Zidane Gembira James Rodriguez Cergas, Turut U-Turn Mengenai Masa Depan Bale

Menjelang perlawanan pertama Real Madrid musim 2019/20 bagi saingan La Liga Santander, Zinedine Zidane membuat pengakuan dalam sidang media bahawa beliau gembira James Rodriguez kini merupakan sebahagian daripada pasukan itu.

“Kami serius memikirkan musim baru La Liga dan kami kini bersedia dan mahu mulakannya sekarang!” kata Zidane dengan nada berseloroh.

“James kini cergas dan saya senang hati beliau merupakan sebahagian daripada pasukan kami. Saya akan ulang semula kata-kata semalam, saya gembira semua pemain saya ada di sini dan begitu juga mereka.”

Los Blancos akan bergerak ke Balaidos untuk aksi pembukaan menentang Celta Vigo pada petang Sabtu, namun prestasi kurang memberangsangkan dalam beberapa perlawanan pra-musim menimbulkan persoalan sama ada pasukan itu benar-benar bersedia untuk menghadapi musim baru sekalipun sudah mendapatkan Eden Hazard yang menjadi buruan mereka sejak sekian lama.

“Kami membuat persiapan dan sudah menetapkan objektif bagi menghadapi perlawanan-perlawanan pra-musim, mungkin keputusan yang kita dapat tidak seperti yang diharapkan. Maka tumpuan utama sekarang adalah kejohanan utama yang akan membuka tirai esok.

“Bermula sekarang kami tahu setiap perlawanan adalah penting dan setiap pertandingan kami akan bermain dengan sebaiknya. Saya gembira dengan Hazard dan semua pemain.” tambah beliau lagi.

Ditanya mengenai sistem dan corak permainan yang akan digunakan bagi menghadapi musim baru, Zidane yakin pemain-pemain baru yang telah dibawa masuk dapat membantunya.

“Saya merupakan jurulatih dan saya mahu pasukan bermain dengan beberapa pilihan corak permainan. Kami boleh menjayakannya dengan pemain-pemain yang baru tiba di sini dan saya perlu memilih sistem terbaik untuk berhadapan dengan pasukan lawan.

“Bermain dengan baik dan menang, itu adalah perkara paling utama. Pada kami, matlamat utama bukan sekadar menang. Menang adalah apa yang mahu dicapai di atas padang, tetapi apa yang lebih penting adalah kerjasama dan persefahaman yang baik dengan rakan kerana kita akan menang sebagai sebuah pasukan.

Dani Carvajal tidak dapat disenaraikan untuk perlawanan esok menentang Cetla Vigo memandangkan beliau digantung perlawanan pada penghujung musim lepas dan penggantungan itu dibawa ke permulaan musim baru.

“Tiada apa yang saya boleh lakukan dengan perkara (penggantungan Carvajal) itu. Ianya sukar untuk diterima tetapi kami sudah membuat persiapan dengan meletakkan pemain lain sebagai pengganti.”

Berkenaan isu pintu perpindahan yang masih berbaki dua minggu, Real Madrid masih dikaitkan dengan pemain tengah Manchester United, Paul Pogba serta tonggak utama Paris Saint-Germain (PSG) Neymar.

“Pogba sekarang bermain untuk Manchester United dan kita semua perlu menghormati perkara itu. Kami di sini lebih menumpukan perlawanan esok. Neymar pula jelas bukan pemain Real Madrid dan seperti yang saya katakan, pemain yang penting adalah mereka yang berada di sini.

Gareth Bale pada awalnya dikhabarkan akan meninggalkan Santiago Bernabeu, namun berkemungkinan besar beliau dijangka akan terus kekal memandangkan musim baharu akan bermula tidak lama lagi.

“Sepertinya dia (Bale) mahu meninggalkan pasukan ini tetapi sekarang masih di sini bersama kami. Mungkin ada perkara yang berubah, tetapi saya tetap menilainya sebagai ahli pasukan. Dia memiliki rekod yang baik dan merupakan pemain penting Oleh itu saya harap semua pemain menampilkan prestasi terbaik sehingga menyukarkan saya untuk memilih mereka untuk setiap perlawanan.”

Menjawab soalan wartawan mengenai situasi pemain muda berbakat dari Jepun, Takefusa Kubo yang tidak disenaraikan dalam skuad utama Real, Zidane menjelaskan bahawa pemain itu mempunyai masa depan yang cerah di kelab itu.

“Kita tahu apa sahaja boleh berlaku sehingga penghujung musim perpindahan ini, tetapi saya harap dia (Kubo) kekal di sini dan mencapai kemajuan secara berperingkat dengan beraksi bersama Castilla (pasukan simpanan). Ianya amat penting kerana dia adalah masa depan pasukan ini.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN