverpool adalah pasukan yang cukup baik dari segi teknikal. Ramai pemain mereka yang laju dan memiliki keupayaan individu yang tinggi. Kami harus berwaspada dan menitik beratkan soal ini.”
Real Madrid dilihat memiliki kelebihan di tengah. Zon ini adalah zon yang Liverpool akan cuba takluki. Namun ia tak mudah kerana Real Madrid ada pemain seperti Casemiro, Modric dan juga Kroos, tak lupa Kovacic.
Zidane pastinya lebih tahu akan kepentingan cengkaman di bahagian bulatan tengah itu kerana dahulu itulah zon utama beliau beraksi sebagai pemain tengah.
Liverpool suka beroperasi di bahagian half space dan juga keupayaan Firmino untuk bermain sebagai deep lying forward.
Firmino adalah ‘otak’ kepada sistem Klopp. Beliau akan menjadi tunjang fluiditi, kelancaran dan juga ‘linking up’ di serangan bertiga.
Real Madrid pula ada kemampuan yang kuat oleh ramai pemain melakukan gol daripada pelbagai situasi. Sergio Ramos antara ancaman besas dalam situasi bola mati.
Jadi, perlawanan final ini lebih daripada hanya final. Ia adalah pertarungan idea dan falsafah bola sepak kedua-dua pengurus.